berjimat cermat

Harga Barang Naik Lagi? Ini 5 Cara Bijak Berjimat Cermat

Isu kenaikan harga barangan di negara ini bukanlah suatu perkara baharu, malah hampir setiap tahun berlaku.  Kenaikan mendadak harga barangan asas terutamanya makanan seperti ayam, ikan, sayur dan sebagainya ini secara tidak langsung memberikan tekanan kos sara hidup dan kesan mendadak kepada komitmen bulanan buat rakyat.  Perkara itu turut menyaksikan setiap sen yang dikeluarkan perlu dibuat dengan cukup berhati-hati meskipun hanya untuk kegunaan barangan keperluan asas sambil mulai mengamalkan gaya hidup lebih berjimat cermat. 

Cara berjimat cermat untuk pelajar

berjimat cermat
Sumber gambar: Canva

Mengenali perbezaan antara keperluan dan kehendak 

Keperluan merupakan sesuatu yang diperlukan untuk meneruskan hari dan kehidupan anda sebagai seorang pelajar seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal manakala kehendak ialah keinginan untuk membeli makanan di luar kemampuan atau memiliki pakaian berjenama. 

Terlalu mengikut kehendak boleh menyebabkan anda kehabisan duit dan terpaksa mengikat perut di hujung bulan, lebih baik anda mula untuk menabung.

Memanfaatkan kad pelajar 

Terdapat kedai-kedai buku dan alat tulis yang memberikan potongan istimewa untuk pelajar universiti. Bahkan, banyak juga perkhidmatan lain yang menawarkan diskaun menarik kepada anda. Jangan lepaskan peluang menarik ini!

Menggunakan pengangkutan yang disediakan 

Ketika berada di kampus, pastinya pihak universiti ada menyediakan perkhidmatan bas atau pengangkutan untuk memudahkan anda ke kelas. Gunakanlah perkhidmatan ini sepenuhnya kerana ia mampu membantu anda berjimat cermat duit berbelanja. 

Elakkan daripada menggunakan perkhidmatan e-hailing sekiranya tiada keperluan mendesak.

Menjual barangan terpakai, menawarkan perkhidmatan

Sekiranya anda mempunyai barangan yang masih dalam keadaan baik mahupun berjenama dan tidak lagi digunakan, anda boleh menjualnya kepada rakan-rakan atau secara dalam talian untuk menyokong wang perbelanjaan. 

Selain menjual pakaian, anda boleh juga menjual makanan, membuat perkhidmatan mencetak dan mana-mana yang tidak bercanggah dengan peraturan universiti.

Cara berjimat cermat untuk suri rumah

berjimat cermat
Sumber gambar: Canva

Bercucuk tanam dan masak sendiri

Menaman tanaman sendiri sama ada di belakang rumah, pasu atau mana-mana kawasan bersesuaian pastinya sedikit sebanyak dapat menjimatkan perbelanjaan dapur. Antaranya anda boleh menanam pandan, serai dan daun kari.  

Selain itu, anda juga digalak memasak di rumah. Selain menjamin tahap kebersihan dan perbelanjaan berhemah, ia juga dapat dimanfaatkan untuk menyerlahkan kreativiti serta mengeratkan hubungan keluarga.

Mengamalkan konsep 3R

Sebagai seorang suri rumah, langkah lain yang menjimatkan dan menguntungkan adalah dengan mengamalkan 3R, iaitu Reduce, Reuse dan Recycle.

Reduce merujuk pengurangan. Anda boleh aplikasikannya seperti mengurangkan pembelian barangan yang tidak perlu seperti pakaian yang boleh dikongsi atau membeli makanan dalam kuantiti melampau. 

Reuse pula menggunakan bahan-bahan terpakai atau masih elok untuk menghasilkan sesuatu yang berguna tanpa perlu membeli yang baharu, manakala Recycle adalah mengitar semula bahan-bahan seperti besi, aluminium, tin minuman, botol dan kaca yang boleh anda jual kepada peraih kitar semula. Sekurang-kurangnya anda boleh memperoleh duit poket lebih!

Membeli barangan secara borong dan semasa promosi 

Berbelanjalah secara bijak. Apabila anda membeli barangan secara banyak atau pukal sebenarnya ia memberi keuntungan untuk jangka masa panjang. 

Selalunya barangan pukal ini lebih murah harganya berbanding jika anda membeli secara runcit atau unit. 

Di samping itu, anda juga akan mendapat harga barangan jauh lebih murah apabila tibanya musim promosi seperti hari perayaan atau tarikh-tarikh istimewa atau semasa pembukaan pasaraya baharu. 

Kini, platform dalam talian juga menawarkan banyak promosi apabila anda membeli melalui platform tersebut. 

Sekiranya anda perlukan sesuatu barangan namun tidak memerlukannya pada hari ini, anda boleh tunggu sehingga barangan itu dijual murah ataupun cuba mendapatkan kupon dan gunakannya sekiranya anda bercadang untuk membeli.

