Persiapan Hari Raya: 6 Checklist Mesra Bajet Untuk Bujang dan Bekeluarga
persiapan hari raya

Persiapan Hari Raya: 6 Checklist Mesra Bajet Untuk Bujang dan Bekeluarga

AKHIRNYA! Setelah dua tahun kita menyambut Hari Raya secara berasingan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) untuk memerangi COVID-19, kini ia kembali meriah seperti kebiasaannya. 

Kemeriahan itu pastinya dizahirkan apabila kita dapat embali berkumpul bersama keluarga, sanak saudara, ziarah-menziarahi dan banyak lagi. 

Namun, dalam kemeriahan tersebut, janganlah kita membazir dan cara terbaik untuk mengelakkan daripada ia berlaku adalah dengan merancang awal-awal persiapan Hari Raya, seperti bajet baju raya, duit raya, hiasan hari raya, dan banyak lagi.

1. Cara Sediakan Bajet Untuk Persiapan Hari Raya

persiapan hari raya
Sumber gambar: Freepik

Langkah 1:

Senaraikan setiap perbelanjaan yang diperlukan bagi menyambut perayaan seperti baju raya, duit raya, juadah dan sebagainya. Jangan lupa catat di buku, kertas, telefon pintar atau mana-mana medium yang selesa untuk anda rujuk. 

Langkah 2:

Tulis jumlah pendapatan atau bajet yang ada. Berdasarkan jumlah wang ini, tulis anggaran bajet yang diperlukan bagi setiap jenis perbelanjaan untuk persiapan hari raya anda.

Langkah 3

Anda mungkin menghadapi masalah peruntukan wang yang kurang berbanding dengan perbelanjaan yang diperlukan. Segera buat penilaian berdasarkan keperluan dan kehendak anda dan keluarga.

Keperluan perlu diutamakan berbanding dengan kehendak. Jika perlu, bajet ini boleh disemak semula bagi sebarang perubahan dan keperluan semasa.

2. Baju Hari Raya

Pada musim perayaan ini, sudah menjadi kebiasaan bagi pusat membeli-belah membuat jualan murah dan diskaun perayaan secara besar-besaran. Manfaatkan jualan murah dan diskaun yang ditawarkan pada musim ini, tetapi pastikan mengikut perbelanjaan anda yang telah ditetapkan.

Kebiasaannya, ramai dalam kalangan kita mudah menjadi rambang mata dengan harga murah yang tidak masuk akal dan ini boleh mendorong kita berbelanja sesuatu yang bukan keperluan diri sendiri. Tidak salah berbelanja dan memanfaatkan tawaran menarik yang ada, namun disiplin kewangan yang ketat perlu ada bagi membezakan keperluan dan kehendak sewaktu berbelanja bagi musim perayaan ini.

Apabila anda mengikut perbelanjaan yang ditetapkan dan masih memanfaatkan jualan murah dan diskaun yang ditawarkan, anda mungkin masih mempunyai baki belanja yang boleh disimpan pada masa akan datang ataupun membeli sedikit ganjaran kecil untuk diri anda sendiri kerana berdisiplin dalam kewangan.

Anda juga boleh mengikuti tips berjimat semasa beli baju hari raya ini:

  • Potongan Harga & Kod Promosi

Apabila Hari Raya sudah dekat, banyak kedai dalam talian yang akan melakukan potongan harga. Sentiasa perhatikan sebarang kos promosi dan potongan harga. Jika anda bertuah, anda boleh dapat sesuatu yang anda impikan dengan harga yang luar biasa.

Salah satu pilihan untuk mengurangkan kos pembelian baju raya adalah dengan membeli secara online. Laman web seperti ZaloraPoplook dan sebagainya mempunyai pilihan pakaian dalam pelbagai style, design dan harga.  Apa yang anda perlu lakukan adalah hanya dengan mengambil ukuran badan yang tepat untuk memastikan saiz yang betul.

  • Manfaatkan Ganjaran Tunai

Membeli belah sambil dapat ganjaran, seronok kan? Muat turun akaun Shopback secara percuma. Layari 500 kedai dalam talian yang dipaparkan. Contohnya, menerusi Shopack, anda boleh muat turun kod promosi Shopee seperti penghantaran percuma dan dapatkan ganjaran tunai sehingga 6%. 

  • Mix and Match

Tidak menjadi satu kemestian sebenarnya untuk anda memiliki baju baru di hari raya, asalkan pakaian itu masih elok dan cantik, anda masih lagi kelihatan segak dan cantik di hari raya ini! Jika anda seorang yang kreatif, anda masih boleh menggunakan pakaian lama anda dengan sedikit kelainan dengan menggunakan kaedah ‘mix and match’ pakaian anda.

