6 Cara Bajet Hiasan Hari Raya, Buat Rumah Tampil Lebih ‘Segar’
hiasan hari raya

6 Cara Bajet Hiasan Hari Raya, Buat Rumah Tampil Lebih ‘Segar’ 

Menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut tidak lama lagi, sudah tentu ia memberikan keterujaan buat mereka yang meraikannya. 

Pastinya kali ini, ‘dendam’ untuk menyambut Hari Raya dapat dilepaskan setelah 2 tahun tak dapat balik kampung untuk beraya, antaranya dengan pulang ke kampung halaman, memakai busana baharu termasuk menghias rumah agar tampil lebih berseri dan meriah! 

Oleh itu, buat mereka yang masih tercari-cari hiasan Hari Raya yang cantik, kreatif, segar dan masih dalam bajet persiapan raya, berikut antara idea mudah yang boleh anda aplikasikan. 

Checklist Hiasan Menjelang Hari Raya 

Memetik nukilan Hazlam Anuar, sebelum anda mula deko atau hias rumah, ini checklist yang boleh dijadikan panduan agar anda tidak blur ketika menghias rumah atau hilang semangat secara tiba-tiba. 

Perlu diingatkan juga, checklist yang disediakan ini mungkin berbeza-beza mengikut rumah masing-masing ya. 

Teknik 3 kotak 

Apakah yang dimaksudkan dengan teknik tiga kotak ini? Ia adalah kotak yang dilabel dengan simpan, buang dan derma. 

Kotak 1 (Simpan): Merupakan barangan yang mahu disimpan atau digunakan semula. 

Kotak 2 (Buang): Semua barangan yang tidak digunakan dan tidak terusik (sekurang-kurangnya 6 bulan) 

Kotak 3 (Derma): Di bulan mulia Ramadan ini, sekiranya barangan tersebut masih elok, boleh juga dermakan kepada yang memerlukan. 

*Kalau tiada kotak, gunakan apa-apa ikut kemahuan anda. 

1. Cat atau wallpaper

Ikutlah citarasa masing-masing. Kini, cat ada banyak pilihan seperti berjalur, bercorak, momento dan bertekstur.

Sekiranya ingin memasang wallpaper, dapatkan khidmat nasihat daripada konsultan agar setap pilihan bertepatan dengan kediaman kita dan dalam bajet diperlukan.

2. Susun atur perabot

Sumber gambar: Dekorasi Bajet

Ada beberapa teknik yang boleh anda terapkan semasa menghias rumah, iaitu teknik alih dan teknik tambah. 

Teknik alih ialah mengalihkan kedudukan perabot asal, contohnya sebelum ini sofa 2 sitter belah kiri dan dialihkan ke kanan atau meja sisi di sofa 3 sitter dialih ke single sofa. 

Manakala, teknik tambah pula seperti menambahkan kusyen pada sofa yang tiada kusyen atau meletakkan alas pada tempat duduk di meja makan untuk mengurangkan kekerasan kerusi. 

Memetik BERITA Mediacorp, jika anda mempunyai ruang tamu yang luas, cuba atur semula susunan sofa dan meja. Himpitkan sofa dengan berlatarkan dinding. Untuk serlahkan sudut ini, hias dinding dengan aksesori atau serikan dengan lampu raya.

Selain itu, anda juga boleh mengambil gambar dan mengukur ruang untuk diletakkan perabot diinginkan. Boleh terus ke kedai untuk dapatkan pandangan daripada kedai tersebut sama ada bersesuaian dengan ruang. 

Jangan pergi satu kedai sahaja, rajin-rajinkan diri survey, buat perbandingan harga serta check kualitinya. Pastikan ia praktikal untuk kediaman anda. 

3. Pencahayaan 

Sumber gambar: Utusan Digital

Sekiranya anda merasakan ruangan rumah sedikit dull, mungkin anda perlukan menambah pencahayaan untuk menaikkan serinya. 

Kini, banyak lampu hiasan yang boleh anda dapatkan sama ada di kedai lampu atau secara dalam talian. Paling penting, carilah mentol yang mampu menjimatkan elektrik anda. 

Anda juga boleh memasang lampu lip-lap atau pelita elektrik dan letakkannya di dalam atau di luar rumah. 

4. Fokus dua ruang 

Pada Hari Raya, dua ruang ini amat penting, iaitu ruang tamu dan ruang makan. Namun, ini tidak menyebabkan anda lupa akan ruang-ruang yang lain. 

Bagi ruang tamu, anda boleh tambahkan kerusi, meletakkan karpet atau standby tikar sekiranya menerima tetamu yang ramai. 

Ruang makan pula, pastikan kelengkapan makan minum seperti pinggan, mangkuk, cawan, sudu, garfu untuk dewasa dan kanak-kanak mencukupi.

5. Deko magik

Sumber gambar: Buttongirl

Sekiranya anda ada meja makan yang calar, sofa fabrik dengan tompokan kotoran, sofa kulit terkoyak mahupun tergores, semua ini boleh diselesaikan dengan deko magik. 

Antaranya dengan alas meja makan dengan kain bercorak atau polos (bergantung tema), sofa koyak atau tergores boleh ditutup dengan sofa throw atau selimut kecil dan balut dengan sarung kerusi menarik. 

6.  Aksesori dekorasi

Sumber gambar: Kompas

Bagi aksesori dekorasi ini, anda boleh beli mengikut bajet masing-masing. Antaranya boleh hiasi rumah dengan hiasan dinding, karpet, display cabinet, gubahan bunga atau kusyen. 

BERITA Mediacorp turut berkongsi, anda boleh keluarkan koleksi piring, pinggan, mangkuk, gelas dan cawan yang ada di dalam kabinet. Atur mengikut corak dan warna, kemudian padankan dan susun berdasarkan tema dan gaya yang ingin ditampilkan di ruang makan. Contohnya, gaya moden, tradisional atau secara bertema.

Untuk menyerlahkan lagi hiasan di atas meja, hiaskan dengan campuran
buah-buahan seperti beri, plum dan anggur atau bunga dan daun segar yang dapat
memberikan kesegaran di sudut ini.

Anda juga boleh menggantung kad raya, sampul duit raya, ketupat warna-warni dan biskut raya. Ini bagi menghidupkan lagi suasana Hari Raya.

Cara Bajet Hiasan Hari Raya

Beli Hiasan di Kedai Bajet

Anda boleh dapatkan barangan keperluan Hari Raya dengan harga yang murah di kedai bajet seperti MR.DIY atau Daiso

Anda cuma perlu menentukan warna skema pilihan anda agar anda dapat menyesuaikan barangan yang dibeli berdasarkan warna skema tersebut. Jika anda membeli barangan perhiasan, gunakan barangan seramik, logam atau bahan semula jadi lain untuk jadikan rumah anda lebih menarik dan bertambah elegan.

Kitar Semula Sisa Bahan atau DIY

Kebiasaannya hiasan Raya boleh digunakan semula pada setiap tahun. Anda hanya perlu menyimpannya dengan baik agar ia tidak mudah rosak atau boleh kitar semula sisa bahan. 

Contohnya, daripada membuang kepingan sisa langsir atau pakaian anda selepas pergi ke tukang jahit, anda boleh mengumpulkannya dan membuat selimut tampal yang dapat berfungsi sebagai langsir atau bahkan lapisan untuk sofa anda.

Idea kitar semula yang lain termasuklah mengubah manik dan reben lama kepada pembahagi bilik dan mengubah kepingan kayu ke dalam rak untuk dilekatkan pada dinding.

Anda juga boleh menggantung beberapa ketupat hiasan untuk mewujudkan suasana Raya. Di samping itu, anda juga boleh adakan galeri gambar di rumah, iaitu dengan memadankannya dengan cermin kecil dan hiasan seperti bunga yang dapat memberikan penampilan yang berbeza pada dinding.

Anda juga boleh tambah tekstur pada dinding dengan mengecat corak jalur memanjang atau mendatar atau cubalah corak herringbone dan chevron.

Guna Perabot Lama untuk Tujuan Lain

Jangan buang perabot yang lama atau yang sudah tidak kukuh. Anda boleh guna perabot tersebut untuk tujuan lain. Sebagai contoh, jika anda mempunyai kerusi kayu yang usang, anda boleh cuba licinkannya dan cat semula untuk digunakan sebagai meja kecil untuk lampu dan jam loceng yang diletakkan di sisi katil.

Tangga kayu yang lama boleh dijadikan papan kenyataan dan kepala katil yang membosankan juga boleh dijadikan tempat menggantung pakaian selepas anda letakkan beberapa cangkuk logam padanya.

Kitar Bekas Kuih

Hias semula penutup bekas kuih dengan cat kapur dan ornament glue pen. Anda juga boleh memberi penampilan baru pada corak botol dengan menggunakan pelekat Japanese Washi yang direka dalam pelbagai warna dan corak, mudah di beli secara dalam talian.

Pilih yang bermotif untuk dipadankan dengan alas kusyen atau corak bunga serta fabrik berenda serta aneka warna untuk hiasan botol.

Lukis Lukisan Anda Sendiri

Selain membeli hasil seni daripada galeri, anda boleh membingkaikan hasil seni dan kraftangan anda sendiri. Selain itu, anda juga boleh membingkaikan hasil seni anak-anak anda. 

Walaupun ia cuma cat air pada kertas atau origami burung, sentuhan peribadi yang kecil seperti ini dapat mengubah sesuatu ruangan dan memberikannya karakter tambahan. Anda boleh mencari idea dan inspirasi di Pinterest. Anda juga boleh jadikan aktiviti menghias ini sebagai aktiviti yang anda boleh lakukan bersama keluarga anda.

Kini, hasil karya kreatif anda dapat dipertontonkan kepada tetamu yang hadir berkunjung ke rumah. Mana tahu mereka berminat untuk membelinya. 
Selain itu, portal Melaka International Trade Centre berkata, karya kaligrafi ataupun ukiran seni memang sangat sesuai kalau nak digunakan untuk menghias dinding ataupun meja tepi.

Carilah karya-karya yang ada ciri-ciri Islamik seperti ayat suci atau kalimah tauhid. Ruang yang diletakkan karya tersebut bukan sahaja nampak cantik dan indah, bahkan membuat tetamu rasa tenang dan aman.

Langsir Dijadikan Photobooth Raya

Menurut Murai, selain menghalang cahaya dan sebagai dekorasi, langsir juga boleh digunakan sebagai bahan asas untuk Photobooth Raya anda.

Elakkan pembaziran! Tidak perlu membeli kain baharu, anda hanya perlu cari ruang atau dinding yang cukup luas untuk gantungkan langsir tersebut.Tambahkan sedikit hiasan seperti kerusi dan meja lama, ketupat, pokok-pokok hiasan serta kad raya untuk melengkapkannya.

Kesimpulan 

Sebenarnya tidak susah hednak menjadikan rumah anda lebih berseri pada Hari Raya dan tidak perlu pun mengeluarkan wang yang banyak, hanya gunakan Mr Google dan kreativiti anda sahaja. 

Bagaimanapun, apa jua hiasan Hari Raya anda, apa yang paling penting adalah semangat untuk bersama-sama keluarga dan orang tercinta di rumah dan mencari makna sebenar Syawal yang dirai. 

Tahun ini juga kelonggaran diberikan setelah dua tahun kita perlu menyambut Hari Raya secara berasingan untuk memerangi COVID-19, jadi sambutlah ia dengan penuh kesyukuran dan kesederhanaan.

SHARE ARTIKEL INI
Share on facebook
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Share on twitter

Subscribe Newsletter

* indicates required