Fahami Kesan Kadar Asas & Kadar Rujukan Yang Dikemaskini Terhadap Pinjaman Anda

Fahami Kesan Kadar Asas & Kadar Rujukan Yang Dikemaskini Terhadap Pinjaman Anda

Sejarah Rangka Kerja Kadar Rujukan


Sedikit sejarah mengenai Rangka Kerja Kadar Rujukan, ia diperkenalkan pada tahun 1983, dimana Kadar Pinjaman Asas digunakan sebagai Kadar Rujukan untuk pinjaman runcit baharu dengan ciri kadar faedah terapung. Sejak itu, ketentuan dan pelaksanaan untuk Kadar Pinjaman Asas telah berkembang selaras dengan pembangunan sektor kewangan. 

Tetapi Kadar Pinjaman Asas dianggap kurang relevan sebagai Kadar Rujukan kerana ia kurang telus dan menyebabkan lebih susah untuk peminjam untuk membuat keputusan yang betul mengenai pinjaman runcit dengan kadar terapung.

Pada 2 Januari 2015, Rangka Kerja Kadar Rujukan baru telah dilaksanakan untuk menggantikan yang lama dengan tujuan untuk menyediakan Kadar Rujukan yang lebih telus kepada peminjam. Kadar Pinjaman Asas telah ditukar kepada Kadar Asas untuk membantu peminjam membuat keputusan yang lebih tepat bagi memilih produk pinjaman yang ditawarkan oleh institusi kewangan. Institusi kewangan diberikan kebebasan untuk menentukan Kadar Asas masing-masing.

Apa itu Kadar Rujukan?

Anda mungkin tertanya “Apa itu pinjaman runcit kadar terapung?” “Kenapa ada banyak jenis Kadar Rujukan?”

Pinjaman Runcit adalah pinjaman individu, bermaksud bukan pinjaman perniagaan atau perusahaan kecil dan sederhana. Manakala, Pinjaman Kadar Terapung pula adalah pinjaman yang mempunyai kadar faedah yang berubah-ubah sepanjang tempoh pinjaman.


Sebagai peminjam, anda perlu tahu apa Kadar Pinjaman untuk pinjaman kadar terapung. Kadar Pinjaman ditentukan oleh Kadar Rujukan dan Spread. Kadar Pinjaman ini adalah kadar keseluruhan yang akan mempengaruhi jumlah bayaran balik pinjaman anda. 

Komponen pertama di dalam Kadar Pinjaman adalah Kadar Rujukan. Kadar Rujukan ini menentukan sebarang perubahan pada jumlah bayaran balik pinjaman bagi pinjaman runcit dengan kadar terapung sepanjang tempoh pinjaman. Terdapat pelbagai jenis Kadar Rujukan seperti Kadar Pinjaman Asas dan Kadar Asas.

i) Kadar Pinjaman Asas

Kadar Pinjaman Asas ditentukan oleh berdasarkan keseluruhan keadaan kewangan institusi kewangan di Malaysia. Kadar Dasar Semalam (OPR) juga digunakan sebagai penanda aras serta kos pinjaman wang. 

ii) Kadar Asas

Kadar Asas ditentukan oleh institusi kewangan berdasarkan penanda aras kos dana dan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) setiap bank. Bank di Malaysia diberikan kebebasan untuk menentukan Kadar Asas tersendiri, berdasarkan formula ditetapkan dan Kadar Dasar Semalaman BNM digunakan sebagai penanda aras.

Komponen kedua pula adalah Spread. Spread ini termasuk kadar risiko kredit peminjam, kos operasi, premium kecairan dan margin untung bank. Lazimnya, Spread tidak akan berubah sepanjang tempoh pinjaman anda. Spread juga ditentukan oleh bank dan setiap bank mempunyai spread yang berlainan.

Formula kadar pinjaman
Formula kiraan pinjaman terkini

Contoh Rangka Kadar Rujukan sebelum 2015:

Kadar Pinjaman (4.7%) = Kadar Rujukan (Kadar Pinjaman Asas) (6.9%) – Kadar Faedah (2.2%)

Contoh Rangka Kadar Rujukan selepas 2015:

Kadar Pinjaman (4.7%) = Kadar Rujukan (Kadar Asas) (3.5%) + Spread (1.2%)

Apa itu Rangka Kerja Kadar Rujukan dikemas kini? Apa perbezaannya?

Baru-baru ini Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan Rangka Kerja Kadar Rujukan yang telah dikemas kini. Dibawah Rangka Kerja Kadar Rujukan yang telah dikemas kini ini Kadar Asas Standard akan menggantikan Kadar Asas sebagai kadar rujukan untuk pinjaman runcit baharu dengan ciri kadar faedah terapung. Rangka Kerja Kadar Rujukan dikemaskini akan dikuatkuasakan mulai 1 Ogos 2022, tahun hadapan. 

Berbeza dengan Kadar Asas sebelum ini, Kadar Asas Standard adalah selaras dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan ditentukan oleh Jawatan Kuasa Monetari Bank Negara Malaysia. Dalam erti kata lain, Kadar Asas Standard adalah selaras dengan Kadar Asas Semalam. Dengan ini lebih senang bagi peminjam untuk membuat perbandingan untuk produk pinjaman runcit ditawarkan di institusi kewangan. Kesemua bank di Malaysia akan menggunakan Kadar Asas Standard yang sama ditentukan oleh BNM. Kadar Asas Standard akan menentukan kadar pinjaman bagi pinjaman runcit kadar terapung baharu, pembiayaan semula pinjaman runcit sedia ada, dan pembaharuan pinjaman runcit pusingan.

Dengan perubahan ini, ia memudahkan pelanggan dan peminjam untuk membuat keputusan kerana Kadar Asas Standard adalah lebih telus berbanding Kadar Asas sebelum ini. Gabenor Datuk Nor Shamsiah juga menyokong perubahan ini dengan kenyataan yang pelanggan dan peminjaman akan lebih senang untuk memahami perubahan bagi bayaran balik pinjaman mereka kerana Kadar Asas Standard hanya bergantung kepada perubahan Kadar Asas Semalaman. 

Kadar Asas
Rangka Kerja Kadar Rujukan Dikemaskini – Kadar Asas ke Kadar Asas Standard

Berdasarkan illustrasi di atas, Kadar Asas akan digantikan oleh Kadar Asas Standard bermula 1 Ogos 2022 akan datang dengan perbezaan yang agak besar pada Kadar Rujukan. Sebelum ini Kadar Asas ditentukan oleh bank dengan tersendiri, jadi setiap bank mempunyai Kadar Asas yang berbeza mengikut penanda aras masing-masing. Tetapi, dengan perubahan baharu ini, kesemua bank di Malaysia akan mempunyai Kadar Asas Standard yang sama sahaja. 

Penyeragaman Kadar Asas Standard dapat membantu pengguna atau peminjam untuk membuat perbandingan pinjaman antara bank dengan lebih efektif. Pengguna juga dapat membuat pertimbangan yang lebih tepat apabila melakukan permohonan pinjaman berkadar terapung ini. 

Walaupun Kadar Asas Standard akan diseragamkan bagi setiap bank, Kadar Pinjaman masih akan berubah bagi setiap pelanggan kerana spread berubah mengikut individu dan bank kerana ia berasaskan skor kredit seorang individu dan selera risiko serta strategi perniagaan setiap bank. Spread masih dikekalkan, dimana komponen kadar faedah untuk pinjaman seperti risiko kredit peminjam, kos operasi, premium risiko mudah tunai, margin keuntungan dan kos lain akan masih digunakan oleh bank untuk menentukan spread tersendiri. 

Kesan Perubahan Kadar Asas kepada Kadar Asas Standard

Anda mungkin ada beberapa soalan yang bermain di minda anda “Eh, macam mana dengan pinjaman kadar terapung saya? Saya baru sahaja mohon tahun ini” “Kiraan kadar pinjaman bagi pinjaman kadar terapung saya akan berubah ke tahun hadapan?”

Sumber Gambar: Freepik
  1. Pinjaman runcit kadar terapung sebelum 1 Ogos 2022

Peralihan dari Kadar Asas kepada Kadar Asas Standard tidak akan memberikan apa-apa kesan atau impak kepada kadar pinjaman bagi pinjaman runcit kadar terapung sedia ada.  Pinjaman runcit berkadar terapung yang sedia ada sebelum 1 Ogos 2022 masih akan meneruskan penggunaan Kadar Asas dan Kadar Pinjaman Asas sebagai Kadar Rujukan. 

Jadi pelanggan sedia ada tidak perlu risau mengenai peralihan ini kerana tiada apa-apa kesan kepada pinjaman runcit yang sedia ada dan hanya perlu membayar balik pinjaman seperti biasa. 

