Direct Lending

Bagaimana Hendak Elak Argumen Wang dengan Pasangan?

Ada banyak sebab mengapa perkahwinan tidak bertahan lama. Sebab yang paling lazim adalah ketidaksetiaan atau curang. Kekurangan komunikasi dan perhatian serta harapan yang gagal ditunaikan juga boleh menyebabkan perpisahan. Namun begitu, persengketaan wang adalah punca utama penceraian di Malaysia.

Pergaduhan yang disebabkan oleh wang memberikan kesan yang mendalam terhadap sesebuah hubungan sehingga boleh menyebabkan penceraian. Paling parah, masalah tidak akan selesai dengan perpisahan. Kesannya akan turut dirasai oleh ahli keluarga, terutamanya anak-anak.

Kadar Penceraian Tinggi Disebabkan Hal Kewangan

Kredit: rawpixel.com

Statistik terbaru yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara menunjukkan bahawa kebanyakan kes penceraian berpunca daripada masalah kewangan. Hannah Yeoh, Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia mendedahkan data yang mengejutkan tersebut.

Daripada 6,901 kes penceraian yang dilaporkan tahun lepas, masalah kewangan merupakan punca utama dengan 2,971 atau 43.05% daripada keseluruhan kes. Apa yang membimbangkan adalah kes penderaan kanak-kanak yang turut meningkat juga. Timbalan Menteri Yeoh menyatakan bahawa masalah kewangan, penceraian dan penderaan kanak-kanak adalah berkait antara satu sama lain.

Setiap pasangan, terutamanya yang mempunyai anak sepatutnya mempunyai pengetahuan mengenai kesan penceraian. Tidak kira apa pun yang berlaku, anak-anak akan menderita kerana ibu bapa yang sering bertelagah disebabkan masalah kewangan. Penderitaan ini dapat dielakkan jika ibu bapa bersetuju untuk bekerjasama dan bersatu dalam perihal kewangan.

5 Cara untuk Elak Argumen Wang dengan Pasangan Anda

1. Cari Masa yang Sesuai

Kredit: rawpixel.com

Bincang mengenai hal kewangan dengan pasangan anda pada masa yang sesuai. Jika anda mempunyai hal yang perlu diketengahkan seperti perbelanjaan yang tidak berfaedah atau bil kad kredit yang meningkat, pastikan anda cari waktu yang sesuai untuk berbincang berdua. Mulakan perbincangan dalam keadaan yang tenang. Pasangan anda akan memberikan lebih perhatian apabila anda mengutarakan hal yang benar dalam keadaan tenang.

Berbincang dalam keadaan tegang hanya akan mengeruhkan keadaan kerana pasangan anda akan mendengar untuk membalas, bukannya untuk memahami. Perkara yang penting adalah untuk menyelesaikan masalah tanpa menimbul perasaan marah atau benci.

2. Sentiasa Bertolak Ansur

Kredit: rawpixel.com 

Perilaku setiap manusia terhadap wang adalah berbeza. Jika anda adalah seorang yang boros, tidak semestinya pasangan anda akan melakukan perkara yang sama. Tetapi, pasangan anda boleh selaraskan corak perbelanjaan peribadi mereka bagi menghasilkan keseimbangan.

Jika anda adalah sumber pendapatan, anda tidak mempunyai kuasa mutlak dalam perbelanjaan isi rumah. Tugas pasangan anda adalah untuk membetulkan atau mengehadkan perbelanjaan, jika perlu. Perkahwinan adalah hubungan dua hala. Pasangan perlu bertolak ansur untuk menjaga keharmonian dalam hubungan.

3. Berlaku Jujur

Kredit: rawpixel.com

Andainya pasangan yang bekerja berkongsi kos isi rumah, maka mereka perlu jujur dalam setiap perkara yang berkaitan dengan kewangan. Contohnya, sebelum mendapatkan pinjaman peribadi atau membeli barangan yang mahal, pastikan pasangan anda telah diberitahu mengenainya.

Sebarang perbelanjaan atau pinjaman yang besar harus menjadi keputusan bersama. Adalah lebih baik untuk berbincang terlebih dahulu untuk memahami keperluan pembelian atau jika terdapat sebarang pinjaman terdahulu yang boleh menjurus kepada hutang buruk. Pasangan akan mula menyalahkan satu sama lain apabila jumlah bil semakin meningkat lalu memulakan pertelingkahan mengenai wang. Untuk mengekalkan perkahwinan, pasangan perlu bermula dengan kejujuran.

4. Kawal Perbelanjaan Bersama

Kredit: rawpixel.com

Kebahagiaan hubungan akan lebih terjamin jika mereka mempunyai kawalan mutlak dalam perbelanjaan. Oleh sebab itu, penetapan sasaran bersama adalah amat penting. Setiap pasangan perlu terlibat dalam perancangan kewangan.

Pasangan harus berbincang dengan terbuka mengenai pendapatan, perbelanjaan, cagaran, simpanan dan apa saja yang berkaitan dengan wang. Sediakan kertas perancangan kewangan dan selesaikan sebarang kesulitan berdasarkan rancangan dibincang bersama. Walaupun pasangan anda tidak bekerja, anda masih boleh berbincang mengenai kewangan kerana pasangan yang baik akan menanggung beban kewangan bersama.

5. Rancang Masa Depan Bersama

Kredit: rawpixel.com

Akhir sekali, pasangan yang ingin hidup bersama sehingga hari senja perlu memandang jauh ke depan. Persengketaan kewangan dapat dikurangkan jika pasangan melakukan perancangan bersama mengenai persaraan dimana mereka akan menjadi lebih teliti dalam perbelanjaan. Pasangan yang merancang masa depan bersama akan memberi tumpuan kepada simpanan dan pelaburan bagi mengukuhkan kedudukan kewangan pada masa depan.

Persengketaan mengenai wang merupakan asam garam perkahwinan yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu, perkara ini harus diuruskan dengan baik. Jika tidak, persengketaan itu akan membawa kepada masalah yang lebih besar sehingga menyebabkan perpisahan. Cara-cara yang telah dinyatakan boleh menjamin kebahagiaan perkahwinan untuk jangka masa panjang jika diamalkan dengan baik.

Direct Lending

Add comment