Direct Lending

5 Cara Simpanan untuk Pendidikan Anak Anda

Sudah menjadi impian setiap ibu bapa untuk melihat anak mereka berdiri di atas pentas dengan memakai jubah konvokesyen sambil memegang segulung ijazah. Bagi merealisasikan impian tersebut, ibu bapa perlulah membuat perancangan kewangan yang rapi, terutamanya dalam aspek pendidikan yang memakan belanja yang besar.

Walaupun Kuala Lumpur telah dinobatkan sebagai salah sebuah bandar paling berpatutan untuk pelajar pada tahun 2018, purata kos untuk melanjutkan pengajian ijazah sarjana muda kejuruteraan di universiti swasta tempatan ialah RM51,000 (bersamaan dengan USD$16,000) yang sudah tentu merupakan nilai yang amat tinggi. Dengan kadar inflasi yang melanda negara kita, angka tersebut mungkin akan meningkat berlipat ganda pada 20 tahun yang akan datang. Oleh itu, ibu bapa perlulah bertindak bijak dengan mengikuti 5 langkah ini dalam merancang pendidikan anak-anak.

kredit: edubilla.com

1. SSPN-I Plus

kredit: sspniplus-online.com

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah memperkenalkan sebuah skim simpanan pada tahun 2012 yang dinamakan sebagai SSPN-i Plus. Ia merupakan perancangan simpanan pelajaran yang turut menawarkan perlindungan Takaful. Kadar dividen yang telah diisytiharkan pada tahun 2018 bagi para penyimpan ialah sebanyak 4%, sekali gus menunjukkan pulangan yang lebih tinggi berbanding akaun deposit tetap.

Kelebihan skim ini ialah anda boleh memohon pelepasan cukai sehingga RM6,000 khusus untuk skim ini dan tambahan RM6,000 bagi perlindungan insurans jika anda masih layak untuk menuntut pelepasan cukai setelah ditolak dengan caruman KWSP serta perlindungan insurans yang lain.

2. Akaun simpanan anak atau akaun deposit tetap

kredit: magazine.northeast.aaa.com

Jika anak anda berusia 18 tahun ke bawah, anda boleh melakukan simpanan dengan membuka akaun simpanan atau akaun deposit tetap dengan bank tempatan. Kadar faedah untuk akaun-akaun ini berbeza mengikut bank pilihan. Oleh itu, pastikan anda membuat pilihan yang bijak. Dengan membuka akaun simpanan dengan bank seperti Maybank dan OCBC, anak anda berpeluang untuk menerima ganjaran wang tunai sekiranya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama seperti UPSR, PT3, dan SPM. Bank-bank lain seperti Affin Bank turut menawarkan perlindungan kemalangan peribadi secara percuma buat anak anda sekiranya anak anda mempunyai akaun simpanan dengan bank-bank ini.

3. Pelan pendidikan oleh syarikat insurans

kredit: blog.bankbazaar

Kebanyakan syarikat insurans turut menawarkan pelan pendidikan yang menggabungkan simpanan dengan pelindungan insurans. Seperti biasa, pastikan anda membuat penyelidikan yang menyeluruh dan memilih pelan yang bersesuaian dengan keperluan anda. Pastikan anda membeli polisi yang mempunyai faedah pembatalan bayaran premium sekiranya sebarang perkara yang tidak diingini berlaku kepada anda. Dengan ini, dana pendidikan anak anda tetap akan terpelihara meskipun anda sudah tiada.

4. Amanah Saham Bumiputera 3-Didik

kredit: asnb.com.my

Untuk Bumiputera, membuka akaun Amanah Saham Bumiputera 3-Didik akan memberikan manfaat yang besar buat anak anda. Akaun ini boleh dibuka dengan kadar serendah RM100. Sejak dilancarkan pada tahun 2001, kadar dividen yang diisytiharkan tidak pernah kurang daripada 6%. Jika anda anda berusia antara 6 bulan sehingga 18 tahun, anda boleh membuka ‘Akaun Bijak’ bagi pihak mereka. Akaun ini akan ditukarkan menjadi akaun dewasa apabila anak anda berusia lebih daripada 18 tahun. Dana ini diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Berhad, iaitu sebuah anak syarikat Permodalan Nasional Berhad.

 5. Unit Amanah

kredit: tes.com

Bagi yang bukan Bumiputera, usah risau! Anda juga boleh melabur dalam unit amanah untuk merancang pendidikan tinggi anak anda. Lazimnya, perancangan kewangan sebegini mempunyai risiko yang rendah atau sederhana kerana ianya mempunyai jangka masa yang panjang. Kini, terdapat ramai ejen unit amanah daripada pelbagai syarikat yang boleh dijadikan rujukan. Anda boleh berunding dengan mereka bagi mendapatkan pilihan yang bertepatan dengan kemahuan dan kehendak anda.

Kesimpulan

Sekiranya anak anda bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dalam masa yang terdekat, dan anda tidak mempunyai simpanan yang mencukupi, jangan khuatir. Ada beberapa pilihan lain yang boleh membantu. Sebagai contoh, jika anak anda memperoleh keputusan yang cemerlang dalam bidang akademik dan kokurikulum, anak anda boleh memohon biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam, Star Education, dan pelbagai badan kerajaan dan syarikat swasta yang menawarkan biasiswa.

Anda juga boleh memohon pinjaman pelajaran. Antara pinjaman pelajaran yang menjadi pilihan ramai ialah PTPTN. Di samping itu, anda juga boleh menggunakan simpanan KWSP untuk menanggung kos pembelajaran anak anda. Koperasi seperti KOJADI dan pelbagai bank turut menawarkan pinjaman yang khusus untuk pendidikan.

Akhir kata, terdapat banyak kaedah serta langkah yang boleh diambil bagi merancang pendidikan anak-anak. Pastikan anda mengkaji setiap pilihan dengan teliti, dan pelbagaikanlah bentuk pelaburan bagi mengurangkan risiko yang bakal dihadapi. Lagi cepat anda mula, lagi tinggi ganjarannya. Bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Ikuti blog kami untuk dapatkan pelbagai info mengenai simpanan dan perancangan kewangan peribadi. Artikel ini  disediakan oleh Direct Lending  Jika anda memerlukan pinjaman peribadi yang selamat dan berpatutan untuk membayar perbelanjaan pelajaran anda, semak kelayakan pinjaman bank dan koperasi anda dengan percuma.

Direct Lending

Add comment