Mempraktikkan penjimatan elektrik

Anda boleh mendidik ahli keluarga supaya sentiasa mengamalkan langkah penjimatan elektrik seperti menutup suis apabila tidak menggunakan sesuatu, membeli perkakas elektrik dengan label jimat tenaga dan mencabut soket jika tidak menggunakannya. 

Ini secara tidak langsung dapat menjimatkan bil elektrik rumah daripada melambung tinggi.

Cara berjimat cermat untuk gaji rendah

Sumber gambar: Canva

Membuat belanjawan gaji 

Membuat belanjawan gaji pada setiap bulan sekiranya anda tidak pernah melakukannya. Peruntukkan perbelanjaan yang perlu setiap bulan termasuk makanan, sewa, komitmen.

Pastikan anda berdisiplin untuk mengikuti belanjawan yang telah ditetapkan selain ketepikan dahulu barangan atau kemahuan yang tidak mendesak. 

Ada banyak cara urus gaji yang boleh anda ikut dalam pengurusan kewangan peribadi anda, seperti rule 50 30 20 yang membantu anda membahagikan duit gaji mengikut keperluan, kehendak dan lain-lain.

Menjana side income

Sekarang ini pelbagai cara yang anda boleh lakukan untuk jana pendapatan dari rumah walaupun anda bekerja sepenuh masa.

Apa yang penting anda bersungguh-sungguh untuk melakukannya dan pastikan ia tidak mengganggu tugas hakiki kalian.

Sebagai contoh, Portal seperti Fiverr, Upwork, Freelancer, Servishero dan Kaodim membolehkan anda memperkenalkan kemahiran dan perkhidmatan anda secara dalam talian dengan mudah. Isikan profil dan butiran yang diperlukan dan anad boleh memohon sebarang jawatan yang diiklankan.

Selain itu, pada hujung minggu sekiranya anda bosan di rumah, anda boleh menjadi pemandu servis e-Hailing seperti Grab.  Anda juga boleh melakukan perkhidmatan penghantaran makanan seperti foodpanda, Shopee food, Lalamove dan sebagainya. 

Antara lain, perkhidmatan e-dagang kini mula mendapat tempat dalam kalangan masyarakat untuk membeli-belah. Anda boleh menjual pelbagai barangan atau perkhidmatan di platform seperti  Lazada, Carousell, Mudah dan 11street. Asalkan anda mempunyai rangkaian internet yang baik.

Jangan menambah hutang 

Inilah masanya untuk mengkaji komitmen pinjaman dan pembiayaan bulanan, menyelaras bajet perbelanjaan harian dan isi rumah berdasarkan kemampuan pendapatan serta memastikan simpanan boleh bertahan untuk jangka masa lama.

Bagi kad kredit, baki tunggakan boleh ditukar kepada pinjaman berjangka dengan kadar faedah lebih rendah. Namun, jika situasi kewangan terkesan, sebaik-baiknya elakkan daripada melonjakkan penggunaan kad kredit, ataupun menambah hutang bertimbun. 

Keadaan ini hanya akan memudaratkan masalah kewangan anda dan sebagai panduan, bagi yang terpaksa menerima potongan gaji, janganlah berbelanja seperti biasa, cuba terokai pilihan lain yang dapat menambahkan pendapatan dan sentiasa jimat cermat.

Menyimpan gaji ke akaun menguntungkan 

Gaji yang diterima anda boleh masukkan sedikit ke dalam akaun berasingan yang tidak mudah diganggu atau menguntungkan. Untuk tujuan ini akaun yang terbaik adalah yang sukar dikeluarkan seperti tabung haji atau amanah saham.

Kalau gaji masuk dalam akaun Maybank, cuba simpan sedikit dalam akaun CIMB. Paling disyorkan adalah menyimpan ke dalam akaun yang susah untuk dikeluarkan seperti Tabung Haji, ASN dan ASB.

Memanfaatkan pas perjalanan My50 

Anda boleh memanfaatkan penggunaan pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan, iaitu My50 untuk perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang diperkenalkan kerajaan di bawah skim Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun 2020.

Biasanya untuk pas bulanan, nilainya adalah RM200. Dengan My50, ini secara tidak langsung dapat menjimatkan perbelanjaan perjalanan anda sekiranya menggunakan pengangkutan awam. 

Pas ini khas untuk kegunaan rakyat Malaysia dan boleh berfungsi menggunakan MyKad, MyTentera, dan MyKid serta boleh anda dapatkan di semua stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT. 

Menggunakan e-wallet

Dapatkan lebih keuntungan dan penjimatan apabila anda membuat pembayaran menggunakan e-wallet. Terdapat pelbagai dompet maya atau e-wallet yang selamat dan boleh dipercayai di Malaysia, antaranya GrabPayBoost, dan FavePay.

