3 Cara Terbaik Beli Kereta: Tunai, Pinjaman Sewa Beli & Pinjaman Peribadi

3 Cara Terbaik Beli Kereta: Tunai, Pinjaman Sewa Beli & Pinjaman Peribadi

(Artikel ini pada asalnya diterbitkan pada 13 Ogos 2020 dan dikemas kini pada 21 September 2021).

“Kereta terpakai lebih mampu milik dan menjimatkan”, “Kereta baru berfungsi lebih baik dan boleh tahan lebih lama”. Mengambil kira semua kebaikan dan keburukan, kadangkala ia menjadi sukar untuk kita membuat keputusan sama ada untuk memilih kereta baru atau kereta terpakai (second hand) dari segi kos dan fungsinya. Sebelum anda membuat keputusan untuk membuat loan beli kereta baru atau loan kereta terpakai, ini perbandingan yang boleh dijadikan panduan.

Artikel ini tidak bertujuan untuk berdebat tentang pilihan manakah yang lebih baik tetapi lebih kepada membincangkan dan memberi pendapat tentang cara terbaik beli kereta baru atau buat pembiayaan untuk kereta terpakai. Sama ada anda membeli secara tunai, pinjaman peribadi atau pinjaman sewa beli; kami akan jelaskan dengan terperinci perbezaan cara tersebut.

Proses Membeli Kereta Baru dan Kereta Terpakai

cara terbaik beli kereta
Sumber Gambar: Seventyfour

Sebelum kita berbincang mengenai pembiayaan kereta, anda kena tahu dahulu proses dalam memiliki sebuah kereta baru atau kereta terpakai.

Beli kereta baru

Untuk membeli kereta baru di Malaysia, anda perlu ikut prosedur berikut:

  1. Bayar yuran tempahan
  2. Tentukan pilihan pembiayaan (Tunai/Pinjaman peribadi/Pinjaman sewa beli)
  3. Sediakan dokumen yang diperlukan
  4. Mohon cukai jalan
  5. Daftar kereta anda dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
  6. Mohon insurans kereta

Selalunya pengedar kereta atau penjual akan membantu anda untuk menyediakan dokumen yang diperlukan apabila anda membeli kereta baru. Setelah kereta anda didaftarkan di JPJ, anda akan menerima nombor plat kenderaan dan anda boleh mengambil kereta anda.

Beli kereta terpakai

Untuk membeli kereta terpakai di Malaysia, anda perlu ikut prosedur berikut:

  1. Bayar yuran tempahan
  2. Tentukan pilihan pembiayaan (Tunai/Pinjaman peribadi/Pinjaman sewa beli)
  3. Sediakan dokumen yang diperlukan
  4. Pengesahan daripada PUSPAKOM untuk memastikan kereta terpakai tersebut dalam keadaan baik
  5. Mohon insurans kereta
  6. Memindahkan hak pemilikan terdahulu di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)

Jika anda berurusan dengan pengedar kereta atau penjual, mereka akan membantu anda untuk melalui proses ini. Perkhidmatan mereka termasuk menghantar kereta untuk pemeriksaan PUSPAKOM, membeli insurans kereta untuk anda, dan sebagainya. Anda hanya perlu menyemak sama ada mereka menyediakan perkhidmatan sebegini dan kos berkaitan dengannya.

Di sini juga terdapat beberapa tip tentang perkara yang perlu diberi perhatian semasa anda membeli kereta terpakai:

  • Perbatuan (mileage)
  • Keadaan luaran & dalaman kereta
  • Keadaan but & bonet
  • Pemeriksaan mekanik (iaitu brek, enjin, tayar dan sebagainya.)
  • Sebarang pengubahsuaian
  • Geran kereta
  • Rekod servis terdahulu
  • Nota perlindungan insurans (cover note), jika terdapat rekod kemalangan.

3 Cara Terbaik Beli Kereta

cara terbaik beli kereta
Sumber Gambar: Freepik

Secara umumnya, terdapat 3 cara terbaik beli kereta yang anda boleh pilih untuk mendapatkan kereta anda iaitu secara tunai, pinjaman sewa beli dan pinjaman peribadi.

