ciri lelaki idaman

Bukan Kaya & Kacak Je, Ini 7 Ciri Lelaki Idaman Yang Wanita Cari!

Berdasarkan Sinar, kes perceraian di Malaysia menaik mendadak terutamanya semenjak pandemik di Malaysia. Berdasarkan laporan daripada Pegawai Psikologi Kanan Pusat Kaunseling, Faezah Nayan, masalah kewangan adalah punca utama trend perceraian ini semakin naik kerana sudah ramai suami yang berhenti kerja akibat pandemik yang lalu. Pengurusan kewangan keluarga yang gagal akan mengakibatkan konflik dan pergaduhan antara suami dan isteri dan akhirnya menyebabkan ketidaksefahaman di antara satu sama lain.

Oleh itu,  tidak keterlaluan jika kami katakan yang setiap wanita hendaklah berwaspada dalam memilih pasangan hidup. Memanglah kita tidak tahu apa yang akan jadi esok. Mungkin anda rasa susah untuk dapatkan ciri ciri lelaki idaman anda, namun cubacari lelaki yang memang bijak dalam pengurusan kewangan peribadi mereka.

Ini adalah ciri ciri lelaki idaman wanita yang bijak menguruskan kewangan yang anda patut cari.

1. Mula menyimpan seawal mungkin

ciri ciri lelaki idaman
Sumber Gambar: Odua

Pertama, lelaki yang bijak urus kewangan mempunyai kesedaran untuk menyimpan dari muda sebagai persediaan waktu kecemasan, beli rumah pertama dan persaraan. Tidak seperti kebanyakan orang, mereka tidak akan menunggu sehingga bergaji besar untuk mula menyimpan.

Ini kerana mereka tahu yang secara amnya, semakin tinggi pendapatan, semakin banyak komitmen bulanan. Jadi, sampai bila pun tidak akan ada ‘wang lebih’ untuk disimpan.

Selain itu, mereka juga tidak hanya bergantung kepada wang pencen atau simpanan KWSP kerana mereka faham wang pencen atau simpanan KWSP memang tidak mencukupi untuk menampung kehidupan sepanjang tempoh persaraan.  

2. Menyimpan sebelum berbelanja

ciri ciri lelaki idaman
Sumber Gambar: Freepik

Seperti yang dikatakan oleh Warren Buffet, “Jangan menyimpan apa yang tinggal setelah berbelanja, tetapi belanjalah apa yang tinggal setelah menyimpan.” Lelaki yang bijak menguruskan kewangan akan sentiasa berpegang kepada amalan ini.

Mereka akan mengasingkan sejumlah simpanan terlebih dahulu sebelum membeli apa-apa barangan lain. Namun, ianya tidaklah sampai menjejaskan kelangsungan hidup dan membebankan diri sendiri pula.

Sudah tentu mereka akan menetapkan belanjawan bulanan bergantung kepada situasi masing-masing. Paling mudah, mereka akan merujuk kepada peraturan Belanjawan 50/30/20 di mana 50% diasingkan kepada keperluan asas, 30% untuk kehendak, kemewahan atau keinginan dan 20% untuk simpanan atau bayaran balik.

3. Tahu bezakan keperluan dan kehendak

Sumber Gambar: Freepik (@Pressfoto)

Ketiga, lelaki yang celik kewangan tahu menetapkan prioriti dalam berbelanja dan mampu kawal kehendaknya. Mereka tahu membezakan antara keperluan dan kehendak, serta tidak terikut-ikut trend semasa untuk memiliki barangan mewah, apatah lagi jika sekadar untuk ditayangkan di media sosial. 

Elak lelaki yang mempunyai sifat Si Belanja Sakan (The Celebrity) yang kadang kala anda akan melakukan pembelian yang besar untuk melakukan kenyataan serta memperlihatkan status kekayaannya.  Cuba kenalpasti lelaki tersebut semasa tempoh perkenalan, atau pun membuat ujian personaliti diri untuk ketahui gaya si dia mengurus duit. 

Mereka membeli bukannya untuk menunjuk tetapi untuk keperluan masing-masing. Sebagai contoh adalah seperti pembelian kereta. Mereka akan utamakan ciri dan spesifikasi kereta yang betul-betul diperlukan dan sesuaikan dengan bajet yang telah peruntukkan sebelum membuat pembelian kereta.

Contohnya, lelaki yang masih bujang atau mempunyai keluarga yang kecil, memadailah jika membeli kereta sedan yang lebih murah seperti Perodua Axia atau Myvi. Janji ruang tempat duduk belakang boleh memuatkan ‘car seat’ anak. Jadi, tujuan mereka beli kereta adalah untuk keperluan tetapi bukannya kehendak.

 

4. Tidak berbelanja melebihi kemampuan

Sumber Gambar: Freepik

Ciri keempat yang dipupuk oleh lelaki yang bijak urus kewangan adalah berbelanja mengikut kemampuan diri. Ukur baju di badan sendiri. Mereka tidak mudah terpengaruh dengan gaya hidup orang lain yang kelihatan lebih mewah. Tetapi mereka jenis yang bersederhana dan tidak suka menunjuk.

