Pelepasan Cukai Pendapatan Dan Cara Isi e-Filing 2022
pelepasan cukai 2021

Pelepasan Cukai Pendapatan Dan Cara Isi e-Filing 2022

Pelepasan cukai adalah sistem yang ditetapkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LDHN) yang mana pembayar cukai dibenarkan memotong sejumlah wang daripada hutang cukai mereka. Beberapa jenis bantuan termasuk insurans hayat, perbelanjaan perubatan untuk ibu bapa, yuran pendidikan individu, pembelian komputer riba atau telefon pintar. Pelepasan cukai membolehkan anda mengurangkan pendapatan bercukai yang akan mempengaruhi kadar cukai dikenakan.

Sekiranya anda berjaya menguruskannya dengan baik, ia dapat menjimatkan sejumlah besar wang sekaligus membantu pengurusan kewangan peribadi anda. Sama ada baru bekerja ataupun ingin penyegaran semula, ini panduan lengkap membantu anda isi e-filing 2022 untuk tahun taksiran 2021, dan senarai pelepasan cukai pendapatan yang boleh dituntut.

Adakah Anda Layak Dikenakan Cukai Pendapatan?

Siapakah yang perlu membayar cukai pendapatan?

Pada setiap bulan pastinya anda akan menerima slip gaji sekiranya sudah bekerja. Jika gaji bulanan anda lebih kurang RM2,833.33 (atau lebih daripada RM34,000 setahun) selepas potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), anda perlu membayar cukai. 

Jika anda bekerja secara bebas atau freelancer yang menerima pendapatan dari syarikat Malaysia ataupun mempunyai perniagaan sendiri, anda juga perlu membayar cukai jika pendapatan anda mencecah RM34,000 setahun. Ada juga beberapa syarikat yang membuat potongan cukai daripada gaji anda.

Kenapa perlu membayar cukai pendapatan?

Cukai-cukai yang anda bayar tersebut akan digunakan oleh kerajaan untuk pembangunan negara seperti membayar pegawai kerajaan, membina infrastruktur, biasiswa, kemudahan seperti taman rekreasi awam, institusi pendidikan, inisiatif kesihatan, sekuriti, pertahanan, pencen termasuk kajian sains dan perubatan. 

Sehubungan itu, cukai pendapatan bukan sahaja amalan berkongsi rezeki, tetapi juga menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai dan melaporkan pendapatan tahunan.

Akibat tidak membayar cukai pendapatan 

1.     Dikenakan penalti 10%

Jika anda tidak membayar cukai, anda boleh dikenakan penalti 10% daripada pendapatan bercukai anda. Kemudian, anda boleh dikenakan lagi penalti 5% selepas sebulan anda tak bayar. Ini boleh menjadi punca hutang tertunggak jadi lebih baik anda selesaikan bayaran cukai secepat mungkin. Kesalahan penuh tak bayar cukai boleh dirujuk di laman web LHDN.

2.     Tindakan mahkamah

Jika anda masih tak membayar hutang cukai setelah sekian lama, tindakan mahkamah boleh dikenakan. Harta benda dan barang peribadi anda akan disita oleh pihak kerajaan seperti seorang yang digelar muflis. Anda juga boleh dipenjarakan jika hutang cukai tersebut masih tidak diselesaikan walaupun setelah disita harta benda.

3.     Tidak dibenarkan keluar negara

Sebagai seorang yang berhutang, sekatan perjalanan keluar negara boleh dikenakan. Perkara ini boleh berlaku jika anda seorang pengarah syarikat Malaysia yang tidak menyatakan dan membayar cukai pendapatan. Hal ini akan mengimpak perniagaan serta menjejaskan kualiti hidup anda.

Panduan Isi e-Filing LHDN

Cara daftar e-Filing

Pendaftaran boleh dibuat online melalui portal rasmi edaftar.hasil.gov.my. Bagi pengguna kali pertama, sila ikuti beberapa langkah mudah di bawah:

1. Lengkapkan borang pendaftaran online

Layari edaftar.hasil.gov.my/individu/dafsgjpnvdprd.php untuk mendaftar kali pertama. Anda akan dibawa ke halaman seperti:

pelepasan cukai
Sumber gambar: Hasil

Selepas selesai anda akan diberi satu nombor permohonan contohnya seperti Ai-a68792fu7979e32. Jangan lupa untuk catatkan nombor tersebut untuk digunakan ketika mahu semak status pendaftaran nanti.