1. Tunai

Ini merupakan cara paling mudah dan menjimatkan untuk membeli tidak kira kereta baru atau kereta terpakai. Sebuah kereta secara umumnya bukanlah aset tambah nilai. Oleh itu, dengan menggunakan lebihan tunai yang anda ada untuk membeli kereta adalah satu langkah bijak.

Walau bagaimanapun, untuk kereta terpakai terutamanya yang telah mencecah 10 tahun  dan ke atas, anda mungkin perlu membelinya secara tunai. Ini adalah kerana semakin lama sesebuah kereta, semakin sukar bagi anda untuk mendapatkan pinjaman sewa beli.

Sesetengah bank telah meletakkan had umur kenderaan kepada 12 tahun. Ini juga termasuk untuk kereta antik. Oleh itu, keputusan untuk membeli kereta terpakai boleh menjadi suatu kerugian dan bebanan jika tidak dirancang dengan betul.

2. Pinjaman Sewa Beli

Pinjaman sewa beli (atau dikenali sebagai pinjaman kereta) adalah cara biasa yang diambil untuk membeli kereta. Apabila anda memohon pinjaman kereta dengan bank, anda  sebenarnya mengikat perjanjian sewa beli dengan bank di mana bank berlaku sebagai pemilik sah kereta sementara anda adalah pengguna. Dalam istilah mudah, ia dilihat seperti anda ‘menyewa’ sebuah kenderaan yang dimiliki bank.

Setelah semua bayaran ansuran anda telah dibayar sepenuhnya, pemilikan sah kereta akan dipindahkan dari bank kepada anda. Ini bermakna kereta tersebut akan menjadi sah milik anda setelah pembayaran penuh jumlah pinjaman telah di buat oleh anda.

Dalam sesetengah kes, pinjaman sewa beli untuk kereta terpakai adalah sukar namun masih boleh dilakukan selagi kereta anda di bawah 10 tahun dan masih berada dalam keadaan baik. Untuk pembelian kereta terpakai, anda harus bersedia mendapat margin pinjaman yang lebih rendah serta kadar faedah yang lebih tinggi. Ini bermakna anda perlu bersedia membayar jumlah deposit lebih tinggi.

Jika anda merancang untuk membuat pinjaman sewa beli atau pinjaman kereta, adalah lebih baik untuk anda sediakan wang deposit dahulu. Semakin tinggi amaun deposit yang anda sediakan semakin murah ansuran bulanan untuk pembiayaan kereta anda. Ini akan meringankan beban dan komitmen bulanan walaupun anda memiliki sebuah kereta. Oleh itu, salah satu cara untuk kumpul wang deposit pembiayaan kereta adalah dengan menambah pendapatan anda.

3. Pinjaman Peribadi

Pinjaman peribadi boleh diberikan kepada mana-mana individu dan boleh digunakan untuk apa-apa tujuan. Pinjaman peribadi dikenali sebagai pinjaman tanpa cagaran kerana pemberi pinjaman tidak memerlukan apa-apa bentuk sandaran (cagaran) untuk pinjaman yang dibuat. Ini bermakna jika anda menggunakan pinjaman peribadi untuk membeli kereta, anda adalah pemilik kereta tersebut.

Pinjaman peribadi diluluskan berdasarkan kepercayaan kredit peminjam di mana pemberi pinjaman akan merujuk kepada rekod sejarah kredit peminjam seperti CCRIS/CTOS, potensi pendapatan dan keupayaan membayar balik pinjaman. Sama ada ianya kereta baru ataupun kereta terpakai, anda boleh memohon untuk pinjaman peribadi tanpa sebarang kerisauan.

Jom kita lihat perbandingan pilihan pinjaman yang mana adalah lebih sesuai untuk kereta baru dan kereta terpakai – pinjaman peribadi atau pinjaman sewa beli?

Perbandingan Antara Pinjaman Peribadi dan Pinjaman Sewa Beli

Kereta Baru

cara terbaik beli kereta
Sumber Gambar: Perodua

Kami akan menggunakan Perodua Myvi 1.5L AV 2021  sebagai contoh untuk kereta baru  yang berharga lebih kurang RM52,600*.

Biasanya untuk pinjaman sewa beli, bank akan meletakkan had margin pembiayaan sebanyak 90%. Maka dalam kes ini, anda hanya boleh meminjam jumlah maksimum sebanyak RM47,340 dari bank (RM52,600 x 90% = RM47,340). Dan baki 10% (RM5,260) adalah deposit yang anda perlu bayar dalam bentuk tunai.

Untuk perbandingan ini, contoh pinjaman peribadi yang kami tunjukkan adalah dari Co-op Bank Pertama yang menawarkan kadar faedah promosi iaitu pada 2.99%* (untuk tempoh 4 ke 10 tahun). Pinjaman ini kini ditawarkan untuk penjawat awam dan pekerja syarikat GLC terpilih sahaja.

Untuk contoh pinjaman sewa beli, kami akan merujuk kepada BSN MyAuto. Julat kadar faedah yang tersenarai di laman web mereka adalah antara 2.35% setahun hingga 3% setahun. Kadar faedah akan berubah dengan sewajarnya dan mengikut budi bicara mutlak BSN. Sebagai contoh, kami andaikan kadar faedah adalah 2.65%* setahun.

Dalam rajah yang tertera di bawah, kami akan membandingkan antara pinjaman peribadi dengan pinjaman sewa beli dengan pinjaman sebanyak 90% ke atas harga kereta. Tempoh pinjaman ditetapkan pada maksimum 9 tahun.

Pinjaman Peribadi CBPPinjaman Sewa Beli BSN
Jumlah PinjamanRM47,340RM47,340
Kadar Keuntungan Bulanan2.99%*2.65%*
Tempoh Pembayaran9 tahun9 tahun
Kadar Keuntungan BulananRM47,340 x 2.99% x 9 = RM12,739RM47,340 x 2.65% x 9 = RM11,291
Penjimatan FaedahRM12,739 – RM11,291= RM1,448
Jumlah BayaranRM47,340 + RM12,739 = RM60,079RM47,340 + RM11,291 = RM58,631
Ansuran BulananRM556RM543
*Maklumat yang ditunjukkan adalah tepat dalam tempoh masa ditulis

Secara ringkas, perbezaan antara pinjaman peribadi dan pinjaman sewa beli tidak banyak. Dalam kes ini, mendapatkan pinjaman sewa beli adalah lebih murah di mana anda dapat berjimat sebanyak RM1,448. Oleh itu, jika anda ada lebihan tunai, dinasihatkan agar anda memohon pinjaman sewa beli dan membayar deposit sebanyak 10%. Dengan melakukan sedemikian, anda dapat jimatkan bayaran caj faedah.

Walau bagaimanapun, jika anda mendapati sukar untuk membuat bayaran deposit sebanyak 10% seperti dinyatakan tadi, anda boleh mempertimbangkan dapatkan deposit tersebut melalui pinjaman peribadi. Contohnya, jika anda adalah seorang penjawat awam, anda boleh mohon pinjaman koperasi sebanyak RM52,600 (harga penuh kereta) untuk membiayai kereta tersebut.

Tetapi anda perlu ingat bahawa bagi pinjaman sewa beli, jika anda gagal untuk membayar ansuran bulanan tepat pada masanya, kereta anda boleh diambil balik oleh bank. Walau bagaimanapun, ini tidak berlaku untuk kes pinjaman peribadi. Pemberi pinjaman tidak boleh mengambil balik kereta anda kerana pinjaman peribadi adalah suatu pinjaman tak bercagar di mana ia tidak memerlukan cagaran.

Kereta Terpakai

cara terbaik beli kereta
Sumber Gambar: Perodua2u-my

Untuk contoh perbandingan ini kami akan menggunakan Perodua Myvi 1.5L SE (2015). Julat harga kereta sekarang adalah dari RM28,000 – RM40,000* bergantung kepada keadaan kereta. Andaikan contoh yang ditunjukkan di sini adalah kereta yang beharga RM30,000.

Untuk pinjaman sewa beli, bergantung kepada keadaan dan umur kereta anda, pemberi pinjaman kadangkala mungkin tidak akan meluluskan pinjaman anda pada margin pembiayaan 90%. Lagipun, anda juga mungkin akan dikenakan kadar faedah lebih tinggi untuk kereta anda. Untuk contoh ini, andaikan pemberi pinjaman sanggup membiayai kereta anda dengan margin 90%. Ini bermakna anda boleh membuat pinjaman bank sebanyak (RM30,000 x 90% = RM27,000). Selebihnya adalah baki 10% yang merupakan deposit yang anda perlu bayar sebagai pendahuluan iaitu sebanyak RM3,000.

