Elak 6 Kesilapan Ini Sebelum Mohon Pinjaman Peribadi

Pinjaman peribadi menjadi pilihan ramai kerana ia tidak memerlukan cagaran. Jadi, peminjam mempunyai kebebasan untuk menggunakan dana tersebut untuk pelbagai tujuan. Contohnya, penyatuan hutang, penstrukturan pinjaman, pembelian kereta, pembayaran perbelanjaan perubatan, dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, apabila sesetengah individu terperangkap dalam masalah kewangan, mereka cenderung untuk terlepas pandang aspek penting  apabila memohon pinjaman peribadi. Mungkin anda juga pernah dengar cerita tentang mangsa scam pinjaman yang dikenakan bayaran kadar faedah yang tinggi. Jangan risau, dalam artikel ini kita akan berkongsi tentang beberapa kesilapan yang sering dilakukan oleh peminjam ketika memohon pinjaman peribadi.

1. Meminjam lebih daripada apa yang anda perlukan

Sumber Gambar: Freepik

Walaupun anda mungkin layak untuk memohon pinjaman peribadi dengan amaun yang tinggi, tetapi itu tidak bermakna anda harus meminjam lebih banyak daripada apa yang anda perlukan. Jumlah pinjaman yang lebih tinggi bermaksud anda akan membayar lebih banyak kadar faedah dalam jangka masa panjang.

Sama juga apabila anda memohon pinjaman peribadi walaupun sebenarnya anda tidak memerlukannya. Anda hanya akan mengakibatkan skor kredit anda jadi kurang cantik apabila anda sukar untuk membayar ansuran bulanan tepat pada waktunya atau membayar lebih banyak kadar faedah. Pastikan anda hanya memohon pinjaman peribadi sekiranya anda betul-betul memerlukannya.   

2. Tidak kisah tentang skor kredit anda

Sumber Gambar: Freepik (@Stokkurs)

Biasanya apabila bank memproses aplikasi permohonan pinjaman, mereka akan melihat skor kredit anda. Skor kredit itu penting sebab ia akan menggambarkan tingkah laku pembayaran balik anda; sama ada anda membayar bil anda dengan tepat pada masanya ataupun lewat. Seperti yang dinyatakan oleh CTOS, skor kredit yang baik adalah skor yang melebihi 697.

Jadi, cuba ketahui skor kredit anda dan kekalkan skor tersebut melebihi 697. Sekiranya anda mempunyai hutang tertunggak seperti kad kredit, selesaikan hutang tersebut dahulu sebelum memohon pinjaman peribadi. Skor kredit anda penting kerana ia akan menentukan sama ada pinjaman anda akan diluluskan ataupun tidak, amaun pinjaman yang diluluskan dan juga kadar faedah yang anda akan peroleh.

Terdapat juga sumber pembiayaan alternatif lain seperti pemberi pinjaman wang berlesen atau koperasi di mana mereka menerima peminjam yang mempunyai skor kredit yang lebih rendah. Untuk pinjaman wang berlesen, kebiasaannya kadar faedah adalah lebih tinggi daripada pinjaman koperasi. Ini disebabkan pembayaran balik pinjaman koperasi adalah melalui pemotongan gaji dan ini hanya adalah untuk penjawat awam. Pemberi pinjaman yang sah akan melakukan semakan untuk pastikan anda mampu untuk membayar balik pinjaman dan juga rekod kredit anda.

Baca lanjut untuk ketahui apakah itu CCRIS & CTOS dan juga cara untuk membaca CCRIS rekod.

3. Meminjam dengan pemberi pinjaman wang yang tidak berlesen

Sumber Gambar: Freepik

Dalam situasi terdesak, kebiasaannya individu yang memerlukan jumlah wang yang banyak dan cepat, mereka lebih mudah terjebak dengan skim pemberian pinjaman wang yang tidak berlesen. Situasi ini berlaku  berbanding dengan institusi kewangan yang lain kerana pemberi pinjaman yang tidak berlesen boleh memberikan tunai dengan segera. Jadi, apabila seseorang individu itu kesempitan duit, mereka akan terburu-buru memohon pinjaman tanpa menyelidik latar belakang pemimjam terlebih dahulu. Mereka juga mudah tertarik dan terpedaya dengan tempoh kelulusan yang cepat. Ada juga yang tidak kisah dengan kadar faedah yang tinggi dan syarat-syarat yang tersembunyi dalam tawaran.

Pemberi pinjaman wang yang tidak berlesen tidak dikawal selia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) boleh melakukan apa-apa sahaja terhadap peminjam tersebut. Contohnya, menganggu ahli keluarga peminjam  dengan kaedah kekerasan. Pemberi pinjaman yang sah wajib mematuhi Akta Pemberi Pinjam 1951. Sebagai contoh, pemberi pinjaman berlesen yang sah harus memperbaharui lesen mereka setiap 2 tahun, menawarkan kadar faedah maksimum 12% p.a. (untuk pinjaman bercagar) dan 18% p.a. (untuk pinjaman tidak bercagar).

Berikut adalah beberapa petua yang anda boleh gunakan untuk melindungi diri anda daripada berurusan dengan pemberi pinjaman wang tidak berlesen:

1. Periksa status latar belakang syarikat melalui laman web KPKT atau hubungi talian telefon mereka 03-8000 8000.

2. Periksa sama ada lesen mereka adalah daripada KPKT bukannya Bank Negara Malaysia.

3. Periksa sama ada permohonan itu memerlukan dokumentasi pinjaman standard (salinan IC, slip gaji, penyata bank, KWSP, dll.).

4. Periksa kadar faedah yang ditawarkan adalah betul (maksimum 12% p.a. untuk pinjaman bercagar & 18% p.a. untuk pinjaman tidak bercagar), perjanjian pinjaman disahkan oleh pihak ketiga iaitu peguam, pegawai undang-undang, pesuruhjaya sumpah.

Untuk maklumat lebih lanjut tentang pemberi pinjaman sah, baca artikel kami di mana kami membandingkan perbezaan antara pemberi pinjaman sah dengan ah long.

4. Menggunakan nama anda sebagai peminjam

Sumber Gambar: Freepik (@katemangostar)

Percaya atau tidak, situasi ini merupakan antara isu yang sering berlaku di Malaysia. Terdapat kes di mana individu menggunakan nama mereka sendiri untuk menjadi peminjam. Tetapi, nama mereka telah disalahguna oleh rakan baik, ataupun ahli keluarga sendiri.

Akibatnya, ramai peminjam yang ikhlas untuk membantu terpaksa menanggung hutang dan kerugian yang besar akibat terlalu mempercayai orang lain yang tidak membayar hutang mereka. Mereka ikhlas membantu tetapi diisytiharkan muflis atau ‘bankrupt’ pula. Ada juga selebriti lokal kita yang telah menjadi mangsa situasi macam ini.

Memang bagus kalau kita ada niat untuk membantu kawan atau ahli keluarga yang terbeban dengan masalah kewangan. Tetapi, lebih baik jika kita berhati-hati apabila perkara tersebut melibatkan kewangan. Memang tidak berbaloi untuk membantu kerana akhirnya diisytiharkan muflis pulak.

Sebagai langkah berjaga-jaga, dinasihatkan agar tidak menggunakan nama anda sebagai peminjam bagi pihak individu lain, tidak kiralah seberapa dekat hubungan anda dengan mereka. Sekiranya anda tidak dapat melakukannya, selalu memantau rekod pembayaran balik individu ini agar ia tidak akan membawa masalah kepada diri sendiri.

5. Terburu-buru jadi penjamin

Sumber Gambar: Freepik (@kues1)

Terdapat sesetengah bank yang menetapkan penjamin sebagai prasyarat untuk kelulusan pinjaman. Kebiasaannya, ahli keluarga atau kawan-kawan mungkin akan meminta anda untuk menjadi sebagai penjamin mereka. Walaupun tidak salah untuk anda menjadi penjamin mereka, tetapi pastikan anda menyemak dahulu situasi kewangan mereka seperti komitmen yang ada dan juga kemampuan mereka untuk membayar ansuran bulanan. Langkah ini adalah sangat penting untuk membantu melindungi diri anda dari keadaan yang tidak diingini pada masa hadapan!

Ada ramai penjamin yang tidak sedar jika nama mereka tersenarai sebagai penjamin. Sebenarnya, mereka juga boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya peminjam tersebut tidak membayar balik ansuran bulanan mereka. Perkara ini telah mengakibatkan ramai penjamin yang diisytiharkan muflis atau disenarai hitam dan tidak dapat memohon pinjaman untuk diri mereka sendiri.

Sebagai seorang penjamin adalah penting untuk mengetahui jika peminjam tersebut akan membayar hutang mereka dengan tepat pada masanya. Jika tidak, penjamin juga mempunyai kebarangkalian untuk diheret ke mahkamah untuk tindakan undang-undang. Jadi, kajilah isi kandungan perjanjian tersebut sebelum anda setuju untuk jadi seorang penjamin. Baca sini untuk ketahui 5 peringatan penting yang anda perlu tahu selaku penjamin.

6. Tidak kaji & faham syarat pinjaman yang ditawarkan

Sumber Gambar: Freepik (@mikalaj)

Kami faham kadang-kala proses permohonan pinjaman ataupun perjanjian pinjaman kelihatan adalah agak teknikal. Jadi, anda mungkin terlepas pandang beberapa butiran dalam perjanjian pinjaman anda. Sebagai seorang peminjam, adalah penting untuk anda memberi perhatian terhadap kriteria penting pinjaman. Contohnya, antara beberapa soalan yang anda perlu tahu adalah – apakah kadar faedah pinjaman, bagaimana anda akan bayar pinjaman atau apakah cara pembayaran balik pinjaman, berapa lama tempoh pinjaman, ada caj untuk bayaran tertunggak?

Ia adalah penting untuk anda mengetahui dan faham beberapa syarat pinjaman yang penting ini agar anda tidak menyesal nanti. Bayangkan kalau anda terikat dengan pinjaman selama 10 tahun dengan kadar faedah yang tinggi. Jadi, berhati-hati ketika anda ingin memohon pinjaman. Selalu banding dan dapatkan tawaran terbaik!

Sini kami ada senaraikan 8 benda yang anda perlu tahu sebelum menandatangani kontrak pinjaman.

Kesimpulan

Kami berharap artikel ini boleh membantu anda semua yang ingin memohon pinjaman peribadi nanti. Jangan lupa untuk mengikuti kami di laman Facebook  untuk mendapatkan tips kewangan mantap.

Perlu kewangan tambahan yang selamat & mampu milik?

Layari Direct Lending – platform pinjaman yang boleh membantu anda cari, banding & mohon pinjaman yang bersesuaian dengan keperluan anda secara selamat & mampu milik. Semak kelayakan anda secara percuma. Anda boleh menyemak dahulu dan menentukan kemudian sama ada anda ingin memohon pinjaman atau tidak. Kami tidak akan caj apa-apa pun. Dapatkan tawaran terbaik dengan kita hari ini!

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter