Gaji RM1,500 Tak Layak Beli Kereta, Biar Betul?!

Gaji RM1,500 Tak Layak Beli Kereta, Biar Betul?!

Membeli kereta bukan sahaja memerlukan sejumlah wang tetapi perancangan rapi, apatah lagi kini dunia masih bergelut dengan pandemik Covid-19 yang memerlukan keutamaan kepada perkara lebih penting. 

Hari ini, memiliki kereta bukan sekadar keinginan malah menjadi keperluan, terutama bagi yang menempuh perjalanan jauh dan berdepan dengan sistem pengangkutan terhad. Tapi, semua orang layak ke untuk beli kereta? Bagaimana dengan individu yang bergaji RM1,500 je? atau gaji rendah?

Jangan risau, ia masih boleh direalisasikan dengan mengikuti tip serta panduan lengkap yang kami sediakan untuk anda pertimbangkan sebelum membeli kereta. 

Perkara Wajib Tahu Sebelum Beli Kereta

1. Memahami kos-kos pemilikan kereta

kos memiliki kereta
Sumber Gambar: Freepik

Ramai yang mungkin tidak sedar bahawa apabila anda membeli kereta, bukan sahaja  bayaran bulanan pinjaman kereta yang perlu dilunaskan, malah ada kos-kos sampingan yang harus diperhatikan seperti berikut;

Minyak petrol

Harga minyak petrol ini bergantung kepada pasaran semasa, kadang kala murah dan ada masanya sedikit mahal. 

Cukai jalan, perlindungan insurans atau takaful

Cukai jalan, perlindungan insurans atau takaful perlu diperbaharui setiap tahun. 

Semakin tinggi nilai kereta, semakin tinggi bayaran perlindungan insurans atau takaful yang perlu dikeluarkan.

Kos baik pulih  

Kereta mempunyai komponen yang banyak bergerak, jadi penyelenggaraan secara berkala perlu dilakukan supaya ia dapat berfungsi dengan baik. 

Ia juga bergantung kepada tahap anda menggunakannya dan secara minimum selalunya penyelenggaraan pada setiap 6 bulan atau 2 kali setahun. 

Tol dan tempat meletakkan kenderaan

Bayaran tol dan parking kereta bergantung kepada tempat anda menetap dan bekerja. 

2. Mengetahui cara-cara untuk membeli kereta 

cara beli kereta
Sumber Gambar: Freepik

Sebelum membeli kereta, penting untuk anda mengambil tahu apakah cara terbaik untuk membelinya, ini 3 cara yang boleh anda gunakan sebelum meneruskan pembelian;

Pembayaran secara tunai

Dengan melakukan pembayaran secara tunai, proses membeli kereta akan selesai lebih cepat berbanding pembelian secara ansuran kerana tidak melibatkan pihak bank atau pihak ketiga. 

Pinjaman sewa beli kenderaan 

Pinjaman atau loan kereta adalah salah satu kategori pinjaman yang dilakukan peminjam untuk tujuan membeli kereta. 

Peminjam perlu membayar balik pinjaman termasuk kadar faedah kepada pemberi pinjaman, iaitu bank secara ansuran dalam jangka masa tertentu. 

Apabila gagal untuk mematuhinya, kenderaan anda boleh ditarik balik oleh institusi kewangan atau bank.

Pinjaman peribadi

Dikenali sebagai pinjaman tanpa cagaran kerana pemberi pinjaman tidak memerlukan apa-apa bentuk sandaran (cagaran) untuk pinjaman yang dibuat. 

Jika anda menggunakan pinjaman peribadi untuk membeli kereta, anda adalah pemilik kereta tersebut. Ia juga diluluskan berdasarkan kepercayaan kredit peminjam yang mana pemberi pinjaman akan merujuk kepada rekod sejarah kredit peminjam seperti CCRIS atau CTOS, potensi pendapatan dan keupayaan membayar balik pinjaman. 

Sama ada kereta baru ataupun kereta terpakai, anda boleh memohon untuk pinjaman peribadi tanpa sebarang kerisauan. 