Sama seperti contoh kereta baru, kami akan menggunakan Co-op Bank Pertama yang menawarkan pinjaman peribadi dengan kadar faedah promosi 2.99%* (untuk tempoh 4 hingga 10 tahun). Pembiayaan ini kini diperluaskan kepada penjawat awam dan pekerja GLC terpilih sahaja.

Untuk contoh pinjaman sewa beli , kami akan menggunakan BSN MyAuto UsedCar. Julat kadar faedah yang tersenarai di laman web mereka adalah dari 3% setahun hingga 3.80% setahun*. Kadar ini akan berubah bergantung dan pada budi bicara mutlak BSN. Untuk contoh ini, kami andaikan kadar faedah adalah 3.60%* setahun.

Kami akan membuat perbandingan antara pinjaman peribadi dengan pinjaman sewa beli dengan jumlah pinjaman sebanyak 90% ke atas harga kereta seperti yang tertera di bawah. Tempoh pinjaman ditetapkan pada maksimum 9 tahun.

Pinjaman Peribadi CBPPinjaman Sewa Beli BSN
Jumlah PinjamanRM27,000RM27,000
Bayaran Faedah2.99%*3.60%*
Tempoh Pembayaran9 tahun9 tahun
Kadar Keuntungan BulananRM27,000 x 2.99% x 9 = RM7,266RM27,000 x 3.60% x 9 = RM8,748
Penjimatan FaedahRM8,748 – RM7,266 = RM1,482
Jumlah BayaranRM27,000 + RM7,266 = RM34,266RM27,000 + RM8,748 = RM35,748
Ansuran BulananRM317RM331
*Maklumat yang ditunjukkan adalah tepat dalam tempoh masa ditulis

Secara ringkas, adalah jelas bahawa dalam kes ini pinjaman peribadi adalah lebih murah sebanyak RM1,482.

Dapatkan pinjaman peribadi yang mempunyai kadar faedah kurang daripada 3% kerana ia adalah berbaloi untuk membiayai kereta terpakai. Biasanya kadar faedah pinjaman sewa beli untuk kereta terpakai adalah lebih tinggi berbanding dengan kereta baru.

Bergantung kepada keadaan kereta, kadar faedah pinjaman sewa beli untuk kereta terpakai biasanya 3% dan ke atas. Tambahan pula, jika anda memilih untuk memohon pinjaman peribadi, peluang untuk mendapatkan pinjaman anda diluluskan pada harga penuh pembelian kereta adalah lebih tinggi.

Kesimpulan

cara terbaik beli kereta
Sumber Gambar: Freepik

Kereta adalah aset susut nilai dan tidak boleh dilihat sebagai suatu pelaburan. Sebaik sahaja kereta baru digunakan di jalan raya, ia kehilangan sekurang-kurangnya 20% nilai jualan semula pada tahun pertamanya dan 15% setiap tahun berikutnya sehingga tahun ke 10.

Tetapi dengan kereta baru, anda boleh berjimat ke atas kos penyelenggaraan  kerana kereta baru selalunya akan diberi servis percuma. Kereta terpakai, sebaliknya, akan memerlukan lebih banyak kos penyelenggaraan, memandangkan penggunaanya yang lebih tinggi.

Sama ada ia kereta baru ataupun kereta terpakai, adalah lebih baik untuk anda melihat kepada kemampuan kewangan terlebih dahulu sebelum anda membuat komitmen untuk membeli kereta. Baca panduan beli kereta dan buat perbandingkan pilihan pembiayaan yang ada. Berhati-hati semasa melantik pemberi pinjaman. Selalu pastikan syarikat pemberi pinjaman yang anda lantik adalah selamat dan sah.

Jika anda seorang kakitangan kerajaan dan anda ingin mendapatkan pinjaman peribadi untuk membeli kereta, Direct Lending sedia membantu! Kami sediakan platform pembiayaan peribadi tanpa sebarang caj untuk anda cari, banding dan mohon pinjaman yang selamat.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *