Direct Lending

6 Cara Untuk Mengelakkan Kesilapan Pengurusan Kewangan

Ada perkara yang memang mudah bagi bibir berkata, namun susah untuk dilaksanakan – contohnya soal pengurusan sumber yang kita miliki seperti waktu, kenalan, atau tajuk utama artikel kita kali ini, wang. Benar sesiapa sahaja boleh membuat keputusan berkaitan kewangan, tetapi ramai di antara kita yang tidak dapat mencapai matlamat kewangan kita akibat 6 kesilapan yang lazim dilakukan yang sebenarnya boleh kita elakkan.

1. Gagal mebuat bajet atau membuat bajet yang tidak berkesan

Kredit: The Coffee Shop Trader

Walaupun ramai yang cuba sedaya upaya untuk menabung bagi keperluan hari hujan, malangnya setiap bulan ada sahaja pelbagai sebab untuk kita membelanjakan wang ringgit dari pendapatan kita. Dengan membuat bajet perbelanjaan, kita dapat mengenalpasti dengan jelas ke mana wang kita dibelanjakan justeru itu membuat penilaian yang lebih baik untuk perbelanjaan akan datang.

Mengikut peraturan 80/20, 20% daripada pendapatan kita perlu dilaburkan, manakala 80% pula adalah untuk keperluan harian seperti makanan, bil utiliti dan bayaran balik segala pinjaman. Musibah seperti kehilangan kerja boleh berlaku pada bila-bila masa tanpa dijangka, maka simpanan berjumlah bersamaan enam bulan pendapatan di akaun simpanan atau deposit tetap boleh dijadikan sumber dana bagi masa kecemasan. Jika perbelanjaan harian anda yang tinggi menghalang anda daripada menabung 20% daripada pendapatan anda, mungkin sudah tiba masanya anda mengurangkan tabiat perbelanjaan anda seperti membeli-belah dan menonton wayang.

2. Bajet hanya untuk diri sendiri

Kredit: Flickr

Jika anda sudah berumahtangga, berbincanglah tentang soal kewangan bersama pasangan anda. Walaupun lebih mudah membuat keputusan sendiri, pendapat pasangan anda adalah penting. Pasangan suami isteri yang bekerja dapat kecapi matlamat kewangan keluarga dengan melakukan bajet bersama. Jika anda masih bujang, anda tetap sebahagian daripada sebuah keluarga. Ibubapa yang semakin tua wajar diberitahu segala keputusan anda yang mungkin menjejaskan kesejahteraan mereka seperti penukaran kerjaya, terutamanya jika mereka bergantung kepada anda dari segi kewangan.

3. Tidak mampu membayar hutang

Apakah punca utama kebankrapan di negara ini? Menurut Jabatan Insolvensi Negara, 27% daripada jumlah kes muflis dari tahun 2012 ke 2016 adalah disebabkan oleh kegagalan membayar hutang sewa-beli, 23% akibat pinjaman peribadi manakala 19% akibat pinjaman perumahan. Sebagai panduan, jangan biarkan jumlah bayaran balik bulanan bagi segala pinjaman melebihi 30% daripada pendapatan anda. Walaupun sesetengah bank sanggup menawarkan pinjaman sebanyak 70—80% daripada jumlah pendapatan anda, ini tidak bererti anda mampu membayar balik pinjaman bulanannya.

4. Tidak mengambil kira liabiliti kewangan

Kredit: The Freelance Bookkeeper

Golongan kakitangan am yang dianggap memiliki pekerjaan stabil sering dijadikan penjamin oleh saudara-mara dan rakan-rakan yang ingin memohon pinjaman. Anda dinasihatkan agar tidak menjamin mana-mana pinjaman, selagi tidak mengetahui latar belakang dan kedudukan kewangan mereka, termasuklah jumlah pendapatan bulanan, hutang tertunggak dan jumlah bayaran balik bulanan mereka dengan teliti. Walaupun Pindaan Akta Kebankrapan 2016 memberi perlindungi kebankrapan terhadap penjamin sosial yang tidak mendapat apa-apa keuntungan dari pinjaman yang dijamin, sebagai penjamin, anda masih bertanggungjawab membayar balik pinjaman tersebut sekiranya peminjam gagal berbuat demikian. Inilah liabiliti kewangan yang dimaksudkan.

5. Mengabaikan perlindungan insurans

Kredit: US News Money

Bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Salah satu payung utama merupakan perlindungan insurans hayat. Kerajaan menyasarkan 75% daripada semua rakyat Malaysia memiliki insurans hayat menjelang 2020. Hari ini, hampir separuh daripada penduduk tidak memilikinya. Tanpa insurans, kematian dan kehilangan keupayaan boleh mengakibatkan keluarga ditimpa kemiskinan. Kerana bukan sahaja kos insurans yang meningkat dengan peningkatan usia malah juga risiko tanpa perlindungan insurans, maka jangan berlengah dalam mendapatkan polisi insurans.

6. Tidak membuat persediaan hari tua

Kredit: The Cheat Sheet

Kesilapan kewangan terbesar yang sering the dilakukan rakyat Malaysia ialah kegagalan dalam merancang untuk persaraan! Kita selalu beranggap hari persaraan masih jauh. Statistik yang dikeluarkan oleh KWSP pada tahun 2015 menunjukkan bahawa dua pertiga rakyat Malaysia mempunyai kurang daripada RM50,000 di dalam akaun-akaun KWSP mereka. Jumlah ini biasanya hanya mampu bertahan lebih kurang 5 tahun. Maka anda perlulah teroka peluang pelaburan lain seperti skim persaraan peribadi yang menawarkan pelepasan cukai sebanyak RM3,000 setahun sehingga tahun 2021, juga didik diri untuk fahami bon-bon kerajaan yang boleh didapati seperti Amanah Saham.

Sentiasa beringat bahawa pengurusan kewangan adalah tentang pengurusan segala sumber yang anda miliki. Apabila anda mengawal bajet dan aktiviti harian anda, melakukan perbincangan dan menimba ilmu tentang kewangan, anda dapat mengelakkan diri dari melakukan kesilapan, seterusnya mencapai matlamat kewangan anda. Ilmu memperkasakan anda, jadi jangan segan untuk terus belajar. Jika anda pernah melakukan kesilapan yang disebutkan di sini, belajar darinya dan terus mara ke hadapan!

Artikel ini disediakan oleh Direct Lending – platform pinjaman peribadi bank dan koperasi dalam talian untuk kakitangan kerajaan & badan berkanun di Malaysia.

Direct Lending

Add comment