Mereka akan memberikan fokus kepada pelan bajet perbelanjaan. Mereka menjadikan perangkaan bajet bulanan sebagai satu kebiasaan dan mengambil tahu setiap aliran wang keluar masuk.

Ini kerana perbelanjaan yang dianggap kecil boleh saja menyebabkan mereka tersasar daripada bajet yang ditetapkan. Apa pun, mereka sama sekali tidak akan membina hutang untuk bermewah terutamanya hutang buruk seperti kad kredit dan perbelanjaan yang tidak praktikal.

5. Melabur dengan bijak

Sumber Gambar: Pressfoto

Pengurusan kewangan tidak hanya tertumpu kepada amalan menyimpan. Warren Buffet turut menyarankan agar tidak hanya bergantung kepada satu sumber pendapatan dan membuat pelaburan.

Sehubungan dengan itu, lelaki yang bijak menguruskan kewangan akan turut memperuntukkan sejumlah simpanan untuk pelaburan. Sekiranya ia dibuat dengan teliti, mereka berpotensi untuk mendapatkan pulangan yang berlipat ganda. 

Teknik ini juga dilakukan oleh lelaki sebagai cara kumpul duit kahwin dengan cepat bersama pasangan. Dengan cara ini, mereka pasti akan bukan sahaja dapat jimat bajet kahwin malah mencapai matlamat kewangan seperti memiliki hartanah, membeli kereta, membiayai pendidikan anak-anak dan juga bercuti ke luar negara dengan lebih cepat.

Mereka juga tidak terburu-buru apabila membuat pelaburan semata untuk dapat keuntungan dengan cepat. Tetapi mereka pandai untuk membahagikan risiko pelaburan mereka.

6. Memaksimumkan pulangan cukai pendapatan

Sumber Gambar: Freepik

Ciri keenam berkait rapat dengan pelepasan cukai pendapatan. Secara amnya, ia bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan mereka yang mempunyai tanggungan iaitu ibu bapa yang sudah uzur dan anak-anak yang masih bersekolah.

Walau bagaimanapun, ramai tidak tahu bahawa mereka boleh mendapatkan pulangan cukai yang maksimum dengan merancang pelaburan. Hanya lelaki yang bijak menguruskan kewangan sahaja tidak akan terlepas pandang perkara ini. 

Antara pelaburan yang diberikan pelepasan cukai terhad adalah pemeriksaan kesihatan penuh, perbelanjaan untuk gaya hidup, premium insurans nyawa, caruman KWSP, Skim Persaraan Swasta (PRS) serta insurans pendidikan dan perubatan.

Bagi yang beragama Islam, rebat cukai boleh dimohon untuk mengeluarkan zakat. Berlainan dengan pelepasan cukai yang mempunyai had maksimum, rebat cukai ini akan diberikan sebanyak mana anda berzakat. 

7. Merancang pembahagian harta ketika hidup

Sumber Gambar: Freepik

Ciri terakhir yang tidak boleh diketepikan adalah membuat persediaan ‘exit strategy’. Ini kerana setiap individu yang hidup pasti akan merasai mati. Jadi, lelaki celik kewangan ini akan memastikan semua harta yang dikumpul mempunyai penama.

Perancangan pembahagian harta boleh juga dilakukan melalui alternatif lain seperti wasiat, hibah, wakaf, pengisytiharan harta sepencarian dan pelantikan pemegang amanah. Persediaan ini termasuklah pengurusan hutang yang masih berbaki.

Pokoknya, mereka akan menguruskan segalanya ketika masih hidup supaya tidak menyusahkan waris-waris kelak, terutamanya yang mempunyai anak angkat, anak luar nikah, anak susuan, lebih daripada satu isteri dan tiada anak lelaki.

Oleh itu, mereka memberikan keutamaan kepada perkara ini. Lelaki yang celik kewangan tidak akan membiarkan orang yang mereka sayangi jatuh miskin dan menderita apabila harta mereka dibekukan akibat kelalaian sendiri.

Celik kewangan bantu bina masa depan

Sumber Gambar: Odua

Jangan risau jika bakal suami atau bakal kesayangan anda baru saja bermula dan masih belum memiliki kesemua 7 ciri ciri lelaki idaman yang bijak menguruskan kewangan ini. Yang pentingnya, mereka mempunyai kesedaran untuk merancang masa depan dengan lebih baik. 

Namun, anda perlu faham bahawa setiap individu mempunyai keutamaan yang berbeza. Jadi, berbincanglah dengan mereka untuk membuat perancangan yang betul dan bersesuaian dengan situasi anda. Tidak mengapa jika bermula dengan perkara yang kecil dahulu. 

Ianya lebih baik daripada mereka yang awal-awal lagi meletakkan sasaran yang terlalu tinggi, tetapi akhirnya ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja!

Tonton video kami untuk penjelasan lanjut!

Artikel ini ditulis oleh Direct Lending – platform pinjaman peribadi bank & koperasi dan pinjaman wang berlesen. Kami boleh bantu anda cari, banding & mohon pinjaman yang paling sesuai dengan anda.

Dapatkan lebih banyak panduan simpan duit dan tips kewangan di channel Telegram kami!

join-telegram_Direct-Lending
SHARE ARTIKEL INI
Share on facebook
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Share on twitter

Subscribe Newsletter

* indicates required