Direct Lending

5 Langkah Bijak Bagi Mengurangkan Komitmen Kewangan Bulanan

(Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 28 Februari 2018 dan dikemas kini pada 24 Oktober 2019.)

Komponen penting dalam pengurusan kewangan peribadi adalah untuk mengelakkan pengumpulan pinjaman kewangan. Pengurusan pinjaman kewangan adalah perkara yang membimbangkan di Malaysia. Salah satu daripada punca utama yang menjurus kepada peningkatan liabiliti kewangan dengan kadar kritikal adalah penggunaan kad kredit yang tidak terkawal.

Sebagai peminjam yang bertanggungjawab, menyelesaikan pinjaman kewangan adalah kepentingan paling utama dan perlu dijalankan dengan segera. Kesedaran dan usaha yang tinggi perlu bertindak dengan selari untuk memastikan pinjaman kewangan dapat diselesaikan.

Ambil Tindakan Segera

Kredit: Roux Creative

Memikirkan tentang hutang memang memeningkan kepala. Tetapi, tiada siapa yang boleh melakukan perubahan selain diri anda sendiri. Solusi kepada pengumpulan pinjaman kewangan adalah disiplin dan kawalan diri. Tetapi selalunya, apabila tunggakan sudah bertimbun, barulah peminjam akan sedar tentang kesilapannya.

Sungguhpun begitu, baki pinjaman tetap ada dan tidak akan langsai jika tidak dibayar. Ada pula peminjam yang sanggup mengeluarkan wang untuk berjumpa ahli kaunseling atau pakar pelepasan hutang bagi mencari penyelesaian.

Untuk membaiki masalah kewangan, anda perlu memperbaiki diri anda sendiri terlebih dahulu. Anda perlu mengawal nafsu berbelanja dan nekad untuk menyelesaikan pinjaman kewangan anda dengan segera. Mulakan dengan membuat perancangan rapi untuk mengurangkan komitmen kewangan bulanan anda.

5 Langkah Bijak untuk Mengurangkan Komitment Kewangan Bulanan

Bilakah patut saya mula? Itu adalah soalan yang sering menjadi tanda tanya setiap kali peminjam ingin memulakan perancangan menyelesaikan beban kewangan. Selaku peminjam bijak, perancangan itu harus dimulakan dengan segera. Penangguhan hanya akan mengeruhkan keadaan dan masalah kewangan akan menjadi semakin besar.

1. Nilai Situasi Kewangan

Kredit: Unsplash

Mulakan dengan menjalankan penilaian terhadap situasi kewangan anda. Penilaian ini akan memberikan anda gambaran sebenar mengenai situasi yang perlu anda harungi. Sebagai contoh, anda harus tahu tentang jumlah sebenar, jenis pinjaman dan jadual pembayaran pinjaman. Informasi tersebut akan membantu anda untuk membuat keputusan yang realistik dan berkesan.

Perkara yang mustahil akan menjadi lebih mudah apabila ia dirancang dengan sistematik. Anda juga boleh memikirkan alternatif untuk mengurangkan bebanan kewangan bulanan anda.

2. Selaraskan Pengurusan Kewangan dengan Komitmen

Kredit: GOBankingRates

Setelah membuat penilaian situasi kewangan, anda perlu semak perancangan kewangan bulanan pula. Senaraikan semua perbelanjaan anda untuk sebulan. Pastikan anda tidak meninggalkan sebarang perbelanjaan yang akan membawa kesan kepada perancangan kewangan bulanan.

Apabila anda sudah mengasingkan wang perbelanjaan bulanan, baki tersebut akan digunakan untuk membuat pembayaran pinjaman kewangan. Anda boleh meningkatkan baki tersebut dengan menyemak semula senarai perbelanjaan bulanan anda. 

Analisa keperluan anda. Perkara seperti langganan rancangan television atau sarapan di kedai kopi mahal mungkin perlu dikurangkan bagi memperkukuhkan situasi kewangan anda.

3. Lakar Rancangan Pengurangan Komitmen

Kredit: Unsplash

Untuk melakar rancangan pengurangan komitmen, anda perlu memperuntukkan pendapatan bulanan anda untuk menyelesaikan pinjaman kewangan yang memberi impak yang besar. Keutamaan perlu diberikan kepada pinjaman yang mempunyai faedah dan tunggakan tertinggi.

Objektif rancangan ini adalah untuk mengurangkan serta menyelesaikan pinjaman kewangan. Bagi memastikan objektif ini tercapai, rancangan ini perlu diikuti dengan teliti setiap bulan.

Mendapatkan pinjaman peribadi bank atau koperasi yang mempunyai kadar liabiliti yang rendah adalah strategi yang bijak untuk mengurangkan kadar faedah serta baki pinjaman sekiranya anda mempunyai pinjaman yang berkadar tinggi.

Untuk memastikan rancangan pengurangan pinjaman kewangan anda berjalan dengan lancar, anda perlu berhenti menggunakan kad kredit. Ini kerana penggunaan kad kredit akan meningkatkan perbelanjaan dan merosakkan perancangan anda. 

4. Berbincang dengan Pemberi Dana

Kredit: Unsplash

Langkah seterusnya yang boleh diambil adalah melalui perbincangan dengan pemberi dana. Berbincang dengan pihak bank atau syarikat peminjam akan membawa kebaikan dan menunjukkan kesungguhan anda untuk membuat bayaran balik.

Kebarangkalian, pemberi dana dapat membantu membuat penyatuan hutang atau menyusun semula jadual pembayaran pinjaman yang tinggi apabila anda berbincang dengan mereka. Faedah yang anda boleh peroleh melalui perbincangan adalah lanjutan pembayaran atau pengurangan faedah.

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, baki pinjaman kewangan anda boleh diselesaikan dengan cara mendapatkan pinjaman peribadi bank atau koperasi yang berkadar rendah. Dengan mengambil langkah ini, semua baki pinjaman anda akan disatukan ke dalam satu akaun dan komitmen bulanan anda berkurang. Penyatuan hutang ada banyak kebaikkannya. Anda boleh berunding dengan pembekal pinjaman peribadi untuk mengurangkan beban kewangan anda.

5. Laksanakan Rancangan

Kredit: Strengthsensei

 

Kunci kejayaan rancangan pengurangan komitmen terletak di dalam tangan anda sendiri. Sebagaimana tindakan anda telah menyebabkan tunggakan baki pinjaman, maka penyelesaiannya juga datang daripada diri anda.

Rancangan yang dilaksanakan dengan tekun dan teratur akan membuahkan hasil, terutamanya dari segi kewangan. Laksanakan rancangan anda pada saat ia sudah direncana dengan sempurna. Lagi cepat anda buat, lagi banyak anda jimat.

Pengurusan Kewangan adalah Tanggungjawab Anda

Masalah kewangan adalah masalah yang sensitif dan bersifat peribadi. Oleh itu, anda sendiri yang perlu menguruskannya. Antara penyelesaian yang efektif adalah dengan melaksanakan rancangan pengurangan pinjaman kewangan yang teliti. Anda selaku peminjam juga harus tekun dalam menyelesaikan baki pinjaman anda dengan berdisiplin. Apabila anda sudah berjaya, pastikan anda tidak mengulangi kesilapan kewangan yang telah anda lakukan sebelum ini.

Direct Lending

Add comment