  1. Pinjaman runcit kadar terapung (pinjaman rumah dan pinjaman peribadi) baharu bermula 1 Ogos 2022

Pinjaman runcit berkadar terapung seperti pinjaman rumah dan pinjaman peribadi yang baharu sahaja yang akan mengguna pakai Kadar Asas Standard ini. Peralihan ini tidak memberi kesan kepada pinjaman kadar tetap seperti pinjaman kenderaan ataupun pinjaman perniagaan. 

Bagi pelanggan baharu atau peminjam runcit baharu, pinjaman runcit berkadar terapung baharu juga sepatutnya tidak dengan perubahan ini. Ini kerana, Kadar Pinjaman bagi peminjam baharu akan ditentukan dengan cara kompetitif dan akan dipengaruhi oleh bermacam jenis faktor seperti penilaian institusi kewangan terhadap kedudukan serta status kredit peminjam, keadaan pendanaan dan juga strategi perniagaan oleh bank. 

Selepas tarikh kuat kuasa tersebut, kedua-dua Kadar Asas dan Kadar Pinjaman Asas akan bergerak seiring dengan Kadar Asas Standard kerana sekiranya berlaku sebarang pelarasan kepada Kadar Asas Standard, Kadar Asas dan Kadar Pinjaman Asas juga akan diselaraskan secara serentak. 

Oleh itu, bank-bank di Malaysia di minta untuk mempamerkan Kadar Asas Standard di laman web dan cawangan bank bersama dengan Kadar Pinjaman Asas dan Kadar Asas sebelum ini untuk rujukan pelanggan. Bank-bank diberi tempoh peralihan selama satu tahun serta masa untuk persediaan dan menambahbaik sistem diguna pakai untuk memastikan pelaksanaan Rangka Kerja Kadar Rujukan dikemaskini akan berjalan dengan lancar.

Untuk perbezaan yang lebih jelas mengenai Kadar Rujukan, anda boleh rujuk jadual di bawah:

Kadar Asas StandardKadar AsasKadar Pinjaman Asas
DikuatkuasakanBermula 1 Ogos 20222 Januari 2015Digunakan sejak 1983
PenetapanOleh Bank Negara Malaysia berdasarkan Kadar Dasar Semalaman (OPR)Oleh Bank tersendiri berdasarkan penanda aras bank seperti kos dana dan keperluan rizab berkanunOleh Bank tersendiri berdasarkan kos meminjamkan  wang kepada institusi kewangan lain dan boleh dipengaruhi oleh Bank Negara Malaysia
Perubahan kadarSelaras dengan Kadar Dasar SemalamanBank boleh mengubah Kadar Asas walaupun Kadar Dasar Semalaman tidak berubahBerubah mengikut Kadar Dasar Semalaman
FungsiLebih telus dan memudahkan penggunakan membuat perbandinganLebih telus tetapi sukar bagi pengguna untuk membuat keputusanMenetapkan kadar pinjaman tetapi kurang telus

Perbezaan Kadar Asas Standard, Kadar Asas dan Kadar Pinjaman Asas

Situasi A: Anda mempunyai pinjaman peribadi berkadar terapung sebanyak RM10,000 untuk tempoh 10 tahun dengan Bank A. 

Kadar Asas StandardKadar AsasKadar Pinjaman Asas
Kadar Rujukan1.75%1.85%6.8%
Spread1.7%1.60%3.35%
Kadar Pinjaman3.45%
(1.75% + 1.7%)
3.45%(1.85% + 1.60%)3.45%(6.8% – 3.35%)
Bayaran Ansuran BulananRM112.08RM112.08RM112.08

Berdasarkan kiraan di atas, kesemua bayaran ansuran bulanan untuk ketiga-tiga jenis kadar rujukan adalah sama sahaja, perbezaan adalah pada penentuan kadar rujukan dan spread.

Situasi B: Anda ingin memohon pinjaman peribadi kadar terapung sebanyak RM150,000 dengan tempoh 10 tahun. Anda ada pilihan untuk pergi ke tiga bank. Bagaimana anda untuk bandingkan Kadar Pinjaman untuk Bank A, B dan C?

 

Kadar Asas

Kadar Asas Standard

Bank

Bank A

Bank B

Bank C

Bank A

Bank B

Bank C

Kadar Rujukan

1.65%

1.80%

1.50%

1.75%

1.75%

1.75%

Spread

1.35%

1.5%

1.7%

1.5%

1.35%

1.6%

Kadar Pinjaman (Kadar Rujukan + Spread)

3%

3.3%

3.2%

3.25%

3.1%

3.35%

Bayaran Ansuran Bulanan

RM1,625

RM1,662.50

RM1,650

RM1,656.25

RM1,637.50

RM1,687.50

Mengikut kiraan di atas, Kadar Asas bagi Bank A, B dan C adalah berlainan, ini kerana Kadar Asas ditetapkan oleh setiap bank tersebut secara tersendiri. 

Berlainan pula dengan Kadar Asas Standard, ketiga-tiga bank mempunyai kadar yang sama pada 1.75%. Perbezaan bagi kiraan hanya pada spread, dimana setiap bank menetapkan spread tersendiri. Walaupun Kadar Asas Standard adalah sama untuk Bank A, B dan C, spread yang berbeza memainkan perbezaan dalam Kadar Pinjaman. 

Apabila Kadar Rujukan atau Kadar Asas Standard adalah sama bagi setiap bank, lebih senang untuk pelanggan untuk membuat keputusan dan pertimbangan yang lebih tepat untuk mohon pinjaman runcit berkadar terapung. 

Jadi jika anda ingin memohon pinjaman runcit dengan kadar terapung selepas 1 Ogos 2022, anda boleh membuat perbandingan yang lebih tepat selepas Rangka Kerja Kadar Rujukan dikemas kini dikuatkuasakan.

Pendapat Direct Lending

Sumber Gambar: Freepik

Sebagai platform digital yang menawarkan pinjaman peribadi yang murah dan selamat kepada pengguna, kami juga ingin memberi beberapa nasihat kepada para pengguna. Direct Lending tidak terkesan dengan peralihan Kadar Asas kepada Kadar Asas Standard kerana buat masa ini produk pinjaman ditawarkan di Direct Lending adalah pinjaman yang berkadar tetap. Jadi pengguna dan pelanggan Direct Lending yang telah berjaya mendapatkan pinjaman peribadi tidak perlu risau mengenai peralihan ini. 

Bagi pengguna atau peminjam akan datang yang berminat untuk membuat pinjaman runcit dengan kadar terapung buat masa akan datang atau bermula 1 Ogos 2022, pastikan anda semak dahulu kadar faedah yang ditawarkan oleh bank. Anda boleh semak kadar faedah pinjaman dengan senang dan pantas melalui laman web bank. 

Apa yang anda perlu lakukan jika anda ingin membuat pinjaman runcit berkadar terapung bermula 1 Ogos 2022 nanti?

  1. Buat perbandingan berdasarkan kadar pinjaman atau spread yang ditawarkan oleh bank yang berlainan sebelum membuat keputusan untuk memohon pinjaman baharu. 
  2. Pastikan anda membaca lembaran penzahiran produk untuk mendapatkan maklumat penting dan tepat mengenai produk kewangan yang ditawarkan oleh bank yang berlainan.
  3. Kenal pasti Kadar Pinjaman dan jumlah bayaran balik pinjaman bank yang berlainan. 
  4. Fahami bayaran balik pinjaman kadar terapung akan berubah pada masa hadapan mengikut Kadar Dasar Semalam. 
  5. Nilai jika anda mampu untuk membuat bayaran balik pinjaman jika Kadar Pinjaman meningkat di masa hadapan. 
  6. Pilih pinjaman yang paling sesuai buat anda berdasarkan perbandingan dibuat bagi produk di bank-bank. 

Kesimpulannya, peralihan Kadar Asas kepada Kadar Asas Standard akan membantu pengguna untuk membuat keputusan dan perbandingan yang lebih tepat untuk pinjaman runcit berkadar terapung yang ditawarkan oleh bank-bank. Peralihan ini juga akan menggalakkan bank-bank untuk bersaing secara sihat untuk menawarkan produk yang menarik di pasaran. 

Artikel ini disediakan oleh Direct Lending. Platform digital yang membantu anda untuk cari, membuat perbandingan dan memohon pinjaman peribadi yang paling murah dan sesuai untuk anda. Sistem semakan kelayakan pintar kami boleh mencadangan pinjaman peribadi Bank dan Koperasi yang terbaik untuk anda.

Perkhidmatan kami 100% percuma, tiada caj pendahuluan atau caj pemprosesan.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *