Direct Lending

5 Panduan Untuk Berjimat Hari Raya 2020

(Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 15 Mei 2019 dan dikemas kini pada 14 Mei 2020.)

Hari Raya yang disambut setahun sekali akan menjelang tiba lagi setelah sebulan berpuasa. Isu perbelanjaan yang besar sering menjadi isu terutamanya bagi mereka yang ingin menyambut perayaan ini dengan meriah. Lagi-lagi dengan wabak COVID-19, ramai mungkin risau tentang masa depan yang tidak menentu.

Ada yang lebih hati-hati dengan perbelanjaan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini agar dapat menyimpan lebih banyak wang untuk kegunaan kecemasan. Tetapi, perayaan yang meriah tidak semestinya memerlukan perbelanjaan yang besar ya. Kami akan kongsikan dengan anda tips untuk berjimat pada Hari Raya ini.

1. Sediakan Bajet Raya

Gambar oleh Mkitina4

Ini merupakan perkara asas bagi setiap perancangan kewangan namun sangat penting bagi mengelakkan perbelanjaan yang tidak diingini. Senaraikan setiap perbelanjaan yang diperlukan bagi menyambut perayaan seperti baju raya, duit raya, juadah dan sebagainya. Apabila anda membuat bajet sebelum berbelanja, anda dapat membezakan perbelanjaan yang mengikut kehendak atau keperluan anda.

Pastikan setiap perbelanjaan yang dibuat adalah mengikut kemampuan kewangan masing-masing kerana kemeriahan raya bukan bergantung kepada jumlah wang yang dibelanjakan, tetapi yang penting adalah masa dan kasih sayang daripada keluarga tercinta di hari raya ini.

2. Pakai Semula Pakaian yang Masih Elok & Baru

Gambar oleh Waarna

Tidak menjadi satu kemestian sebenarnya untuk anda memiliki baju baru di hari raya, asalkan pakaian itu masih elok dan cantik, anda masih lagi kelihatan segak dan cantik di hari raya ini! Jika anda seorang yang kreatif, anda masih boleh menggunakan pakaian lama anda dengan sedikit kelainan dengan menggunakan kaedah ‘mix and match’ pakaian anda.

Bagi wanita, anda boleh padankan baju kurung atau kebaya anda bersama corak atau warna tudung yang berbeza dari sebelum ini. Bagi lelaki pula, cuba tukar corak sampin anda atau gayakan dengan simpulan kain sampin yang berbeza pada tahun ini. Hari raya yang disambut pastinya meriah dengan kreativiti dan kelainan anda memperagakan busana raya anda pada tahun ini. Sekiranya anda ingin juga membeli baju raya baru, bacalah article ini tentang tips berjimat untuk beli baju raya.

3. Manfaatkan Jualan Murah & Diskaun

Gambar oleh Vichie81

Pada musim perayaan ini, sudah menjadi kebiasaan bagi pusat membeli-belah membuat jualan murah dan diskaun perayaan secara besar-besaran. Manfaatkan jualan murah dan diskaun yang ditawarkan pada musim ini, tetapi pastikan mengikut perbelanjaan anda yang telah ditetapkan.

Kebiasaannya, ramai dalam kalangan kita mudah menjadi rambang mata dengan harga murah yang tidak masuk akal dan ini boleh mendorong kita berbelanja sesuatu yang bukan keperluan diri sendiri. Tidak salah berbelanja dan memanfaatkan tawaran menarik yang ada, namun disiplin kewangan yang ketat perlu ada bagi membezakan keperluan dan kehendak sewaktu berbelanja bagi musim perayaan ini. Apabila anda mengikut perbelanjaan yang ditetapkan dan masih memanfaatkan jualan murah dan diskaun yang ditawarkan, anda mungkin masih mempunyai baki belanja yang boleh disimpan pada masa akan datang ataupun membeli sedikit ganjaran kecil untuk diri anda sendiri kerana berdisiplin dalam kewangan.

Jualan murah dan diskaun ini bukan terhad kepada pembelian di pusat membeli-belah sahaja. Banyak syarikat perniagaan online turut menawarkan pelbagai diskaun dan tawaran yang sangat menarik seperti Zalora, Poplook, Losravelda dan selainnya.

4. Hias Rumah dengan Projek DIY

Gambar oleh Wajib Baca

Menjelang hari raya ini, hiaskanlah rumah anda untuk merasakan kemeriahan suasana Raya walaupun dalam masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Hiasan rumah yang menarik dan kemas tidak semestinya harus serba baru, tetapi anda perlu bijak menggunakan kreativiti yang ada. Sebagai contoh mudah, kad raya yang terpakai boleh ditampal untuk dijadikan hiasan rumah yang bukan sahaja kreatif, tetapi penuh makna. Rujuk artikel kami tentang 5 cara bajet untuk hiasan hari raya.

5. Masak Juadah Sendiri

Gambar oleh mStar

Memang mudah jika kita hanya membuat tempahan bagi kuih raya dan sajian hidangan di hari raya ini. Namun dengan jumlah wang yang sama, jika masakan ini dimasak bersama-sama secara gotong royong bersama keluarga pastinya penjimatan yang lebih banyak dapat dilakukan. Keletihan sewaktu memasak tidak akan dirasai jika dilakukan bersama-sama keluarga dan secara tidak langsung hubungan silaturrahim dapat bertaut kembali dan membentuk ikatan kekeluargaan yang lebih kukuh.

Secara amnya, Hari Raya pada tahun 2020 adalah berbeza dan mungkin lebih mencabar sewaktu PKP. Sekiranya anda berjauhan dan tidak dapat berjumpa dengan keluarga dan kawan-kawan, semangat perayaan ini tidak harus dilupakan. Kenangan manis raya tidak haruslah dipisahkan menerusi jarak. Anda masih boleh memikirkan cara kreatif untuk merasaikan semangat Raya.

Perayaan yang meriah tidak semestinya memerlukan perbelanjaan yang besar. Apa yang penting di hari raya ini, semangat kekeluargaan dipupuk dengan lebih kukuh agar semangat perayaan dirasai oleh kita semua. Akhir sekali, Direct Lending mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua umat Islam yang menyambut perayaan ini!

Artikel ini disediakan oleh Direct Lending, satu platform pinjaman bank dan koperasi yang menawarkan pinjaman peribadi yang cepat, mudah dan selamat. Pinjaman adalah serendah 3.9% atau secepat 2 hari bekerja.

Lawati blog dan Facebook kami untuk lebih banyak tips penjimatan dan juga pengurusan kewangan anda.

Direct Lending

Add comment