2. Muat naik dokumen yang diperlukan

Anda kemudian akan diminta untuk muat naik salinan dokumen berikut:

  • Pasport bagi bukan warganegara Malaysia yang tidak menjalankan perniagaan
  • Sijil pendaftaran perniagaan bagi warganegara Malaysia yang menjalankan perniagaan
  • Pasport dan sijil pendaftaran perniagaan bagi bukan warganegara Malaysia yang menjalankan perniagaan

Ketika memuat naik dokumen pengenalan anda, pastikan hanya muka depan yang dengan jelas menunjukkan nama dan nombor kad pengenalan diperlukan.

3. Semak status permohonan

Selepas beberapa hari, anda boleh membuat semakan online status permohonan di edaftar.hasil.gov.my/individu/info.php.

Jika permohonan disahkan, anda akan diberikan nombor PIN yang akan digunakan semasa mengisi e-Filing pula nanti.

Disclaimer: Permohonan e-Daftar akan dibatalkan sekiranya tiada dokumen lengkap diterima dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan dan pemohon dikehendaki membuat semula permohonan baru berserta dokumen yang lengkap.

Cara isi e-Filing untuk kali pertama

Berikut adalah langkah-langkah mengisi e-Filing online melalui Portal ezHASiL:

  1. Layari laman web ezHASiL dan pergi ke menu Maklum Balas Pelanggan. Kemudian klik pada bahagian Permohonan Nombor Pin e-Filing.
  2. Download Borang CP55D dan isi maklumat yang diperlukan. Selepas isi dan tandangan, scan bersama IC anda dalam bentuk PDF. Dokumen dah sedia, klik pilihan “Seterusnya”.
  3. Isi maklumat yang diperlukan. Pastikan alamat emel anda tepat kerana Pihak LHDN akan menghantar nombor rujukan ke emel anda. Dah siap isi & upload dokumen yang diperlukan, klik “Hantar” dan Pihak LHDN akan memberi Nombor Pin untuk anda membuat semakan permohonan selepas 7 hari waktu bekerja.
  4. Login ke Portal e-filing ezHASiL.

Cara isi e-Filing untuk pengguna berdaftar

  1. Layari portal ezHasil dan pada bahagian Log Masuk sila isi segala maklumat yang diperlukan kemudian klik ‘Hantar’.

2. Anda kemudian akan dibawa ke halaman e-Borang. Di sini pastikan anda pilih e-Borang yang betul sama ada:

  • e-E: Majikan
  • e-BE: Individu warganegara Malaysia yang tiada punca pendapatan perniagaan
  • e-B: Individu warganegara Malaysia yang ada punca pendapatan perniagaan
  • e-BT: Pekerja Berpengetahuan atau Pekerja Berpakaran warganegara Malaysia
  • e-P: Perniagaan perkongsian
  • e-M: Individu bukan warganegara Malaysia
  • e-MT: Pekerja Berpengetahuan atau Pekerja Berpakaran bukan warganegara Malaysia

Untuk individu yang bekerja makan gaji tanpa perniagaan pilih borang e-BE.

Maklumat pada borang terbahagi kepada 4 bahagian iaitu:

  • Maklumat Individu
  • Pendapatan Berkanun, Jumlah Pendapatan Dan Pendapatan Tahun Kebelakangan Yang Belum Dilaporkan
  • Pelepasan / Rebat / Tolakan Cukai / Pelepasan Cukai
  • Rumusan

3. Sila isi dengan lengkap kesemua maklumat yang diperlukan untuk memudahkan proses pengiraan cukai pendapatan anda. Akhir sekali anda perlu sahkan borang taksiran kemudian hantar kepada pihak LHDN secara online.

Jika anda sudah berpuas hati dengan borang yang diisikan, sila klik ‘Tandatangan & Hantar’. Apabila anda sudah klik, skrin Tandatangan akan dipaparkan. Masukkan Nombor Kad Pengenalan dan Kata Laluan yang tepat untuk menghantar borang yang telah diisikan.

Senarai Pelepasan Cukai Individu Bagi Tahun Taksiran 2021 LHDN (e-Filing 2022) 

(dikemaskini pada 11 Januari 2022)

1. Pelepasan Cukai Individu
  • Individu dan saudara tanggungan : RM9,000
  • Individu kurang upaya : RM6,000
  • Suami atau isteri kurang upaya : RM5,000
  • Suami / ister / alimoni kepada bekas ister : RM4,000
  • Yuran pengajian diri sendiri : RM7,000

2. Pelepasan Cukai Gaya Hidup, Perubatan & Peralatan Berkaitan
  • Rawatan perubatan keperluan khas dan Penjagaan ibu bapa : RM8,000
  • Peralatan alat sokongan khas : RM6,000
  • Gaya hidup : RM2,500
    • Pembelian bahan bacaan
    • Pembelian komputer peribadi
    • Telefon pintar / internet
    • Pembelian peralatan sukan, bayaran keahlian gymnasium
    • Tambahan RM2,500 untuk pembelian komputer peribadi, telefon pintar dan tablet
  • Tambahan gaya hidup RM500 berkaitan aktiviti sukan
    • Pembelian peralatan sukan
    • Sewaan / fi di mana-mana fasiliti sukan
    • Fi pendaftaran penyertaan pertandingan
  • Perbelanjaan melancong dalam negara : RM1,000
    • Penginapan di premis/hotel yang berdaftar (Perbelanjaan yang dilakukan pada atau selepas 1 Mac 2020 sehingga 31 Disember 2021)
    • Bayaran masuk ke pusat tarikan pelancongan
  • Pembelian peralatan penyusuan : RM1,000
    • Pembayar cukai wanita sahaja
    • Anak berumur kurang 2 tahun sahaja
    • Tuntutan dibuat sekali setiap 2 tahun
  • Perbelanjaan perubatan bagi penyakit serius, perbelanjaan rawatan kesuburan & pemeriksaan perubatan penuh (Diri sendiri, suami / isteri atau anak) terhad RM8,000 (termasuk rawatan perubatan penuh, ujian pengesanan COVID19 dan vaksinasi yang dibenarkan terhad RM1,000)

3. Pelepasan Cukai Anak
  • Anak bawah 18 tahun : RM2,000
  • Anak 18 tahun ke atas : RM2,000 (belum berkahwin / belajar sepenuh masa)
  • Anak 18 tahun ke atas : RM8,000 (belum berkahwin / belajar di IPT)
  • Yuran taman asuhan kanak-kanak / tadika berdaftar : RM3,000
  • Anak kurang upaya : RM6,000
    • Tambahan bagi anak kurang upaya RM8000 (belajar di IPT – Diploma / ke atas)

4. Pelepasan Cukai Caruman / Sumbangan
  • Insurans Nyawa dan KWSP *individu penjawat awam dan berpencen RM7,000 atau
  • Selain penjawat awam *insuran nyawa / takaful RM3,000
  • KWSP / Skim yang diluluskan : RM4,000
  • PERKESO : RM250
  • Skim persaraan dan anuiti tertunda : RM3,000
  • Insuran perubatan dan pendidikan (individu / pasangan /anak) : RM3,000
  • SSPN (tabungan bersih) : RM8,000

Cara Pembayaran Cukai

Terdapat beberapa cara untuk membayar cukai pendapatan anda, antaranya melalui FPX, kad kredit, kad debit, kaunter pusat bayaran LHDNM, bank, pejabat pos dan pindahan wang dari luar negara. Maklumat lanjut.

Bayar cukai dan elakkan hutang

Setelah anda mengisi dan menghantar borang untuk e-Filing cukai, anda perlu membayar jumlah tertera sebagai pendapatan bercukai. Ingat, anda akan dikenakan penalti 10% jika lambat bayar dan seterusnya 5% selepas sebulan masih tak dibayar. Jika anda ingin mengelakkan penalti dan hutang lapuk, lebih baik anda lengkapkan e-Filing dan bayar cukai secepat mungkin. Jadilah seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab supaya kehidupan anda, keluarga, jiran dan rakan-rakan di negara ini terus kekal aman dan selesa. Membayar cukai dapat mengukuhkan lagi pengurusan kewangan keluarga jika anda sudah bekeluarga.

Artikel ini ditulis oleh Direct Lending – platform pinjaman peribadi bank & koperasi dan pinjaman wang berlesen. Kami boleh bantu anda cari, banding & mohon pinjaman yang paling sesuai dengan anda. Semak kelayakan anda secara percuma & dapatkan kadar pinjaman serendah 2.69% atau secepat 2 hari bekerja.

SHARE ARTIKEL INI
Share on facebook
Share on whatsapp
Share on telegram
Share on email
Share on twitter