Sekiranya masih kurang faham, anda boleh klik di sini bagi mengetahui cara terbaik untuk membeli kereta. 

3. Membeli kereta terpakai (second hand)

cara beli kereta terpakai
Sumber Gambar: Carlist

Bagi yang tidak berkemampuan untuk membeli kereta baru, kereta terpakai juga boleh menjadi suatu pelaburan jangka masa panjang yang menguntungkan jika kena dan betul caranya. 

Pun begitu, harus diingat juga yang ia boleh menjadi suatu kerugian dan bebanan jika tidak dirancang dengan betul.

1. Menetapkan bajet

Menetapkan bajet bersesuaian mengikut tahap kewangan dan kemampuan perlu dilakukan sebelum membeli sebarang kereta terpakai atau second hand

Sebagai contoh, membeli pada harga di bawah RM100,000, menetapkan had bayaran bulanan pinjaman seperti RM500 sebulan dengan tempoh bayaran sehingga 5 tahun bergantung kepada komitmen bulanan masing-masing. 

2. Mengenal pasti usia kereta

Mengenal pasti atau menetapkan usia kereta terpakai yang ingin dibeli juga penting. Sesuaikan carian mengikut keadaan semasa kewangan dan pilihan anda. 

Bagi mengelakkan rambang mata, cuba kecilkan skop pilihan anda dan meneliti semula bajet yang telah ditetapkan agar tidak tersasar dan membebankan. 

3. Mengambil tahu sejarah kereta

Sejarah kereta menjadi salah satu perkara penting sebelum anda membuat keputusan membeli mana-mana kereta terpakai. 

Selidik terlebih dahulu sama ada kereta yang anda berkenan itu pernah ditenggelami banjir, banyak kali bertukar pemilik, terlibat kemalangan besar atau mempunyai had perbatuan terlalu tinggi. 

Luaran sahaja kelihatan cantik tidak menggambarkan keseluruhan isinya, jangan pula anda merana di kemudian hari! 

4. Mengukur had perbatuan (mileage)

Jika anda ingin membeli kereta terpakai, pastikan kereta yang dipilih itu mempunyai ukuran had perbatuan yang rendah atau sederhana. 

Selalunya, semakin tinggi perbatuan, semkin rendah nilai jualan sesebuah kereta terpakai tersebut. Walau bagaimanapun, ia masih tertakluk pada bajet dan usia model kereta yang ingin dibeli. 

5. Melakukan survey secara dalam talian 

Kini, informasi mengenai kereta terpakai boleh didapati secara dalam talian tanpa perlu ke mana-mana premis.

Pelbagai platform dalam talian membolehkan anda menetapkan tapisan (filter) mengikut kesesuaian dan keperluan anda. 

Hanya perlu masukkan bajet yang ditetapkan dan sistem akan memaparkan pilihan model kereta terpakai yang berada dalam lingkungan bajet anda. 

Elakkan terpukau atau tergoda dengan kata-kata yang ditawarkan oleh premis kereta terpakai. Berkemungkinan skil dan kemahiran memujuk dimiliki mereka menyebabkan anda terperangkap dan membeli tanpa menitikberatkan soal bajet. 

Baca: Selain Carlist, Ini 9 Website Jual Beli Kereta Terpakai Di Malaysia

6. Meneliti jadual servis 

Cari pemilik kereta yang setia menggunakan perkhidmatan pusat servis jenama masing-masing dan diservis secara konsisten mengikut jadual. 

Pusat servis akan merekodkan sejarah servis menggunakan sistem tersendiri. Anda juga boleh meminta rekod penyelenggaraan atau resit alat ganti daripada pemilik sebagai bukti sekiranya pemilik  ada berurusan di bengkel biasa. 

Ini penting untuk mengetahui jenis alat ganti yang ditukar atau mempunyai kerosakan tertentu.

7. Memeriksa bahagian luar dan dalam kereta serta kelengkapan asas lain

Anda perlu memeriksa dan memastikan sama ada terdapat sebarang kerosakan. Sekiranya terdapat kerosakan pada mana-mana bahagian dan pemilik tidak mahu mengeluarkan kos untuk membaikinya, cubalah berunding untuk mendapatkan diskaun agar tidak menelan belanja yang besar. 