Dengan ini, anda boleh jimatkan perbelanjaan di samping menggayakan pakaian dengan lebih dari satu cara. Bayangkan, blaus anda yang bernilai RM30 boleh dipadankan dengan skirt bercorak dan juga sepasang celana. Bukan sahaja perkara ini lebih menjimatkan, malah pakaian tersebut boleh digunakan untuk pelbagai acara seperti perkahwinan, temujanji, ataupun secara santai pada hari biasa.

Bagi wanita, anda boleh padankan baju kurung atau kebaya anda bersama corak atau warna tudung yang berbeza dari sebelum ini. Bagi lelaki pula, cuba tukar corak sampin anda atau gayakan dengan simpulan kain sampin yang berbeza pada tahun ini. Hari raya yang disambut pastinya meriah dengan kreativiti dan kelainan anda memperagakan busana raya anda pada tahun ini.

  • Beli dari Gedung atau Pemborong Pakaian 

Tentu anda pernah mendengar gedung-gedung tentang pakaian ternama seperti Jakel, Kenanga Wholesale City, Kamdar, Muaz Textiles dan sebagainya, bukan? 

Gedung-gedung pakaian terkenal seperti ini sering kali membuat promosi besar-besaran setiap kali hampir menjelangnya Hari Raya Aidilfitri. Sempena Aidilfitri 2016, Jakel pernah menawarkan 300 Baju Melayu percuma kepada orang yang terawal sampai di Jakel Shah Alam. Bukan tu sahaja, mereka juga telah menawarkan diskaun sebanyak 30% sehingga 80% untuk setiap pembelian.

Dengan kualiti dan rekaan yang baik serta menarik, ditambah pula dengan harga yang jauh lebih murah, perkara ini pastinya menarik bukan? Anda hanya perlu peka dengan promosi-promosi Aidilfitri yang ditawarkan oleh butik-butik dan gedung-gedung pakaian di sekitar anda.

  • Buat Perbandingan

Sama ada anda memilih untuk berbelanja di bazaar atau pun di butik-butik, elakkan fokus dan berbelanja di satu kedai sahaja.  Sentiasa membuat perbandingan harga disetiap kedai. Walaupun tampil dengan rekaan dan kualiti yang sama, adalah tidak mustahil untuk anda mendapatkannya dengan harga yang lebih murah.

3.  Hiasan Hari Raya

Usahlah membazir dalam menghias rumah anda. Tidak perlu pun berbelanja besar untuk menukar segala perabot dan barangan di rumah. 

Banyak cara yang boleh anda jimat, iaitu dengan gunakan kreativiti dan kitar semula bahan-bahan yang masih elok. Sebagai contoh mudah, kad raya yang terpakai boleh ditampal untuk dijadikan hiasan rumah yang bukan sahaja kreatif, tetapi penuh makna.

Anda boleh dapatkan barangan keperluan dengan harga yang murah atau tetap di kedai bajet seperti MR.DIY atau Daiso. Daripada permaidani sehingga ke pasu, perbelanjaan anda tidak perlu melebihi RM10 untuk barang-barang tersebut!

4. Duit Raya

Sebagai pelengkap sambutan ini, pemberian sampul berisi duit adalah suatu tradisi yang amat bermakna sebagai tanda bermurah hati dan bersedekah. 

Ada yang tidak dapat menziarahi saudara-saudari di negeri lain boleh cuba memilih untuk memberikan Duit Raya dengan cara ‘online transfer’. Contohnya, Maybank ada menawarkan fungsi e-Duit Raya yang anda boleh cubakan.

Selain itu, sekiranya anda malas untuk beratur lama di kaunter bank untuk tukar duit raya, kini ada cara yang lebih express dan lebih selamat untuk kita dapatkan duit baru tersebut, dengan hanya tiga cara sahaja di ATM. 

5.  Jamuan Raya

Seterusnya, apalah erti Hari Raya tanpa hidangan tradisi? Rendang, ketupat dan beberapa pencuci mulut tradisional Melayu yang lazat memainkan peranan yang penting pada hari perayaan ini! 

Bahagikan bil makanan antara adik-beradik atau saling bertukar juadah untuk menjimatkan wang sambil menghayati kelazatan makanan bersama. Sebagai tambahan, pastikan anda memilih pencuci mulut yang ringkas dan menjimatkan seperti Kuih Semperit dan Conflakes Madu.

Beli bahan untuk dimasak lebih awal, ini bukan sahaja dapat mengelakkan anda berdepan dengan kesesakan orang ramai yang membeli bahan masakan, malah mengelakkan terkesan akan kenaikan harga barang sewaktu musim perayaan.

Lagi satu, usahlah membazir membeli set pinggan mangkuk yang baharu sekiranya yang lama masih lagi cantik dan elok untuk digunakan. 

6. Perjalanan Balik Kampung

Memetik iProperty, berikut beberapa senarai perbelanjaan dan tip untuk anda merancang perjalanan balik kampung. 

