Setiap orang memiliki impian untuk memiliki rumah idaman, namun sebelum anda tersalah beli rumah, kenali dahulu jenis rumah yang wujud di Malaysia. Ingin membeli rumah pertama tetapi buntu nak memilih jenis rumah yang macam mana? Jangan risau, ini senarai 13 jenis rumah di Malaysia yang mungkin boleh anda pertimbang dan fahami sebelum memilikinya.
1. Kondominium

Kediaman bertingkat yang bertaraf tinggi, ia juga merupakan hartanah yang paling digemari di Malaysia serta dibangunkan di kawasan tanah seluas 4,000 meter persegi dan ke atas.
Kelebihan
- Status kediaman dan dilindungi Akta Pembangunan Perumahan (HDA).
- Dilengkapi dengan kad akses, tahap keselamatan yang tinggi.
- Pelbagai kemudahan dan fasiliti disediakan.
- Ruang meletakkan kenderaan berdaftar.
Kekurangan
- Perlu membayar yuran penyelenggaraan setiap bulan kepada pengurusan.
- Memerlukan modal yang besar untuk pemodelan semula.
- Tertakluk kepada pelbagai peraturan seperti tidak membenarkan haiwan dan pengubahsuaian dilakukan pada hujung minggu.
2. Apartmen Perkhidmatan (Serviced Apartment)

Ia mempunyai status hartanah komersil, namun tujuan asal pembangunannya adalah untuk kediaman, masih dikira sebagai sebuah perumahan.
Sebarang urusan jual beli hartanah ini berada di bawah bidang kuasa Akta Pembangunan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (HDA).
Kelebihan
- Ideal untuk kegunaan komersial seperti bekerja dari rumah, Airbnb.
- Selesa dan mudah kerana bersambung terus dengan pusat beli-belah, kedai keperluan harian.
- Potensi hartanah menguntungkan dan strategik.
- Sewaan yang memberikan hasil menguntungkan.
Kekurangan
- Bil utiliti dan air yang tinggi.
- Cukai pintu dan cukai tanah yang tinggi.
- Sedikit kurang privasi berbanding kondominium kerana merupakan unit komersial.
- Kepadatan yang mungkin agak tinggi berbanding residensi biasa.
3. Apartmen

Mempunyai keluasan lebih besar berbanding flat sama ada di dalam atau di luar rumah. Mempunyai linkungan harga kos sedehana dan lebih murah berbanding kondominium.
Kelebihan
- Agak selamat.
- Pilihan yang berpatutan.
- Mudah untuk menampung kos sewaan.
- Dilengkapi landskap asas seperti kemudahan taman permainan.
Kekurangan
- Sesetengah tempat meletakkan kenderaan di bahagian luar dan tidak berbumbung.
- Bukan unit pelaburan mewah.
- Kemudahan agak terhad.
4. Flat

Kediaman yang paling murah dalam kebanyakan rumah di Malaysia, biasanya mempunyai tiga hingga 14 tingkat atau lebih. Ia juga mudah diakses kerana tidak mempunyai kawalan keselamatan 24 jam.
Ada juga rumah flat yang ada kemudahan deretan kedai, taman permainan, dewan komuniti dan surau.
Kelebihan
- Pilihan pelaburan hartanah yang murah.
- Berpatutan untuk yang mencari rumah dengan pelaburan minimum.
Kekurangan
- Tidak mempunyai keselamatan, tidak berpagar dan terbuka.
- Parking terbuka serta tiada kemudahan fasiliti untuk penduduk.
5. Rumah teres

Rumah jenis ini tidak mempunyai ruang kosong antara rumah, iaitu di bahagian kiri dan kanan. Walau bagaimanapun, ada sedikit tanah di bahagian belakang dan depan rumah. Kalau nak lebih luas, boleh mendapatkan rumah corner lot.
Kelebihan
- Tidak mempunyai masalah parking kereta kerana mempunyai ruang persendirian.
- Mempunyai ruang mencukupi untuk menjemur pakaian dan melakukan aktiviti.
- Jimat yuran penyelenggaran, selain boleh melakukan pengubahsuaian dan meluaskan bahagian tertentu.
- Kurang peraturan berbanding kondominium serta sesuai untuk mereka yang mempunyai anak kecil dan haiwan peliharaan.
Kekurangan
- Tiada kemudahan kepada akses gimnasium, renang.
- Harga yang agak mahal.
- Bukan pilihan terbaik untuk disewakan.
6. Banglo