Penggunaannya kian mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia kerana sifatnya yang mesra pengguna, kepelbagaian kedai serta potongan harga istimewa. Bukan itu sahaja, tawaran cashback atau balik tunai juga menanti anda. Kerjasama dengan pelbagai merchant dan perkhidmatan sentiasa menawarkan pelbagai cashback dan diskaun menarik yang semestinya akan membuat pengguna tergoda! Inilah yang dikatakan sebagai membeli-belah dengan bijak.

Cara berjimat cermat untuk freelancer

Sumber gambar: Canva

Mengasingkan akaun bisnes dan akaun peribadi

Mengasingkan akaun bisnes dan akaun peribadi amat penting. Pertamanya, ia dapat memudahkan pengurusan kewangan dan cukai termasuk mengenal pasti antara duit bisnes dan duit peribadi.

Akaun bisnes boleh anda gunakan sebagai modal untuk mengembangkan perniagaan, membayar kos pemasaran, kerosakan sesuatu barangan dan sebagainya untuk perkembangan perniagaan atau perkhidmatan, malahan mengelakkan anda daripada sebarang masalah undang-undang. 

Menetapkan bajet perniagaan 

Perkara ini penting kerana anda dapat melihat aliran keluar wang untuk memudahkan kelangsungan perancangan perniagaan anda.  Anda boleh gunakan aplikasi kewangan untuk merekod semua perbelanjaan anda.

Anda juga dapat melihat sama ada akan terlebih berbelanja atau terkurang berbelanja pada setiap bulan.

Mengasingkan sedikit pendapatan untuk kecemasan 

Sebagai seorang freelancer, anda mungkin sudah terbiasa dengan pelanggan yang tidak membayar tepat pada masanya. 

Oleh itu, penting untuk anda mengasingkan sedikit pendapatan yang diperoleh untuk digunakan pada masa kecemasan seperti kelewatan bayaran. Ini juga dapat membantu anda bertahan untuk jangka masa tertentu sebelum menerima pembayaran. 

Mempelajari asas perakaunan

Perakaunan ialah proses merekod, mengelas dan mentafsir urusniaga perniagaan dengan nilai wang melalui cara yang ringkas dan sistematik. Simpan kira ialah cara merekod urusniaga perniagaan dengan tepat dan sistematik.

Faedahnya menyaksikan anda mampu menyusun rekod kewangan, mengetahui kedudukan kewangan, mengawal hutang dan memudahkan proses perancangan kewangan untuk jangka masa panjang.

Cara berjimat cermat untuk bisnes

Sumber gambar: Canva

Memulakan tabiat kewangan yang baik

Tabiat kewangan yang baik adalah dengan menyediakan peraturan kewangan akan melindungi bisnes dan memacu perkembangannya. Sebagai contoh, anda boleh menyediakan peraturan sebelum membelanjakan duit bisnes ke sesuatu tempat atau perkara. 

Antara lain, anda juga perlu mendapatkan persetujuan rakan kongsi atau pekerja sebelum membuat sebuah keputusan yang besar. Ini juga bagi memastikan tiada sebarang penipuan berlaku dan mengurangkan pelaburan ke atas perniagaan anda. 

Memantau perbelanjaan

Apabila anda memantau perbelanjaan, ia membantu anda mengakses maklumat perniagaan dan melihat rekod transaksi perniagaan, sekali gus membantu mereka yang terbabit menguruskan urusan kewangan dan perniagaan dengan lebih cekap serta berkesan.

Anda juga dapat mengenal pasti kedudukan kewangan, mengawal kos dan perbelanjaan perniagaan, mengawal aliran tunai perniagaan, jumlah pendapatan dan perbelanjaan perniagaan secara harian, mingguan serta bulanan.

Manfaatkan inisiatif kerajaan

 

  • SemarakNiaga

Inisiatif SemarakNiaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bernilai RM40 bilion yang dilancarkan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 21 Februari 2022 merupakan sebahagian daripada strategi induk Bajet 2022 untuk membantu sektor perniagaan bangkit semula, terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

 

Kesimpulan

Di sebalik pelbagai bantuan dan tip diberikan, apa yang penting adalah untuk sentiasa berbelanja secara berhemah dan berjimat cermat kerana kita tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku pada masa hadapan.  Diharapkan segala cadangan dan nasihat kewangan diberikan dapat membantu anda berjimat cermat tanpa perlu mengikat perut.

Artikel ini ditulis oleh Direct Lending – platform pinjaman peribadi bank & koperasi dan pinjaman wang berlesen. Kami boleh bantu anda cari, banding & mohon pinjaman yang paling sesuai dengan anda. Semak kelayakan anda secara percuma & dapatkan kadar pinjaman serendah 2.69% atau secepat 2 hari bekerja.

 

SHARE ARTIKEL INI
Share on facebook
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Share on twitter

Subscribe Newsletter

* indicates required