Direct Lending

Beli atau Sewa Rumah di Malaysia?

Pemilikan Hartanah di Malaysia

Kadar pemilikan rumah di Malaysia telah mencapai 72.5%, adalah antara kadar yang tertinggi di Asia. Tetapi, ramai yang terperangkap dalam hutang akibat gagal membayar ansuran bulanan dengan segera lalu menyebabkan peningkatan jumlah rumah lelong.

Membeli rumah sebelum berkahwin telah menjadi perkara lazim sehingga ramai orang muda merasakan yang membeli rumah itu perlu walaupun kedudukan kewangan mereka belum cukup kukuh. Sungguhpun membeli rumah itu adalah impian setiap insan, berdasarkan kedudukan kewangan, adakah lebih baik untuk membeli atau menyewa?

Perbandingan Kos: Beli dan Sewa

Situasi di bawah menggambarkan perbezaan di antara membeli dan menyewa rumah.

Alat yang digunakan: Edge Prop

Rumusan: Pada tahun ke-5, membeli rumah akan menjadi lebih berpatutan daripada menyewa. Berdasarkan keadaan ini, adalah lebih baik untuk membeli daripada menyewa jika anda bercadang untuk tinggal di rumah tersebut melebihi 5 tahun.

Penafian: Situasi yang digunakan di atas adalah contoh semata-mata untuk menggambarkan kos kewangan membeli dan menyewa rumah. Angka-angka tersebut bukanlah ramalan atau gambaran keadaan pasaran semasa.

3 Soalan yang Anda Perlu Tanya Diri Sendiri Sebelum Beli atau Sewa Rumah

Gambar oleh Teddy Rawpixel

Ini akan membawa kepada soalan “Bila masa yang sesuai untuk beli rumah?” atau “Patutkah saya sewa rumah dahulu dan beli kemudian?”.

Jawapan paling tepat dan nasihat kami adalah, “Bergantung”. Situasi tersebut amat bergantung kepada keadaan kewangan anda.

1. Adakah anda mempunyai wang yang cukup?

Secara realistiknya, ya. Sekurang-kurangnya, anda perlu mempunyai wang yang cukup untuk membayar 10% bayaran pendahuluan untuk membeli rumah. Itu pun kalau bank meluluskan pinjaman 90%. Tidak lupa juga lain-lain kos seperti yuran guaman dan duti setem. Perkara ini berkait rapat dengan soalan seterusnya; adakah anda mempunyai simpanan kecemasan yang cukup selepas membeli hartanah? Membuat pinjaman untuk membayar wang pendahuluan adalah amat tidak digalakkan kerana perkara itu akan menambah beban kewangan.

2. Adakah anda mampu dan hendak terikat dengan komitmen?

Tempoh pinjaman untuk pinjaman rumah selalunya lebih lama disebabkan jumlah pinjaman yang lebih tinggi. Anda perlu mempunyai disiplin yang tinggi kerana tempoh ansuran bulanan untuk pinjaman rumah adalah lebih panjang. Tempoh pinjaman maksimum adalah 35 tahun. Tidak dilupakan juga dana kecemasan iaitu dana yang akan membantu anda sewaktu keadaan yang tidak diduga pada masa hadapan seperti kehilangan kerja dan sebagainya.

3. Adakah anda bercadang untuk tinggal di situ pada jangka masa yang lama?

Adakah anda bercadang untuk menjual rumah tersebut di masa hadapan? Ini soalan yang anda patut teliti dan tanya diri sendiri agar anda tahu tujuan utama anda tinggal di rumah tersebut.

Jika jawapan anda adalah ‘tidak’ untuk kesemua 3 soalan ataupun anda tidak pasti mengenainya, maka menyewa adalah pilihan yang lebih baik. Tetapi, jika jawapan anda untuk ketiga-tiga soalan itu adalah ‘ya’, maka tahniah! Anda sudah bersedia untuk membeli rumah.

Sebab Menyewa boleh Menjadi Pilihan yang Baik

Gambar oleh Vulcan Post

Ramai mempunyai pandangan serong terhadap menyewa rumah. Ada yang beranggapan menyewa adalah perkara yang memalukan. Namun begitu, tanggapan itu adalah salah kerana tiada apa yang harus dimalukan. Menyewa adalah budaya yang terkenal di negara barat. Dengan itu, kami huraikan 3 kelebihan menyewa rumah:

  1. Kos pendahuluan & komitmen rendah. Walaupun menyewa memerlukan deposit keselamatan, namun jumlah tersebut adalah jauh lebih rendah berbanding dengan bayaran pendahuluan 10% sewaktu membeli rumah.
  2. Fleksibel untuk berpindah ke kawasan yang berbeza kerana selalunya tempoh sewaan adalah berdasarkan jangka masa yang lebih pendek.
  3. Komitmen tetap setiap bulan memandangkan anda tidak perlu risau mengenai kos baiki kerosakan. Lazimnya, kos ini akan ditanggung oleh tuan rumah.