Sumber: iProperty
Banglo mempunyai kawasan agak luas dan mempunyai jarak tertentu antara satu rumah ke rumah yang lain.
Kebiasaannya didirikan di atas tanah milik peribadi dan mencecah jutaan ringgit. Ia juga bergantung pada lokasi, kawasan tanah dan usia rumah.
Kelebihan
- Mempunyai nilai privasi yang tinggi kerana jiran yang agak jauh.
- Tempat yang luas dalaman dan luaran termasuk parking kenderaan.
- Sesuai untuk keluarga besar.
Kekurangan
- Melibatkan hartanah dengan nilai yang agak besar.
- Kos penyelenggaran agak tinggi.
7. Rumah Berkembar/Semi-D

Rumah jenis ini bersebelahan atau melekat di tengah. Di bahagian tepi yang bertentangan akan ada ruang kosong yang akan ditambahkan sebagai tempat letak kereta, landskap.
Kelebihan
- Ruang yang luas, mempunyai taman atau halaman kecil.
- Lebih murah berbanding kediaman penuh dengan segala kemudahan.
- Sesuai untuk berkeluarga besar.
Kekurangan
- Bukan pelaburan sewa yang bagus.
- Tidak semua orang mampu untuk memilikinya.
8. Townhouse

Sumber: IOI Properties
Merupakan gabungan strata dan landed dan biasanya dua tingkat atau lebih. Seolah-olah rumah teres tetapi setiap tingkat mempunyai unit yang tidak bersambung antara satu sama lain.
Bagi townhouse yang mempunyai ketinggian yang rendah, ia boleh diakses terus dari tingkat bawah manakala yang tinggi hanya boleh diakses dengan tangga sisi.
Kelebihan
- Kediaman milik golongan pertengahan.
- Mempunyai ruang yang agak luas setaraf pangsapuri mewah.
Kekurangan
- Tempat meletakkan kenderaan di luar.
- Tidak disediakan lif untuk tingkat atas.
9. Penthouse

Unit paling tinggi di kediaman bertingkat dan selalunya mengambil separuh atau seluruh tingkat.
Selalunya akan ada satu unit di setiap bangunan tinggi yang menjadikannya unit paling mahal.
Kelebihan
- Tidak ada masalah untuk ruang yang eksklusif.
- Tempat tinggal yang mewah serta banyak kemudahan yang istimewa.
- Pemandangan yang cantik, privasi dan hebat.
Kekurangan
- Tidak semua orang mampu untuk memiliki pelaburan hartanah mewah.
- Kos penyelenggaraan yang tinggi dan ruang terbuka yang terhad.
10. Duplex

Sumber: Booking.com
Ia adalah unit dua tingkat dalam kediaman bertingkat tinggi. Berkonsepkan urban dan popular dengan populasi yang ramai.
Kelebihan
- Lebih luas dan mewah.
- Ideal untuk tujuan pelaburan dan menambah pendapatan.
- Akses ke kawasan umum seperti taman, rekreasi dan keselamatan.
Kekurangan
- Varian yang lebih mahal.
- Kos penyelenggaraan yang agak mahal.
- Mungkin tidak sesuai untuk yang berumur kerana perlu menggunakan tangga.
11. Dwikunci

Berkonsepkan moden, ia merupakan rumah di dalam rumah. Anda boleh menggunakan ruangan tersebut untuk sewaan dan ruang privasi.
Anda menyediakan studio yang lengkap dalam sebuah pangsapuri utama.
Kelebihan
- Meningkatkan pilihan dan menambah pendapatan dengan menyewa sebahagian bahagian secara berasingan.
- Memaksimumkan utiliti dan ruangan yang ada.
- Dapat membahagikan kos penyelenggaraan antara penyewa.
Kekurangan
- Mengurangkan sedikit privasi.
12. SOHO/SOFO/SOVO

