Direct Lending
Directlending_3money_saving_tips

3 Tip Penjimatan Wang untuk 2017

Melainkan anda tinggal di bawah tempurung – atau anda sudah cukup kaya dan tidak perlu risau lagi tentang wang – anda pasti sedar bahawa kebanyakan rakyat Malaysia kini terpaksa membuat persediaan untuk menghadapi masa yang mencabar di 2017.

Walaupun ahli ekonomi menjangka bahawa Malaysia akan mencapai kadar pertumbuhan ekonomi sederhana dengan kadar peningkatan sebanyak 4-5% di 2017, kita tidak boleh menafikan bahawa keadaan kewangan dan ekonomi masih tidak stabil memandangkan kita masih disajikan dengan kemerosotan nilai matawang Ringgit, kenaikan kos sara hidup, pergolakan pasaran kewangan dan kemelut politik didalam dan di luar negara.

Namun begitu, hidup perlu diteruskan dan kita boleh melakukan sesuatu untuk mengharungi musim kemelesetan ekonomi. Berikut adalah tiga tip penjimatan wang berguna yang boleh membantu anda di 2017.

1. Kurangkan pembelian barangan yang tidak perlu

Kita boleh memerhati bahawa pengiklanan tanpa henti dan budaya konsumerisme global sedikit sebanyak telah mempengaruhi impian ramai orang untuk memiliki kehidupan yang mewah dan “glamor”.

Kehidupan idaman ini biasanya melibatkan sebahagian atau semua yang berikut: hanya memakai pakaian mahal dan berjenama, meminum kopi berjenama setiap pagi, berbelanja besar untuk hiburan, mendaftar untuk keahlian eksklusif gimnasium dan makan di restoran-restoran mewah dengan kerap.

Kita mungkin melihat tabiat kerap makan diluar dan minum Starbucks latte seperti pebelanjaan kecil, tetapi hakikatnya, tabiat ini akan menyebabkan perbelanjaan yang besar dalam jangka masa panjang. Gabrielle Moss menyatakan dalam satu artikel di laman web Bustle bahawa perbezaan perbelanjaan antara membeli latte dari kafe dan membuatnya sendiri dirumah setiap hari berjumlah US$45 dan US$1200 setiap tahun. Bayangkan berapa banyak duit yang kita boleh simpan dengan mengubah cara hidup kita.

Anda masih boleh beriadah (berlari dan bersenam di taman awam adalah percuma), menghiburkan diri dan mendapatkan keperluan pemakanan harian dengan memilih alternatif yang lebih murah (tetapi berkesan). Selain daripada memasak makanan sendiri dan membuat kopi di rumah, anda juga boleh berjimat dengan memperhatikan mana-mana diskaun dan tawaran yang baik. Perkhidmatan seperti Groupon dan e-mel surat berita syarikat juga boleh membantu anda menikmati kemewahan sekali-sekala tanpa berbelanja terlalu besar.

2. Cuba kurangkan perbelanjaan barang keperluan

Meskipun lebih sukar untuk mengurangkan perbelanjaan bagi keperluan seperti air, sewa, elektrik dan minyak kenderaan, anda masih boleh mencari beberapa cara untuk berbuat demikian.

Anda boleh mempertimbangkan untuk tinggal di rumah yang lebih kecil, berpindah ke apartmen yang lebih murah tapi masih selesa, atau rancang jadual berkongsi kenderaan dengan rakan sekerja, rakan serumah atau ahli keluarga anda untuk mengurangkan perbelanjaan minyak kereta. Memandangkan sistem pengangkutan awam Malaysia kini sedang berkembang (dengan laluan MRT baru yang akan beroperasi sepenuhnya tidak lama lagi), anda juga boleh mempertimbangkan untuk menggunakan pengangkutan awam. .

Ia juga lebih menjimatkan – dan lebih baik untuk kesihatan anda – untuk masak di rumah dan tidak kerap makan di luar. Kita boleh mendapat resipi-resipi percuma yang  sihat, berkhasiat dan lazat di internet dan anda juga boleh menjadikan memasak sebagai aktiviti harian dengan keluarga dan rakan-rakan. Selain daripada menjimatkan wang dan menikmati makanan yang sihat, anda juga dapat meluangkan lebih masa bermakna dengan orang kesayangan anda.

3. Fikir jangka panjang

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, sesetengah individu mungkin terdorong kepada membahayakan diri mereka dengan terlalu berjimat, dan bertindak keterlaluan untuk mengurangkan semua jenis perbelanjaan tanpa memikirkan masa depan.

Ini khususnya apabila membuat keputusan kewangan penting yang akan memberi kesan jangka panjang, seperti membuat keputusan tentang pendidikan lanjutanak anda ke menara gading, membeli insurans perubatan, dan memilih tempat tinggal baru. Bagi keputusan kewangan seperti ini, memilih alternatif yang paling murah (dalam jangka masa pendek) sebenarnya boleh menyebabkan anda berbelanja lebih banyak dalam jangka masa panjang.

Satu contoh yang mudah ialah memilih untuk makan mi segera setiap hari untuk menjimatkan kos makanan. Simpanan anda di dalam bank mungkin boleh bertambah dengan cepat, namun anda mungkin memerlukan perbelanjaan kesihatan tambahan, dan kehilangan masa dan produktiviti pada masa akan datang disebabkan kesan negatif ke atas kesihatan anda.

Sesetengah perkara lain mungkin lebih kompleks dan kurang jelas. Namun, anda perlu mempertimbangkan kos jangka pendek, dan kos dan manfaat jangka panjang untuk jenis-jenis pembelian lain, dan menentukan pilihan yang terbaik untuk jangka masa panjang. Bincang dengan pasangan dan ahli keluarga anda tentang bagaimana anda boleh membuat keputusan yang lebih baik dan bekerjasama untuk memenuhi keperluan semua.

Bolehkah anda fikirkan tip penjimatan wang lain yang berguna dan membolehkan anda berbelanja mengikut kemampuan? Apakah tip penjimatan wang yang anda amalkan? Beritahu kami dalam komen di bawah.

Jangan lupa “Like” page Direct Lending di Facebook untuk mendapatkan lebih banyak tip-tip pengurusan kewangan yang berguna.

Gus Xie

Add comment