Pastikan juga peralatan atau kelengkapan asas lain seperti wiper, lampu, soket, signal, penyaman udara, hon kereta, radio, pintu, cermin sisi, bonet, picu tangki minyak, tayar simpanan, panel meter dan sebagainya dalam keadaan berfungsi serta baik. 

8. Memeriksa enjin dan melakukan pandu uji

Enjin merupakan komponen yang penting bagi sesebuah kereta. Sekiranya anda kurang berpengetahuan, minta bantuan rakan yang mahir mengenainya atau rujuk sahaja ke mekanik. 

Mekanik boleh memastikan sama ada enjin berfungsi dalam keadaan baik selain mengesan sama ada terdapat kesan minyak bocor, keadaan radiator, tiada kabel sambungan yang reput atau terputus, tiada komponen tertanggal serta minyak enjin. 

Anda juga mempunyai hak untuk memandu uji kereta yang ingin dibeli untuk mengetahui tahap kepuasan dan keyakinan. 

Anda boleh menguji kemampuan brek, stereng, pemanduan di pelbagai kawasan dan kelajuan termasuk gear kereta.

Klik di sini sekiranya anda memerlukan perincian sebelum membuat keputusan untuk membeli kereta terpakai. 

4. Melakukan kira-kira mengikut kemampuan gaji sebelum membeli kereta

Sumber Gambar: Honda Malaysia

Umum mengetahui, membeli kereta memerlukan perbelanjaan yang besar. Jika membeli di luar kemampuan, pastinya anda akan terikat dengan liabiliti yang agak lama sekurang-kurangnya 5 tahun dan boleh membebankan hari mendatang. 

Oleh itu, apakah cara terbaik untuk memastikan bebanan membeli kereta dapat diatasi? 

Gaji bulanan x 12 bulan = kereta yang kita mampu beli 

Gaji SebulanGaji SetahunKereta
RM1,000RM12,000Kelisa, Kenari (2nd hand)
RM1,500RM18,000Viva (2nd hand)
RM2,000RM24,000Axia (M) Standard E
RM2,500RM30,000Axia (M) Standard G
RM3,000RM36,000Axia (A) Standard G
RM3,500RM42,000MYVI 1.3 (A) Standard G
RM4,000RM48,000MYVI 1.3 (A) Premium X
RM4,500RM54,000MYVI 1.5 (A) SE
RM5,000RM60,000ALZA 1.5 (A) SE
RM5,500RM66,000Suzuki Swift
RM6,000RM72,000Honda Jazz/City OP

Berdasarkan jadual di atas, sekiranya gaji anda RM6,000 sebulan, kereta yang anda mampu miliki adalah yang berharga RM72,000, iaitu kereta seperti Honda Jazz atau City. 

Contoh bayaran bulanan untuk gaji RM6,000 sebulan;

Bayaran bulanan = RM850 kepada institusi kewangan pada kadar faedah 3% untuk tempoh pinjaman 9 tahun.

Anggaran minyak petrol = RM500/sebulan

Tol = RM100/sebulan

Kos penyelenggaraan = RM250 setiap 6 bulan

Insuran dan road tax = RM3,000 setahun (No claim discount – NCD)

Ini anggaran perbelanjaan untuk sebuah kereta dan diharapkan pembaca tidak mengguna pakai pengiraan ini tanpa melakukan kajian menyeluruh.

Bayaran bulanan tidak melebihi 15% daripada gaji bulanan dengan pembiayaan tidak melebihi 5 tahun

Mereka yang mempunyai gaji RM6,000 sebulan, 15% dari gajinya adalah RM 900 sebulan. 

Ini bermaksud individu tersebut boleh membeli kereta dengan nilai maksimum berharga RM 45,000, iaitu Myvi Standard 1.3 dan bukan kenderaan seperti Honda Jazz (berdasarkan cara yang ditunjukkan di atas)

Ini juga bermaksud kos untuk menyelenggara kereta menjadi lebih rendah. Sekiranya individu ini mengambil tempoh pinjaman selama 9 tahun, jumlah yang perlu dibayar hanya RM530 sebulan dan 10% kurang dari gaji bersihnya. 

