Direct Lending

Beli Kereta Baru atau Kereta Terpakai: Mana Yang Lebih Bernilai Untuk Wang Anda?

Kebanyakan orang Malaysia memiliki kereta, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar. Pelbagai alasan diberi, termasuklah sistem pengangkutan yang tidak boleh dipercayai dan kesukaran untuk mengakses sistem ini. Kebanyakan kereta di negara ini agak mahal, terutamanya kereta import yang memerlukan pembayaran pelbagai cukai tambahan.

Anda tentu tertanya-tanya sama ada beli kereta baru lebih bernilai untuk wang anda, ataupun kereta terpakai. Jawapannya bergantung pada situasi tersendiri anda. Berikut adalah antara soalan-soalan penting yang patut anda tanya pada diri sendiri sebelum membeli kereta:

  • Apakah bajet keseluruhan saya untuk sebuah kereta?
  • Adakah saya mampu membayar bayaran pendahuluan sebanyak 10%?
  • Adakah saya mampu mengambil pinjaman sewa-beli untuk kereta tersebut?
  • Adakah saya mampu membayar insurans dan cukai jalan tahunan?
  • Berapa lamakah ingin saya menyimpan kereta tersebut?
  • Apakah tujuan saya memiliki kereta ini?

Soalan-soalan ini penting untuk mengelakkan diri sendiri daripada melakukan kesilapan yang besar. Sebagai contoh, jika anda sedang mencari kereta besar untuk mengangkut keluarga anda, sebuah MPV atau SUV adalah lebih sesuai.

Akan tetapi, jika anda seorang yang suka mengubahsuai atau ‘modify’ kereta, anda lebih sesuai membeli kereta terpakai kerana tidak perlu berasa bersalah atau sayang untuk menggantikan bahagian-bahagian kereta tersebut. Mari kita melihat perbandingan kereta baru dan terpakai secara ringkas:

Harga

www.carlot831.com

Kereta terpakai secara amnya lebih murah berbanding kereta baru. Harga kereta baru boleh menyusut dengan cepat dan mencapai 50% nilai asal kereta dalam masa 5 tahun sahaja. Berikut merupakan jadual perbandingan harga tiga buah kereta yang sama atau hampir sama jenama dan jenis.

Kereta Baru Harga (RM) Terpakai (Mudah.my) Harga (RM)
Honda City 1.5 S 2017 RM75,930 Honda City 1.5 2010 RM44,800
Mazda 3 Sedan 2017 RM110,225 Mazda 2  1.5 2012 RM28,700
Perodua MyVi 2017 RM41,262 Perodua MyVi  2010 RM15,500

Harga adalah tepat pada masa penulisan

Kos Penyelenggaraan

silverlakeauto.com

Untuk kereta yang melebihi 5 tahun umurnya, kos penyelenggaraan dijangka meningkat. Secara puratanya, jangka hayat kereta adalah sekitar 11.4 tahun. Ini bermaksud bahawa kereta yang lebih tua daripada ini akan kerap mempunyai isu teknikal yang perlu ditangani yang memerlukan perbelanjaan.

Tambahan pula, kebanyakan penjual kereta di Malaysia hanya menawarkan servis percuma selama 5 hingga 7 tahun untuk kereta baru. Sebagai contoh, BMW dan Proton kedua-duanya menawarkan servis percuma selama 5 tahun sebagai sebahagian daripada pakej pembelian kereta. Jadi kesemua kos pembaikan atau penyelenggaraan selepas tempoh ini terpaksa anda tanggung sendiri.

Pinjaman

www.imoney.my

Kereta yang bernilai kurang daripada RM10,000 kemungkinan boleh dibeli dengan tunai dari simpanan anda dan anda tidak perlu mengambil pinjaman sewa-beli daripada bank. Pinjaman yang diambil untuk kereta terpakai biasanya mengenakan faedah yang lebih tinggi, sekitar 3.6 – 4.6% manakala pinjaman untuk kereta baru mengenakan faedah yang lebih serendah 2.5% setahun (kadar faedah tepat pada masa penulisan). Anda juga perlu mempertimbangkan sama ada anda mampu mengambil pinjaman kereta kerana bayaran bulanan (apabila ditambah dengan bayaran bulanan pinjaman lain) tidak sepatutnya melebihi satu pertiga daripada pendapatan anda.

Cukai Jalan dan Insurans

www.lelong.com.my

Di samping pinjaman yang mungkin anda perlukan, anda perlu juga berfikir sama ada anda mampu membayar cukai jalan dan insurans kereta yang and beli itu. Insurans dan cukai jalan biasanya bertambah jika kereta itu kereta baru dan kereta import sebab harga kereta yang lebih tinggi manakala kereta terpakai biasanya mempunyai insurans dan cukai jalan yang lebih rendah.

Berikut merupakan jadual perbandingan tahap insurans untuk kereta-kereta import dan tempatan, serta kereta yang baru dan terpakai. Anggaran dibuat berdasarkan polisi Takaful Malaysia dan merupakan liputan komprehensif yang standard tanpa polisi tambahan lain (Umur Pemandu: 30 tahun, Lokasi; Semenanjung dan tiada diskaun NCD)

Jenis Kereta Baru Premium Insurans Jenis Kereta Terpakai Premium Insurans
Honda City 1.5 S 2017 RM2,787 Honda City 1.5 2010 RM 968
Mazda 3 Sedan 2017 RM3,345 Mazda 2  1.5 2012 RM1,160
Perodua MyVi 2017 RM 1,458 Perodua MyVi  2010 RM851

Harga adalah tepat pada masa penulisan

Patutkah saya membeli kereta baru ataupun kereta terpakai?

Kedua-dua kereta baru dan terpakai mempunyai kebaikan dan keburukan masing-masing. Kereta baru biasanya mudah susut harga tetapi tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi. Kereta terpakai pula lebih berpatutan dari segi harga dan sangat sesuai untuk mereka yang ingin mengubahsuai kereta mengikut kehendak masing-masing.

Kesimpulannya, pilihlah kereta mengikut kemahuan and kemampuan kewangan masing-masing. Jika anda adalah kakitangan kerajaan dan memerlukan apa-apa bantuan kewangan untuk memiliki kereta sendiri atau membaiki kereta, hubungilah Direct Lending dan semak kelayakan pinjaman koperasi anda dengan segera.

Direct Lending

Add comment