Direct Lending

Pastikan 2018 Anda Lebih Bahagia dengan Senarai Semak Kestabilan Kewangan

Bila mula tahun baru, pasti kebanyakkan daripada kita mempunyai azam untuk memperbaiki diri dan kehidupan agar menjadi lebih baik, terutamanya dari segi kewangan. Sebab bila kewangan stabil, hidup pun lebih teratur dan jiwa pun lebih aman.

Bagi kebanyakkan individu, terutamanya yang tinggal di bandar, mereka perlu memikirkan perihal kewangan setiap masa. Bangun saja daripada tidur, sudah fikir wang tambang pergi kerja, perlu kira bajet makan tengah hari, kemudian lihat baki jika boleh tahan sehingga hujung bulan nanti. Hidup yang sepatutnya aman menjadi tertekan sebab perlu fikirkan wang. Jadi untuk tahun 2018, marilah kita bersama-sama peroleh kestabilan kewangan agar hidup kita lebih bermakna dan bahagia.

Semak status kewangan tahun sebelumnya

Untuk selesaikan masalah, kita perlu terlebih dahulu kenalpasti punca masalah. Buat sedikit analisa tentang apa yang membuatkan 2017 tahun yang mencabar dari segi kewangan. Adakah peningkatan kos hidup? Perancang kewangan yang tidak kukuh? Ataupun perbelanjaan kecemasan seperti masalah kesihatan?

Antara langkah memastikan kewangan tahun 2018 lebih kukuh dan terjamin adalah dengan mengikuti senarai semak kewangan. Senarai semak ini akan berfungsi sebagai panduan yang menjurus kepada kestabilan kewangan anda.

Senarai Semak Kewangan 2018

1. Menilai kemampuan kewangan anda yang sebenar

Kredit: The Telegraph

Senarai semak yang efektif adalah yang mencerminkan realiti kemampuan anda. Ia perlu bermula dengan pendapatan bersih anda. Jumlah pendapatan bersih itu perlulah ditolak dengan jumlah keperluan asas dan perbelanjaan berulang seperti sewa rumah, bil, kereta, bayaran ansuran pinjaman, bajet belanja dapur, dan sebagainya. Bila semua itu sudah ditolak, anda akan mendapat baki kewangan anda yang menggambarkan kemampuan anda yang sebenar. Berdasarkan baki itulah anda perlu merancang kewangan anda dengan sebaiknya. 

2. Rancang pembayaran pinjaman dengan baik

Kredit: Safe Start

Antara perkara yang menjadi punca utama masalah kewangan adalah pinjaman. Sebab itu kalau boleh, pinjaman perlu diselesaikan secepat mungkin. Buat satu senarai tentang pinjaman supaya anda boleh nampak baki pinjaman yang perlu diselesaikan. Kemudian, rancang cara untuk menyelesaikan pinjaman tersebut secepat mungkin.

Jika tak boleh selesaikan sekali gus, pastikan anda lakukan pembayaran semula mengikut jadual yang ditetapkan bagi mengelakkan kenaikan faedah, denda, dan nama anda disenarai hitam.

3. Pantau kewangan dengan rapi

Kredit: Randell Tiongson

Perkara yang selalu terjadi adalah kita tidak tahu wang habis di mana. Tahu-tahu saja, wang sudah tak ada. Jangan jadi begitu lagi. Mulai sekarang, pastikan anda tahu kemana wang anda dibelanjakan. Langkah ini perlu diambil untuk memastikan anda tidak terlebih belanja untuk barang bukan keperluan. Gunakan aplikasi BNM MyTabung untuk memudahkan kerja memantau perbelanjaan anda.

4. Asingkan wang untuk simpanan dan pelaburan

Kredit: Investor Square

Yang ini penting. Seboleh-bolehnya, asingkan sedikit wang untuk simpanan. RM20 sebulan pun tak apa kerana sikit-sikit, lama-lama jadi bukit. Sebaik-baiknya buat akaun khas yang tidak mempunyai akses mudah seperti perbankan internet. Ini untuk mengelakkan daripada anda ‘ter’belanja wang simpanan anda. Bila wang simpanan dah banyak, barulah anda boleh gunakan wang itu untuk pelaburan.

Walaupun gaji anda kecil, tidak bermakna anda tak boleh mencapai kestabilan kewangan. Barangkali anda boleh tambah sedikit sebanyak pendapatan dengan melakukan kerja separuh masa supaya ada sedikit wang simpanan untuk kegunaan masa hadapan.

5. Membina tabung dana kecemasan

Kredit: Dollars And Sense

Dana kecemasan adalah elemen yang amat penting dalam memastikan kestabilan kewangan. Dana kecemasan berbeza dengan wang simpanan kerana dana kecemasan merupakan perancangan jangka masa panjang.

Kerana malang tidak berbau, andainya tiba-tiba anda sakit sewaktu melancong di luar negara, atau kereta anda mengalami kerosakan parah, dana kecemasan ini lah yang anda akan gunakan untuk menyelesaikan masalah tanpa perlu mengorbankan pendapatan bulanan anda.

6. Lakukan perancangan secara menyeluruh sewaktu mendapatkan pinjaman

Kredit: Azirahman Story

Ukur baju badan sendiri, kalau tak mampu, jangan beli. Bila sudah selesaikan pinjaman terdahulu, janganlah buat pinjaman baru, melainkan benar-benar perlu. Sebab selagi ada pinjaman, selagi itu tidak akan rasa aman.

Kalau benar-benar perlu lakukan pinjaman, baik kad kredit atau pinjaman peribadi, pastikan anda rancang pembayaran balik dengan teliti. Ingat, jangan pinjam jika tak mampu bayar!

7. Semak kedudukan kewangan anda

Kredit: School Pupil Tracker

Bila dan ada senarai semak kewangan, bolehlah anda semak sendiri kedudukan kewangan anda. Dengan ini, barulah anda boleh tahu kelebihan dan kelemahan anda dari segi kewangan. Kalau rasa tak percaya diri sendiri, boleh minta kawan baik atau pasangan anda untuk jadi semak kewangan anda agar tidak tersasar dari landasan.

Meningkat taraf pengetahuan kewangan

Bila anda wujudkan sebuah senarai semak kewangan, secara tidak langsung anda sedang berusaha untuk meningkatkan pengetahuan anda tentang ilmu kewangan. Senarai semak kewangan melatih anda untuk menggunakan sumber, yakni wang anda, dengan sebaik yang mungkin.

Secara amnya, anda sedang berusaha untuk menurunkan statistik rakyat Malaysia yang terikat dengan hutang. Mulakan tahun 2018 dengan agenda kewangan yang rapi serta mengambil langkah untuk mengatasi masalah kewangan agar anda boleh peroleh kestabilan kewangan.

Artikel ini disediakan oleh Direct Lending – platform pinjaman peribadi bank dan koperasi dalam talian untuk kakitangan kerajaan & badan berkanun di Malaysia.

Direct Lending

Add comment