Cara ini lebih konservatif, walau bagaimanapun, masih ada kekurangan, iaitu kedua-dua cara ini tidak mengambil kira jumlah minimum gaji seseorang sebelum mampu memiliki kereta dan juga perbelanjaan-perbelanjaan yang perlu ditanggung pemilik kenderaan tersebut.

5. Mempelajari tip-tip penjagaan kereta

Sumber Gambar: Freepik

Penting untuk kita mempelajari asas penjagaan kereta kerana ia boleh menyelamatkan poket anda. Nanti tidaklah anda ditipu atau diketuk bulat-bulat oleh mekanik atau bengkel apabila berlaku sebarang kerosakan pada kenderaan. 

Minyak enjin

Minyak berfungsi untuk memastikan enjin anda dalam kedaaan senyap serta tidak menghadapi sebarang masalah semasa memandu. 

Anda juga perlu tahu minyak yang sesuai untuk digunakan. Ini kerana minyak enjin ada beberapa jenis seperti berikut;

  • Minyak enjin semi sintetik, boleh digunakan sehingga 5,000 km atau 3 bulan
  • Minyak enjin sintetik penuh, boleh digunakan sehingga 10,000 km atau 6 bulan

Tekanan angin tayar

Wajib periksa terlebih dahulu tekanan angin tayar sama ada mencukupi atau tidak. Tekanan angin tayar yang tidak mencukupi boleh menyebabkan tayar rosak dan pecah. 

Semak juga keadaan tayar kereta anda sama ada masih boleh digunakan lagi atau tidak. 

Palam pencucuh

Sama seperti minyak hitam, palam pencucuh (spark plug) juga mempunyai had penggunaanya. Palam pencucuh kebiasaannya digunakan dari 30,000 hingga 40,000 km. 

Sekiranya melebihi 40,000 km, disarankan untuk menukar yang bahru kerana elektrod di dalam palam pencucuh akan menipis dan menyebabkan ia lemah seterusnya menyebabkan kereta anda hilang kuasa dan menjadi semput.

Bateri

Dua jenis bateri kereta, iaitu sel basah dan sel kering. Penjagaan juga agak berbeza, sel basah memerlukan anda mengisi air suling apabila sudah berkurangan dan jangka hayat bateri kereta boleh bertahan selama 2 tahun atau lebih bergantung pada penggunaan. 

Jika bateri mengalami masalah atau lemah, kereta akan sukar untuk dihidupkan dan anda boleh menukar kepada bateri baru atau mengecas bateri tersebut.

Penyejuk radiator

Penyejuk radiator (radiator coolant) berbeza dengan air paip biasa yang mana air coolant akan menjadikan suhu enjin lambat panas dan tidak mendidih serta disarankan untuk menukar air coolant setiap 60,000 km. 

Secara keseluruhannya, penting untuk kita mengukur kemampuan sebelum membeli kereta, iaitu dengan mengambil kira semua perbelanjaan dan komitmen termasuk tempat tinggal, makanan, keluarga, simpanan, pelaburan dan keperluan lain. 

Setelah mengambil kira semua komitmen, baki tersebut bolehlah digunakan untuk membeli kereta melibatkan bayaran ansuran bulanan dan jumlah penyelenggaraan sampingan.

Ukurlah baju di badan sendiri, seeloknya kalau kereta yang sedia ada masih cantik dan dalam keadaan baik, fikir dahulu secara mendalam sama ada ia merupakan keinginan atau keperluan. Sekiranya tiada keperluan yang mendesak untuk membeli kereta baru, kita elakkan daripada membebani diri. 

Artikel ini disediakan oleh Direct Lending. Platform digital yang membantu anda untuk cari, membuat perbandingan dan memohon pinjaman peribadi yang paling murah dan sesuai untuk anda. Sistem semakan kelayakan pintar kami boleh mencadangan pinjaman peribadi Bank dan Koperasi yang terbaik untuk anda.

Perkhidmatan kami 100% percuma, tiada caj pendahuluan atau caj pemprosesan.

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *