50/30/20 Rule: Rancang Kewangan Dengan Teknik Belanjawan Ini

50/30/20 Rule: Rancang Kewangan Dengan Teknik Belanjawan Ini

Berdasarkan laporan kaji selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan 2018, masih ramai rakyat Malaysia mempunyai tahap keyakinan rendah, terutama dalam merancang kewangan mereka. Ia semestinya memberi impak tidak sihat kepada kesejahteraan kewangan rakyat, terutama di kala berdepan pandemik.

Oleh itu, sedikit pengetahuan berkaitan pengurusan kewangan amat penting dalam membantu membuat perancangan kewangan dan komitmen bulanan, terutama ketika mendepani situasi mencabar dan tidak dijangka.

Jika anda rasa melakukan perancangan kewangan itu satu perkara yang renyah, anda boleh lakukan perancangan ringkas. Antara cara yang berguna dalam merancang kewangan adalah menggunakan teknik 50/30/20 rule.

Apakah Peraturan 50/30/20?

Peraturan 50/30/20 atau lebih dikenali sebagao 50 30 20 rule ialah kaedah belanjawan mudah yang boleh membantu anda menguruskan wang dengan berkesan, ringkas dan mampan. Asasnya ialah membahagikan pendapatan anda selepas cukai bulanan kepada tiga kategori perbelanjaan: 

  • 50% untuk keperluan (needs).
  • 30% untuk kehendak (wants).
  • 20% untuk simpanan (savings) atau membayar hutang (debt).
50 30 20 rule

Bagaimanapun, peraturan ini menimbulkan persoalan ramai apabila kehendak melebihi simpanan, dan adakah ia benar-benar efektif dalam mencapai matlamat kewangan yang dikehendaki?

Bagaimana Cara Mengaplikasikan Peraturan 50/30/20?

1. 50%: Keperluan

Keperluan ialah bil-bil yang mesti anda bayar dan merupakan perkara yang diperlukan untuk terus hidup. Ia termasuk bayaran sewa atau gadai janji, pembayaran kereta, barangan runcit, insurans, penjagaan kesihatan, pembayaran hutang minimum dan utiliti

Separuh daripada pendapatan anda selepas cukai adalah semua yang diperlukan untuk menampung keperluan dan kewajipan hidup. Jika anda membelanjakan lebih daripada itu untuk keperluan, anda perlu sama ada mengurangkan keinginan atau cuba mengecilkan gaya hidup anda, mungkin ke rumah yang lebih kecil atau kereta yang lebih sederhana. 

2. 30%: Kehendak

Kehendak adalah semua perkara yang anda belanjakan wang untuk perkara yang tidak terlalu penting. Ia termasuk makan malam, menonton wayang, membeli beg tangan baharu, tiket ke acara sukan, percutian dan gadjet terkini

Semua itu dapat dijimatkan dengan melakukan senaman di rumah dan tidak melanggan gimnasium, memasak berbanding makan di luar, atau menonton sukan di televisyen berbanding menontonnya secara langsung di stadium 

Ia juga termasuk keputusan untuk menaik taraf sesuatu perkara seperti memilih stik yang lebih mahal berbanding yang lebih murah atau membeli Mercedes dan bukannya Honda yang jauh lebih jimat. Pada asasnya, kehendak adalah semua tambahan kecil yang anda belanjakan untuk menjadikan hidup lebih menyeronokkan dan menghiburkan. Tidak salah untuk sekali sekala, namun biarlah ia berpada-pada. 

3. 20%: Simpanan

Kategori akhir ialah dengan memperuntukkan 20% daripada pendapatan bersih anda untuk simpanan dan pelaburan. Ia termasuk menambah wang pada dana kecemasan dalam akaun simpanan bank. 

Anda harus mempunyai sekurang-kurangnya tiga bulan simpanan kecemasan sebagai persiapan sekiranya anda kehilangan pekerjaan atau kejadian yang tidak diduga berlaku. Meskipun peruntukan untuk simpanan lebih kecil berbanding yang lain, namun ia adalah peruntukan paling penting dalam perancangan kewangan. 

Contoh Pelaksanaan

Katakan pendapatan selepas cukai anda adalah RM3,000 dan anda mengikut kaedah yang diperkenalkan oleh Warren, maka peruntukan kewangan anda boleh jadi seperti berikut. Anda boleh membelanjakan 50% atau RM1,500 untuk keperluan seperti sewa atau gadai janji, kenderaan, barangan dapur, insurans dan sebagainya. Namun begitu, jumlah peruntukan ini harus selari dengan kos keperluan bulanan anda.