Sebab Membeli Rumah adalah Lebih Jimat

Gambar oleh Roungroat

Warren Buffet pernah berkata, “Jangan simpan baki wang selepas berbelanja, tapi belanja wang baki selepas menyimpan”. Hanya beli rumah mengikut kemampuan anda. Lagipun, membeli rumah boleh meningkat nilai bersih anda. Pulangannya adalah berdasarkan peningkatan harga hartanah, bukannya mengikuti jumlah pelaburan. Jika anda pintar menguruskan wang, anda boleh membeli rumah dengan gaji di bawah RM3,000.

  1. Rumah adalah aset. Sebuah rumah adalah pelaburan jangka masa panjang. Rumah boleh diwariskan untuk generasi akan datang. Jika tidak didiami, rumah itu boleh dijadikan sebagai pelaburan apabila disewakan. Duit sewa itu boleh digunakan untuk membayar (sebahagian) daripada ansuran bulanan, jika dimanfaatkan dengan betul.
  2. Harga hartanah telah meningkat sebanyak 9.8% di antara tahun 2007 dan 2017. Kadar tersebut dijangka tidak akan turun dalam masa terdekat. Waktu terbaik untuk membeli rumah adalah 10 tahun yang lalu. Waktu terbaik seterusnya adalah hari ini.
  3. Kos lebih rendah untuk jangka masa yang lama seperti perbandingan yang ditunjukkan di dalam graf di atas.

Jika anda mampu membeli rumah idaman, anda sedang menggunakan wang anda untuk sesuatu yang amat berharga. Hutang boleh menjadi hutang yang baik, jika hutang tersebut memberikan pendapatan atau pulangan jangka masa panjang. Sebagai permulaan, anda boleh membeli rumah ‘sub-sale’ atau rumah lelong memandangkan harga adalah lebih murah. Tetapi, anda perlu lebih cermat kerana rumah jenis tersebut selalunya tidak mempunyai “jaminan” seperti rumah baharu.

Jadi, Patutkah Saya Beli atau Sewa?

Gambar oleh Vladislav Babienko

Terdapat banyak perbincangan yang menyokong bahawa menyewa adalah lebih baik dan tidak kurang juga yang menyatakan sebaliknya. Tetapi, secara amnya, keputusan terletak di tangan anda. Anda sendiri perlu menilai kebaikan dan keburukan di antara membeli dan menyewa rumah. Kemudian, lakukan penilaian berdasarkan kedudukan kewangan anda. Ingat, tiada betul atau salah dalam membeli atau menyewa. Semuanya berdasarkan atas keadaan anda.

Bagi yang tidak mampu membeli rumah namun ingin memilikinya, ini mungkin boleh menjadi pilihan yang baik terutamanya untuk pembeli rumah pertama. Dalam Belanjawan 2020 baru-baru ini, kerajaan telah memperkenalkan sebuah skim yang bernama ‘Rent-to-Own’ (RTO). Tujuan skim ini diperkenalkan adalah untuk membantu pembeli rumah pertama yang menghadapi kesukaran membuat bayaran pendahuluan 10% dan sukar untuk mendapat dana membeli rumah. Skim ini membiayai hartanah yang berharga sehingga RM500,000.

Jadi, bagaimana skim ini dapat membantu? Pada 5 tahun pertama, pemohon akan menyewa hartanah tersebut. Selepas tahun pertama, penyewa boleh membuat keputusan untuk membeli rumah tersebut berdasarkan harga yang ditetapkan sewaktu menandatangani perjanjian sewaan. Pengecualian akan termasuk duti setem.

Rencana ini disediakan oleh Direct Lending, sebuah platform dalam talian yang membawa misi untuk memberikan bantuan kewangan mudah, selamat dan berpatutan untuk semua individu yang bekerja keras. Kami bantu peminjam untuk cari, mohon dan menerima bantuan kewangan yang sesuai dengan mereka. Perkhidmatan kami adalah 100% percuma.

Direct Lending

Add comment