Sebelum pulang ke kampung

  • Kos minyak kenderaan
  • Kos bayaran tol
  • Kos servis kenderaan (penting sebelum melakukan perjalanan yang jauh)
  • Harga tiket bagi yang menggunakan pengangkutan awam

Sekiranya anda menghadapi kesempitan wang untuk servis kereta, kini ada perkhidmatan yang menawarkan anda servis kereta dan bayar kemudian. 

Ia merupakan pembiayaan patuh syariah bertempoh 3 atau 6 kali bayaran bulanan sehingga RM5,000. Anda boleh nikmati pemanduan di jalan raya tanpa perlu risau tentang sebarang bil pembaikan yang tidak dijangka.

Semasa di kampung

  • Jamuan raya di kampung (boleh berpakat bersama adik-beradik yang lain bagi mengurangkan kos perbelanjaan)

Selepas pulang ke kampung

  • Kos pengangkutan pulang ke rumah kembali
  • Duit kecemasan sekiranya berlaku sebarang kerosakan kenderaan

Di samping itu, ada beberapa lagi tip perjalanan balik kampung yang perlu anda perhatikan.

Pasang Perisian GPS

Walaupun anda ‘mengetahui laluan’, adalah lebih bagus sekiranya anda mempunyai pelan sandaran sebagai persediaan jika anda tersalah jalan. 

Anda tidak perlu menggunakan peranti GPS yang mahal, sebaliknya anda boleh memuat turun aplikasi seperti Waze atau Google Maps untuk menunjuk arah perjalanan anda.

Pek Snek Ringan

Untuk tempoh perjalanan yang lama (contohnya lima jam atau lebih), pastikan anda mempunyai bekalan makanan yang mencukupi. Sebolehnya cuba elakkan membungkus makanan yang tinggi kandungan garam kerana ia boleh menyebabkan anda berulang-alik ke tandas. 

Sebaiknya, sediakan snek murah yang dapat bertahan sehingga empat ke lima jam seperti sandwich, biskut, potongan lobak, anggur dan hirisan epal. Letakkan di dalam beg yang dapat ditutup semula atau bekas penyejuk untuk mengekalkan kesegarannya.

Nikmati Perjalanan

Perjalanan pulang ke kampung seharusnya tidak tertekan! Perjalanan akan menjadi lebih menarik jika anda menikmati pemandangan bukit –bukau dan suasana yang hijau.  Jika anda membuat perjalanan bersama keluarga dan rakan-rakan, gunakan peluang tersebut untuk saling berhubung dan menikmati waktu yang berkualiti!

7. Simpanan Kecemasan

Dalam kemeriahan kita menyambut Hari Raya, jangan dilupa untuk menyediakan simpanan kecemasan. Ini kerana, malang tidak berbau dajn simpanan tersebut dapat anda gunakan dalam pelbagai situasi yang tidak dijangka. 

Banyak kelebihan yang boleh digunakan kelak, antaranya untuk membaiki kereta rosak, kos rawatan hospital, malah menampung perbelanjaan tidak mencukupi semasa hari perayaan. Ini sekali gus dapat mengelakkan anda daripada berhutang dan menambahkan hutang yang sedia ada. Berayalah dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan bersama yang tersayang.

8. Luangkan Masa Bersama Keluarga Semasa Hari Raya

Jika anda mempunyai cuti raya yang lama, anda boleh gunakan masa terluang ini dengan beberapa aktiviti menarik bersama keluarga.

Staycation

Staycations bermaksud cuti pendek dalam tempoh 1 – 2 hari, anda tidak perlu bermalam di hotel. Anda boleh mencari di laman web untuk tempat menarik di sekitar bandar yang anda belum pernah lawati sebelum ini, termasuk muzium, galeri seni, taman tema dan sebagainya. Jika anda telah melawat tempat-tempat tersebut, maka anda boleh merancang untuk melawat tempat menarik kira-kira satu atau dua jam dari rumah. Jika anda tinggal berhampiran pantai, ini adalah masa yang baik untuk berenang dan berkelah. Elak daripada memilih tempat yang terlalu jauh supaya anda tidak keletihan daripada perjalanan anda.

Potluck

Pernahkan anda mendengar menonton filem secara potluck? Inilah di mana orang-orang membawa filem kegemaran mereka ke satu sesi dan seluruh keluarga memutuskan sama ada mereka suka filem dalam masa 15 minit menontonnya. Jika semua orang suka filem, seluruh keluarga terus menonton, jika tidak, mereka akan cuba filem yang seterusnya. Anda boleh membawa VCD atau filem yang dimuat turun, ataupun menonton filem dari iflix atau Netflix.

Kesimpulan

Perayaan yang meriah tidak semestinya memerlukan perbelanjaan yang besar. Apa yang penting di hari raya ini, semangat kekeluargaan dipupuk dengan lebih kukuh agar semangat perayaan dirasai oleh kita semua. Akhir sekali, Direct Lending mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua umat Islam yang menyambut perayaan ini!

SHARE ARTIKEL INI
Share on facebook
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Share on twitter

Subscribe Newsletter

* indicates required