Direct Lending

Beli Rumah Anda: Dari Sewa kepada Pemilikan

Rumah adalah satu pelaburan yang besar untuk kebanyakan rakyat Malaysia; yang mana ia menentukan tempat tinggal anda, di mana anak-anak anda membesar dan jiran tetangga anda. Menyewa adalah pilihan terbaik untuk pelajar, pekerja yang perlu mengembara atau individu bujang. Walau bagaimanapun, dalam jangka masa panjang, anda kehilangan potensi pendapatan dan akan menghadapi banyak ketidakpastian.

Kelayakan dan Peruntukan

Langkah pertama dalam membeli rumah ialah mengetahui kemampuan anda berdasarkan jumlah pendapatan semasa anda. Cara mudah untuk mengetahuinya ialah dengan mencari “Affordability Calculator” dalam talian atau pergi ke bank tempatan. Di Malaysia, terdapat pelbagai program perumahan kos rendah dan mampu milik yang disediakan oleh kerajaan. Berikut adalah 3 program utama:

Program perumahan Kelayakan pendapatan isi rumah (RM) Anggaran kos rumah (RM)
PPR (Program Perumahan Rakyat) < 3,000 30,000 – 35,000
SPNB (Syarikat Perumahan Negara Berhad) / RMR1M (Rumah Mesra Rakyat 1 Malaysia) < 3,000 35,000 – 250,000
PR1MA (Perumahan Rakyat 1 Malaysia) 2500 – 10,000 100,000 – 400,000

Untuk penjawat awam khususnya, terdapat program perumahan PPA1M (Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia). Rumah-rumah yang diperuntukkan di bawah Program PR1MA terletak di kawasan bandar, berhampiran dengan tempat kerja, kemudahan dan tempat-tempat menarik. Rumah-rumah yang berada di lokasi yang strategik berhampiran kemudahan awam biasanya mempunyai permintaan tinggi dan boleh menjadi satu pelaburan kewangan yang menguntungkan di masa hadapan.

Membuat Simpanan dan Pembelian

Bank akan membiayai sehingga 90% pinjaman perumahan anda untuk rumah pertama dan kedua, jadi matlamat segera ialah untuk menyimpan 10% daripada harga rumah. Cara terbaik untuk menyimpan wang deposit rumah adalah dengan menetapkan matlamat 12 bulan untuk diri sendiri. Simpan kira-kira 1/3 daripada pendapatan anda dalam akaun simpanan setiap bulan. Ini juga akan menunjukkan purata jumlah yang akan dibayar kepada bank untuk ansuran bulanan.

Anda bertuah sekiranya menemui pemaju perumahan yang menyediakan pilihan “tiada bayaran pendahuluan”, di mana bayaran deposit 10% tidak diperlukan. Dalam keadaan ini, anda hanya perlu membayar ansuran bulanan kepada bank.  Pastikan anda meneliti promosi lain seperti diskaun Bumiputra, pengecualian yuran guaman dan duti setem, dan lain-lain, kerana ia dapat menjimatkan anda beribu-ribu ringgit.

Memulakan langkah untuk menjadi pemilik rumah dari seorang penyewa bukanlah satu perjalanan yang pendek, tetapi ia harus menjadi matlamat anda, tidak kiralah berapa jumlah pendapatan anda. Ia akan mengubah cara anda dan keluarga anda menjalani kehidupan seharian.

Untuk kakitangan kerajaan, anda boleh membuat permohonan dalam talian melalui platform Direct Lending untuk mendapatkan pinjaman koperasi bagi membantu anda membiayai deposit yang diperlukan untuk membeli rumah idaman anda.

Emir

Emir mempunyai latar belakang di seni bina dengan tumpuan yang lebih diberikan dalam bidang kajian, tetapi sering melibatkan diri dalam hobi artistik di luar bidangnya. Sebagai seorang penduduk Malaysia yang menghadapi kekangan kewangan, beliau memahami masalah sukar yang dihadapi oleh kebanyakan orang di dalam negara. Emir mempunyai pengalaman lebih daripada 5 tahun dalam bidang pembangunan hartanah tempatan dan luar negara.

Add comment