Sumber: PropSocial
Kategori ini adalah hartanah yang baru diperkenalkan di pasaran. Small Office Home Office (SOHO), boleh digunakan sebagai pejabat atau rumah.
Small Office Flexible Office (SOFO), boleh digunakan sebagai pejabat dan digelar pejabat fleksibel kerana terdapat unit yang mempunyai dinding yang boleh dipecahkan untuk membesarkan ruang.
Small Office Versatile Office (SOVO) pula adalah jenis yang sama, iaitu hanya boleh digunakan untuk tujuan komersial. Sesuai untuk syarikat pemula.
Kelebihan
- Akses mudah untuk pinjaman hartanah di Malaysia.
- Pilihan pelaburan yang mudah untuk disewakan.
- Ruang pejabat yang murah dan selesa untuk perniagaan permulaan dan kecil.
Kekurangan
- Ruang yang agak kecil.
- Membuat pengubahsuaian dalaman mungkin boleh menjadi suatu masalah.
13. Rumah kedai

Sumber: Pinterest
Rumah yang terletak di atas kedai-kedai. Walau bagaimanapun, kemungkinan rumah tersebut mempunyai status kediaman.
Ia juga bergantung kepada pemaju sama ada mereka memohon status kediaman tersebut.
Kelebihan
- Penyewa stabil berbanding dengan penyewa kediaman.
- Kurang ubah suai dilakukan untuk menyewa.
- Lokasi yang baik boleh menghasilkan aliran tunai yang positif dalam jangka masa panjang.
- Tidak terlalu sukar untuk menyewanya.
Kekurangan
- Keuntungan sewa bergantung kepada lokasi.
- Kos pelaburan yang tinggi.
Oleh itu, sekiranya anda telah menetapkan jenis rumah yang hendak dibeli, ini sedikit tips beli rumah pertama.
1. Mengkaji hartanah di Malaysia
Ia termasuk mengkaji perbezaan jenis rumah dan pinjaman bank serta kadar faedah pinjaman yang ditawarkan.
Menyelidik rekod pemaju hartanah untuk mengelakkan rumah anda menjadi projek terbengkalai. Anda boleh lihat senarai hartanah di platform PropertyGuru, iProperty, hartabumi, dan Propsocial.
2. Membeli ikut kemampuan
Membuat bajet bulanan terlebih dahulu serta menyemak pendapatan dan perbelanjaan. Kurangkan kos tidak perlu dan daripada bajet itu baru anda tahu berapa banyak yang boleh diperuntukkan untuk membayar ansuran rumah.
3. Mempunyai pendapatan tetap
Ini penting sebelum memiliki rumah pertama. Ia akan memudahkan anda untuk membuat pembayaran balik pinjaman perumahan, manakala caruman KWSP daripada gaji boleh digunakan untuk membuat permohonan rumah kelak.
4. Memeriksa status CCRIS dan CTOS
Penting untuk pemeriksaan status kredit anda di Sistem Maklumat Rujukan Kredit Sentral (CCRIS) atau Agensi Pelaporan Kredit (CTOS) bagi melihat segala tunggakan pinjaman peribadi, kad kredit, sewa beli dan status muflis.
5. Mengambil kos tambahan hartanah strata
Hartanah strata seperti pangsapuri dan kondominium mempunyai kos tambahan seperti yuran penyelenggaraan dan insuran. Ia perlu untuk menyelenggara kemudahan bersama dan juga bangunan.
Anda perlu menyemak kos ini sebelum membeli. Ada tempat yuran penyelenggaraan boleh mencecah 50 sen untuk satu kaki persegi.
Setelah menyemak, ambil kira kos tersebut dalam bajet bulanan anda untuk mengelakkan kejutan.
Kesimpulan
Akhir sekali, setiap daripada kita mempunyai impian untuk memiliki rumah idaman masing-masing. Namun, perlu untuk ukur baju di badan sendiri dengan melihat tahap kewangan dan tanggungan semasa agar anda tidak sakit untuk memikul bebanan di kemudian hari.
Jika anda berminat untuk beli rumah, ubahsuai rumah? atau untuk selesaikan hutang mahal? Realisasikan semua impian anda dengan pembiayaan perumahan Co-opbank Pertama. Kadar mampu milik serendah 3.75% setahun. Tiada sebarang kos tersembunyi atau wang pendahuluan yang diperlukan.