Lagi 30% atau RM900 daripada wang tersebut digunakan untuk kegunaan bebas seperti keahlian gim, makan di luar, keahlian Netflix dan lain lain. Baki 20% atau RM600 pula harus disimpan atau digunakan untuk menyelesaikan hutang. Ini termasuklah wang simpanan kecemasan, pelaburan skim persaraan atau pelaburan akaun Amanah Saham (ASB).

Walaupun peruntukan untuk simpanan adalah lebih kecil berbanding yang lain, namun ini adalah peruntukan yang paling penting dalam perancangan kewangan. Warren percaya bahawa simpanan yang kecil adalah lebih baik berbanding dengan tidak mempunyai simpanan langsung.

Tambahan lagi, jika anda gunakan duit tersebut untuk menyelesaikan hutang, anda sebenarnya sedang membuka peluang kewangan kepada diri anda. Warren juga menyatakan bahawa bukan semua hutang akan membebankan masa hadapan anda. Hutang seperti pembelian rumah, kereta dan pinjaman pelajaran adalah hutang yang baik kerana anda akan memperoleh faedah daripadanya pada masa depan.

Manakala kad kredit dan pinjaman habis bulan tidak akan memberikan anda sebarang aset. Malah, hutang sebegini, jika terkumpul, akan menyebabkan hutang buruk yang menggunung. Perkara ini akan meningkatkan risiko bankrupsi.

Gunakan Aplikasi Kewangan 

Sekiranya anda mengalami masalah untuk merancang kewangan, tidak salah untuk menggunakan beberapa aplikasi kewangan yang dapat memudahkan pengurusan kewangan peribadi anda. Terdapat banyak aplikasi percuma yang boleh bantu perancangan kewangan anda. Kebanyakan aplikasi ini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang boleh membantu anda mengurus semua kewangan anda dengan menyambungkan akaun perbankan dan e-wallet anda. Cara ini juga cara yang mudah untuk menjejaki perbelanjaan harian dengan hanya menambahkan apa-apa perbelanjaan anda kepada laman aplikasi tersebut. Ianya boleh membantu pengurusan kewangan peribadi anda seperti bil, skor kredit, hutang kredit, pelaburan dan lain-lain. 

Garis Panduan Umum

Adakah peraturan 50/30/20 ini langkah terbaik yang akan membawa anda kepada kedudukan kewangan yang kukuh? Peraturan daripada Warren ini hanyalah nasihat kewangan umum untuk memudahkan proses perancangan. Anda tidak perlu kira setiap sen. Anda hanya perlu kekalkan peruntukan dan tidak perlu terlalu teliti dengan setiap satunya.

Segelintir penasihat kewangan lebih cenderung kepada peraturan simpanan 10%, sebuah model simpanan yang wujud sejak zaman 1920-an. Peraturan ini menyeru untuk simpan sekurang-kurangnya 10% daripada jumlah pendapatan sebagai dana persaraan. Peraturan ini mungkin tidak boleh diguna pakai pada zaman ini.

Ini kerana pada zaman dahulu, kebanyakan masyarakat tidak hidup melebihi 60 tahun. Pada tahun 2020, kadar jangka umur di Malaysia adalah 76.22 tahun. Dengan kadar hidup yang lebih tinggi, simpanan sebanyak 10% sebulan adalah tidak mencukupi. Simpanan persaraan anda mungkin akan habis sebelum tamatnya riwayat anda.

Keselesaan Hari Esok

Sumber Gambar: Freepik (@Tirachardz)

Salah satu cabaran besar untuk keluarga dan individu makan gaji di Malaysia adalah menyediakan perancangan kewangan. Peraturan 50/30/20 adalah mudah tapi tidak semestinya berkesan. Anda boleh ubah peraturan tersebut dan laraskan peruntukan mengikut kemampuan dan matlamat kewangan anda.

Anda juga boleh sediakan peraturan kewangan anda sendiri,kerana kejayaan sebarang perancangan kewangan bergantung kepada pelaksanaan. Aspek yang lebih penting adalah untuk simpan sebanyak mungkin, jika boleh, untuk keselesaan hari esok.

Video: Cara Guna Peraturan 50/30/20 Untuk Urus Kewangan

Artikel ini ditulis oleh Direct Lending – platform pinjaman peribadi bank & koperasi dan pinjaman wang berlesen. Kami boleh bantu anda cari, banding & mohon pinjaman yang paling sesuai dengan anda. Semak kelayakan anda secara percuma & dapatkan pinjaman serendah 2.75% atau secepat 2 hari bekerja.

Join channel Telegram kami untuk lebih banyak tips dan nasihat kewangan!

SHARE ARTIKEL INI
Share on facebook
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Share on twitter

Subscribe Newsletter

* indicates required